Teks Ucapan Sempena Majlis Makan Malam dan Mesyuarat Agung Tahunan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Kali Ke-48 Bagi Tahun 2021

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS MAKAN MALAM
DAN
PERASMIAN MESYUARAT AGUNG TAHUNAN PERTUBUHAN PELADANG KEBANGSAAN (NAFAS) KALI KE-48 BAGI TAHUN 2021

18 MEI 2022 | 8.30 MALAM
DEWAN MERDEKA
WORLD TRADE CENTRE KUALA LUMPUR

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, saya dapat bersama-sama dengan warga Peladang dalam Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kali ke-48 pada malam ini.

2. Difahamkan, esok para perwakilan yang hadir pada malam ini akan melaksanakan tanggungjawab untuk memilih barisan Ahli Jemaah Pengarah yang baharu untuk mengemudi NAFAS bagi tempoh lima tahun akan datang.

3. Saya mendoakan agar NAFAS dapat meneruskan momentum kejayaannya menerusi barisan kepemimpinan baharu dan menyuntik semangat warga tani dalam pembangunan peladang dan industri pertanian negara.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Alhamdulillah, NAFAS kini meniti usia 50 tahun dan sambutan Jubli Emas NAFAS tahun ini dilihat sebagai sejarah penting kepada industri pertanian negara ke arah usaha peningkatan taraf hidup dan kedudukan sosioekonomi ahli Peladang.

5. NAFAS merupakan entiti Pertubuhan Peladang yang komited dalam memperjuangkan kemajuan sosial dan ekonomi golongan petani sejak penubuhannya pada 31 Mac 1972.

6. Saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan kepada semua warga kerja NAFAS atas segala jasa dan khidmat bakti termasuk kejayaan yang telah direkodkan sepanjang tempoh 50 tahun ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. NAFAS merupakan payung kepada hampir 1 juta ahli Peladang di bawah 14 Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) dan 279 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang membantu Kerajaan untuk memastikan jaminan sekuriti makanan negara, kelangsungan rantaian bekalan makanan dan industri agro makanan.
8. Justeru, saya berharap NAFAS dapat menjadi pendokong pergerakan Pertubuhan Peladang bagi merealisasikan hasrat dan harapan kerajaan bagi menjamin sekuriti makanan negara.

9. Bidang pertanian negara telah melalui proses transformasi sejak merdeka dan sepanjang tempoh itu, aspek pertanian terus diberi tumpuan dalam pelan pembangunan negara.

10. Sistem makanan negara perlu diperkukuhkan supaya lebih berdaya tahan dan mampan termasuk meningkatkan prestasi rangkaian di semua peringkat aktiviti yang berkaitan pengeluaran, pemprosesan, pengedaran, penyediaan, dan keselamatan makanan serta pemakanan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap masalah yang dihadapi Keluarga Peladang terutamanya dalam situasi dunia sekarang yang mengakibatkan peningkatan kos bahan mentah.

12. Kebimbangan tidak cukup bekalan makanan merupakan isu global bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di seluruh dunia.

13. Keadaan ini berlaku ekoran pandemik COVID-19 yang mengekang kegiatan pertanian, sekali gus mengurangkan eksport makanan oleh negara pengeluar kerana mereka lebih mengutamakan keperluan dalam negara masing-masing.

14. Ia bertambah buruk apabila berlaku peperangan Rusia – Ukraine yang memberikan tekanan terhadap rantaian bekalan di seluruh dunia.

15. Peperangan itu memberi ancaman kepada penghantaran sebahagian tanaman ruji dunia sekali gus menyebabkan inflasi makanan menjadi semakin buruk.

16. Peningkatan kadar inflasi merupakan satu fenomena global yang turut dialami kebanyakan negara akibat gangguan rantaian bekalan makanan.

