Kenyataan Media Berkaitan Ekosistem Sekuriti Makanan Lebih Inklusif dan Menyeluruh

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


EKOSISTEM SEKURITI MAKANAN LEBIH INKLUSIF DAN MENYELURUH


Hari ini, saya telah mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang membincangkan tiga perkara utama yang berhubung kait dengan sekuriti makanan, memudahkan urusan perniagaan di Malaysia dan menangani tenaga mahir dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

Perbincangan melibatkan pembentangan-pembentangan oleh pihak Khazanah Research Institute (KRI), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) dan wakil-wakil industri.

Mesyuarat telah membuat beberapa keputusan seperti berikut:

1. Berkaitan sekuriti makanan, mesyuarat bersetuju untuk memperkenalkan harga siling bergerak yang berubah kepada faktor harga input. Ini seiring dengan perancangan bantuan terus bersasar kepada golongan yang memerlukan seperti yang diumumkan sebelum ini.

2. Ekosistem agromakanan diperluaskan dengan rantaian bekalan diterajui oleh Syarikat Pelaburan Kerajaan (GLC), Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) dan agensi Kerajaan. Koordinasi ini bagi memastikan kualiti, kuantiti dan pengeluaran hasil ke tahap optimum selain bekalan terjamin. Sebagai contoh bekalan dan harga ayam dapat dikawal sekiranya agensi Kerajaan yang berkenaan terlibat dalam ekosistem industri penternakan bermula daripada membekal anak ayam, makanan ternakan, pengangkutan, pemasaran dan sebagainya.

3. Kerjasama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri akan dipertingkatkan dalam usaha meningkatkan keluasan tanah bagi kegunaan pertanian. Ini untuk mengurangkan kebergantungan terhadap import makanan. Perkara ini akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam mesyuarat dengan Menteri Besar dan Ketua Menteri dalam masa terdekat.

4. Meningkatkan kerjasama awam dan swasta yang memberi fokus terhadap usaha modenisasi dan mengalakkan pertanian pintar dalam meningkatkan hasil pertanian. Inisiatif ini akan disokong melalui usaha menyatukan tanah ladang, tanah terbiar dan tanah wakaf.

5. Memastikan hasil pertanian mempunyai pasaran seperti menggalakkan ladang kontrak di mana peladang dan petani tidak mempunyai masalah untuk memadankan pengeluaran hasil pertanian dengan permintaan pasaran.

6. Kerajaan, melalui Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH), akan terus berusaha untuk memodenkan peraturan- peraturan berkaitan perniagaan bagi melonjak produktiviti dan daya saing negara. Mesyuarat telah bersetuju untuk memperkukuhkan pelaksanaan MyMudah di semua Kementerian, Agensi Persekutuan, Negeri, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Persatuan Perniagaan.

7. Mesyuarat juga bersetuju merancakkan lagi program uji kaji peraturan yang dikelola oleh Unit-Unit MyMudah dengan sasaran penyelesaian isu dalam tempoh 60 hari berbanding dengan 6 hingga 12 bulan sebelum ini. Temuduga pekerja asing akan dilaksanakan di negeri-negeri berbanding hanya di pusat sehenti (One Stop Centre – OSC) Kementerian Sumber Manusia, Putrajaya. Kerajaan akan memperkasakan OSC yang melibatkan semua Kementerian dan Agensi yang berkaitan proses kemasukan pekerja asing.

8. Seterusnya, bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja mahir yang serius dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E), Kerajaan secara prinsip telah bersetuju untuk:

i) Melaksanakan “Program Train & Place untuk Jurutera & Juruteknik” kepada 1,000 jurutera dan 1,000 juruteknik; dan

ii) Memperbaiki dan mempercepat mekanisme pengambilan ekspatriat dan pekerja asing.

9. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan menyelaras dengan Persatuan Industri Semikonduktor Malaysia (MSIA) untuk segera menangani isu kekurangan tenaga kerja ini.

Kerajaan komited terhadap kajian yang berdaya maju dan berpotensi untuk dimanfaatkan secara strategik bagi mendepani cabaran global bagi menjamin ekosistem sekuriti makanan lebih inklusif dan menyeluruh demi kesejahteraan Keluarga Malaysia.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
13 Jun 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.