Teks Ucapan Sempena Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu

TEKS UCAPAN

YB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

SIMPOSIUM PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU

22 MEI 2022 | 9.00 PAGI
BALAI BUDAYA TUN SYED NASIR, WISMA DBP KUALA LUMPUR

Bismillahirrahmanirrahim

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT atas limpah rahmat-Nya kita dapat berhimpun bersama-sama dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu ini.

2. Saya mengucapkan terima kasih atas jemputan untuk merasmikan simposium ini yang dilihat dapat memartabat dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu, bahasa yang kita sanjungi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Sejarah menunjukkan penggunaan Bahasa Melayu di kawasan ‘Alam Melayu’ (Malay Archipelago) merentas entiti politik yang kini dikenal sebagai Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura, sebahagian Thailand, sebahagian Filipina dan beberapa buah negara lain di Asia Tenggara seperti Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar.

4. Malah, dengan wujudnya diaspora Malaysia di Sri Lanka, Surinam, Afrika Selatan, Madagaskar, Asia Barat, Eropah dan beberapa bahagian lain dunia, bahasa Melayu berpotensi besar diangkat sebagai salah satu bahasa dunia, seperti pada sekitar abad ke-15 hingga abad ke-19 dahulu.

5. Di peringkat ASEAN, melalui forum kerjasama seperti Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Sastera Asia Tenggara (MASTERA), penyatuan sistem ejaan Rumi dan peristilahan telah tercapai.

6. Saya berharap skop kerjasama yang diperluas, termasuk penyelidikan, penerbitan dan pemupukan, dapat dirancang lebih rapi supaya bahasa Melayu kembali dijadikan lingua franca.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Bahasa Melayu memiliki keunikan dan kelebihan tersendiri khususnya dalam kalangan negara ASEAN dan ia diyakini boleh dijadikan salah satu bahasa rasmi ASEAN.

8. Sehubungan itu, Bahasa Melayu perlu dimartabatkan dalam Negara, termasuk meminda Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959 bagi memberi kuasa kepada DBP untuk menjalankan penguatkuasaan terhadap kesalahan pengunaan bahasa berkenaan.

9. Sementara itu, usaha sewajarnya perlu dilakukan untuk memperluaskan pengajaran dan penggunaan Bahasa Melayu di institusi pengajian tinggi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan sejak negara merdeka pada 1957 seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, sebagai Perkara 152 (1). Oleh itu, langkah memartabatkan Bahasa Melayu adalah juga usaha menjunjung tinggi Perlembagaan Negara.

11. Banyak negara yang mencapai status negara maju dengan mendaulatkan bahasa sendiri. Kita sepatutnya mempunyai jati diri dan membuktikan bahawa mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mengekang kemajuan negara.

12. Memartabat dan mengantarabangsakan Bahasa Melayu bukan kerja mudah kerana terlalu banyak cabaran yang dihadapi oleh pejuang-pejuang bahasa.

13. Seluruh Keluarga Malaysia terutamanya penjawat awam seharusnya memberikan komitmen untuk melaksanakan usaha memartabatkan bahasa berkenaan.

14. Usaha mengantarabangsakan Bahasa Melayu di persada dunia sudah menjadi dasar kerajaan dan ini adalah antara satu bidang keutamaan kerangka Dasar Luar Negara Malaysia yang dilancarkan pada 7 Disember 2021, iaitu diplomasi kebudayaan.

15. Saya telah arahkan bahawa semua surat-menyurat mesti menggunakan Bahasa Melayu termasuk yang melibatkan urusan luar negara. Surat yang saya hantar kepada pemimpin-pemimpin dunia juga dalam Bahasa Melayu dengan terjemahan Bahasa Inggeris.

16. Saya juga telah memulakan rundingan dua hala dengan menggunakan Bahasa Melayu, tidak ada cacatnya rundingan tersebut. Persidangan juga menggunakan Bahasa Melayu sewaktu Sidang Khas ASEAN-Amerika Syarikat bersama dengan Presiden Amerika, saya juga menggunakan Bahasa Melayu.

