Penjelasan Mengenai Subsidi Minyak Masak dan Pengumuman Bayaran Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) Fasa 2

NOTA PERCAKAPAN
YAB PERDANA MENTERI


PENJELASAN MENGENAI ISU
SUBSIDI MINYAK MASAK DAN PENGUMUMAN BAYARAN BANTUAN KELUARGA MALAYSIA (BKM) FASA 2


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Saya ingin menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul berhubung isu subsidi minyak masak.

2. Untuk makluman seluruh Keluarga Malaysia, Kerajaan masih mengekalkan subsidi minyak masak, dengan jumlah sebanyak RM4 bilion untuk tahun 2022 berbanding RM500 juta pada tahun 2020 dan RM2.2 bilion pada 2021.

3. Minyak masak yang disubsidi oleh Kerajaan ialah sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan, melebihi daripada keperluan sebenar pengguna iaitu sebanyak 55 ribu tan metrik sebulan.

4. Subsidi yang ditanggung oleh Kerajaan ini adalah untuk kategori minyak masak kampit RM2.50 bagi satu kilogram (kg) sahaja, berbanding harga pasaran sebenar, RM9.00 bagi satu kg untuk kegunaan Keluarga Malaysia golongan B40. Subsidi ini telah bermula sejak Jun 2007.

5. Sewaktu pandemik COVID-19, Kerajaan telah memperkenalkan program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol bagi 1 kg, 2 kg, 3 kg dan 5 kg, pada Ogos 2021. Usaha ini bagi membantu Keluarga Malaysia yang ketika itu terkesan akibat pandemik COVID-19.

6. Program subsidi sementara untuk minyak masak berbotol ini hanyalah untuk tempoh tiga bulan sahaja dengan kos RM55 juta sebulan.

7. Walaubagaimanapun, Kerajaan mendapati minyak masak berbotol yang disubsidi banyak diselewengkan oleh pihak industri, komersial dan aktiviti penyeludupan.

8. Sehubungan itu, Kerajaan membuat keputusan mulai 1 Julai 2022 untuk tidak lagi menyambung subsidi untuk minyak masak berbotol kerana objektif awal program ini adalah untuk membantu golongan terkesan pandemik.

9. Untuk itu, subsidi minyak masak kampit sahaja yang akan diteruskan dan Kerajaan yakin subsidi sebanyak 60 ribu tan metrik sebulan adalah mencukupi untuk kegunaan Keluarga Malaysia.

BANTUAN KELUARGA MALAYSIA (BKM)

10. Pada 1 Jun yang lalu, saya telah mengumumkan bahawa bantuan tunai akan diberikan kepada Keluarga Malaysia yang terkesan akibat cabaran kos sara hidup apabila Kerajaan tidak lagi memberikan subsidi harga ayam, telur dan kenaikan harga barang makanan yang lain.

11. Maka hari ini saya akan mengumumkan:

i. Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) merupakan inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40;

ii. Setakat ini, seramai 8.6 juta penerima BKM telah diluluskan dengan isi rumah bakal menerima sehingga RM2,500 pada tahun 2022. Bantuan ini merupakan yang tertinggi setakat ini yang pernah diberikan oleh mana-mana Kerajaan;

iii. Mengambil kira cabaran kos sara hidup dan kenaikan harga barang makanan kebelakangan ini, Kerajaan mengambil keputusan untuk menyediakan bantuan tunai tambahan kepada golongan B40 sebanyak RM100 untuk golongan isi rumah dan RM50 untuk golongan bujang;

iv. Bayaran Fasa 2 BKM melibatkan peruntukan sebanyak RM1.11 bilion dan setiap penerima BKM menerima sehingga RM400 mengikut kategori kelayakan BKM masing- masing. Setiap penerima BKM bakal menerima sehingga RM500 mengikut kategori kelayakan BKM masing-masing. Bayaran bantuan tunai tambahan yang dibayar bersekali dengan bayaran Fasa 2 BKM melibatkan tambahan peruntukan sebanyak RM630 juta.

v. Bayaran ini akan memanfaatkan hampir 8.6 juta penerima merangkumi 4 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang;

vi. Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 27 Jun 2022 (Isnin) melibatkan jumlah peruntukan sebanyak RM1.74 bilion.

12. Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan golongan B40 terutamanya dalam menyambut Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi dan akan disalurkan seperti jadual (lihat lampiran).

13. Semakan status pembayaran boleh dibuat bermula 27 Jun 2022 melalui pautan https://bkm.hasil.gov.my.

14. Kerajaan sentiasa cakna dengan keperluan semasa terutamanya melibatkan kenaikan harga barangan keperluan dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
22 JUN 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.