17. Sebagai contoh, Amerika Syarikat mengalami inflasi sebanyak 8.5 peratus, United Kingdom 7 peratus, Singapura 5.4 peratus, Australia 4.5 peratus dan Indonesia 2.6 peratus.

18. Bagaimanapun Malaysia mencatat kadar inflasi sebanyak 2.2 peratus, lebih rendah berbanding negara-negara lain yang telah mencatatkan kenaikan.

19. Namun begitu, jika perang berpanjangan, kita bimbang kesan yang lebih buruk terhadap input pertanian seperti harga baja, racun dan sebagainya.

20. Kerajaan telah mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (atau MAFI) menyediakan pelan jangka panjang dan pendek bagi mengelak krisis makanan daripada berlaku di negara ini.

21. Kementerian itu juga diminta supaya mengambil tindakan segera berhubung isu kos sara hidup yang meningkat.

22. Dalam hal ini, kerajaan menggesa NAFAS dan LPP:

Pertama: Melaksanakan perubahan dan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

Kedua: NAFAS perlu memberi ‘nafas’ baru kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan, bagi meningkatkan pengeluaran pertanian, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada import makanan.

Suka saya menarik perhatian bahawa Malaysia pada ketika ini membelanjakan lebih RM50 bilion untuk mengimport bahan makanan manakala Kerajaan pula menyalurkan subsidi sebanyak RM70 bilion bagi tahun 2022.

Ketiga: Menghapuskan orang tengah. Sewaktu menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, saya telah mengisytiharkan 2014 sebagai tahun ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ kerana mereka inilah yang memerah keringat petani dan nelayan, dan memanipulasikan harga di pasaran. Jihad ini perlu diteruskan oleh NAFAS menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan Pusat Pembelian Padi, Pusat Pengumpulan Buah-Buahan, penambahan pasar tani serta pasar-pasar nelayan.

23. Kerajaan juga bersetuju untuk menghapuskan permit import (AP) bagi membawa masuk bahan asas makanan dari negara luar berkuat kuasa serta merta. Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

24. Ini akan membolehkan semua pihak boleh mengimport bahan asas makanan ke negara ini tanpa dimonopoli oleh golongan tertentu atau kartel yang akhirnya memanipulasi harga. MAFI akan umumkan butiran lanjut berhubung keputusan ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Seperti yang dimaklumkan oleh Dato’ Pengerusi sebentar tadi, saya teruja dengan jumlah dividen bagi Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP), Dana Peladang Kebangsaan di bawah NAFAS yang mencatatkan prestasi positif. Ini membuktikan Dana Peladang Kebangsaan mampu memberi pulangan yang kompetitif secara konsisten kepada pelaburnya.

26. NAFAS tidak pernah lupa terhadap ahli-ahlinya dalam penyaluran bantuan kewangan termasuk untuk membaik pulih rumah menerusi Program Khidmat Masyarakat (CSR). Diharapkan lebih ramai warga peladang yang akan mendapat manfaat yang sama pada masa akan datang.

27. Saya ingin mengumumkan bahawa Kerajaan melalui MAFI telah meluluskan peruntukan sebanyak RM4.47 juta dari Tabung Bencana Pertanian untuk membantu 29 buah Pertubuhan Peladang dan 483 orang Ahli Peladang yang terjejas akibat bencana alam pada tahun ini.

28. Peruntukan Pembangunan Semula Projek Agromakanan (PPSPA) ini akan disalurkan melalui Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di tujuh buah negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

29. Dalam meniti masa hadapan yang mencabar, saya berharap hala tuju NAFAS akan mengikut prinsip yang betul serta memperoleh hasil keuntungan yang sewajarnya.

30. Saya yakin dan percaya perancangan masa depan NAFAS melalui iltizam 5 Tekad NAFAS Dekad dapat meningkatkan taraf sosioekonomi ke arah mewujudkan masyarakat peladang yang berdikari, makmur dan progresif.

31. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) kali ke-48.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.