17. Mesej yang saya sampaikan jelas diterima Presiden Amerika walaupun saya berbahasa Melayu.

18. Begitu juga halnya dengan pindaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) 1959. DBP telah mengadakan beberapa bengkel untuk memastikan urusan pindaan akta itu capai secepat yang boleh.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Saya ingin menegaskan pentingnya semua sektor menggunakan Bahasa Melayu dengan seluas-luasnya kerana ia merupakan bahasa urusan rasmi Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Awam.

20. Perluasan penggunaannya hendaklah dilaksanakan di semua jabatan dan agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat swasta. Jadikanlah peribahasa “di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung” sebagai pegangan kerana cara itu barulah bahasa Melayu benar-benar boleh dijadikan alat perpaduan di negara ini.

21. DBP juga perlu menjalani proses transformasi dan peralihan paradigma, daripada Akta DBP 1959 yang hanya memperuntukkan kuasa Lembaga Pengelola dalam pelaksanaan prasarana badan itu kepada peranannya yang sewajarnya.

22. Peranan dan tanggungjawab DBP sebagai badan perancangan bahasa, sastera dan penerbitan negara perlu dirincikan lebih jelas supaya peranannya lebih berkesan untuk mendukung dan melaksanakan peruntukan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan dan undang-undang lain yang berkaitan dengan bahasa kebangsaan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Kerajaan sedar pentingnya penglibatan golongan cendekiawan dalam merancang dan melaksanakan gagasan pemimpin dan dasar negara selain pandangan seluruh Keluarga Malaysia.

24. Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih, kepada DBP, Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, Institut Peradaban Melayu (IPM) UPSI, kementerian, jabatan dan agensi kerajaan yang bekerja keras menjayakan simposium ini.

25. Saya sangat gembira kerana ramai tokoh besar negara terlibat di dalam simposium ini, sama ada sebagai pemberi ucap utama, pembentang kertas kerja, panelis forum atau moderator. Saya yakin mereka akan dapat memberikan nilai tinggi kepada dapatan simposium ini nanti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

26. Saya yakin simposium ini dapat mengenal pasti segala halangan yang ada untuk memartabatkan Bahasa Melayu serta mengemukakan satu rangka kerja khusus untuk mengatasi halangan ini.

27. Dalam pada itu, saya ingin mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan kita dari Amerika Syarikat, Rusia, Perancis, Jerman, Belanda, Australia, China, Korea Selatan, Uzbekistan, Azerbaijan, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Kemboja dan Filipina yang sudi memberi buah fikiran mereka dalam simposium ini.

28. Terima kasih juga kepada 60 pembentang kertas kerja dalam 15 sidang yang menyentuh pemartabatan Bahasa Melayu dalam pelbagai bidang seperti Pendidikan, Pendidikan Tinggi, Undang-Undang, Ekonomi, Diplomasi, Pengurusan, Sains, Teknologi, Multimedia dan Komunikasi dan sebagainya. Ini merupakan sesuatu yang mengkagumkan.

29. Saya juga mengucapkan syabas kepada semua pihak yang menjayakan segmen Pameran yang memaparkan sejarah perjuangan tokoh-tokoh terdahulu dalam memartabatkan Bahasa Melayu yang mana perjuangan mereka amat penting dan wajar dikenang.

30. Akhir kata, semoga simposium ini dapat dijadikan pentas dalam memartabat dan mengantarabangsakan bahasa Melayu iaitu bahasa yang menjadi kebanggaan dan identiti kepada Keluarga Malaysia yang berbilang kaum dan bersatu padu.

31. Sebelum saya akhiri, saya memberi jaminan dan bersetuju untuk jadikan simposium ini sebagai acara tahunan.

“Bangsa Melayu bangsa berbudi
Bahasanya indah bicaranya murni
Bagitu bangsa Melayu yang berpekerti
Bahasanya akan terus di pandang tinggi

Sepatah nasihat ilmu yang berguna
Secubit budi ambil jadi kenangan
Tak kan Melayu hilang di dunia
Maruah bahasa jadi kebanggaan”

32. Dengan hasrat tersebut dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu ini.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.