Teks Ucapan Sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sabah

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA
JELAJAH ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA

20 MEI 2022 | 9.00 PAGI
SABAH INTERNATIONAL CONVENTION CENTRE (SICC), KOTA KINABALU, SABAH

 

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT dengan izin- Nya, kita dapat berhimpun bersama-sama pada pagi ini bagi menjayakan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang ketiga selepas di Johor dan Perlis. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Hari Keamatan kepada seluruh keluarga Malaysia Sabah, khususnya yang berada di dewan ini.

2. Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia yang menerapkan nilai keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran dalam konteks sokongan dari segi sebuah kasih sayang merentasi etnik dan agama akan diteruskan ke seluruh negara. Terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sabah khususnya, Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji di atas kerjasama penganjuran dan menjadi tuan rumah Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Sabah.

3. Sejak dilantik menjadi Perdana Menteri pada bulan Ogos lalu, saya telah melawat Sabah sebanyak empat kali dan sememangnya negeri ini sangat dekat di hati saya.

4. Saya bangga melihat kepelbagaian etnik di Sabah yang boleh duduk semeja tanpa mengira sentimen agama dan bangsa. Inilah semangat sebenar Keluarga Malaysia yang mahu ditekankan.

5. Bak kata pepatah orang Kadazan, “Osusa Toi Asanang Tomoi-mo Mi-i-so” yang bermaksud susah atau senang, suka dan duka kita tetap bersama dan bersatu dalam satu Keluarga Malaysia. Inilah harapan besar saya.

6. Selain itu, sifat keterbukaan rakyat Sabah yang diwarisi sejak zaman berzaman terbukti dipegang teguh dalam memupuk keharmonian hidup masyarakat Negeri Di Bawah Bayu ini.

7. Pelbagai perbezaan yang ada mewarnai kehidupan mereka sehingga mampu membentuk sebuah keluarga besar yang cekal mengharungi serba-serbi liku cabaran bersama.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Sememangnya menjadi harapan Kerajaan Persekutuan untuk menyaksikan Sabah dan Sarawak turut bersama-sama menikmati pembangunan yang pesat seperti mana juga negeri-negeri lain.

9. Kerajaan sedang berusaha menghapuskan jurang pembangunan antara Semenanjung dengan Sabah dan kewujudan rangkaian Lebuhraya Pan Borneo tanpa tol bakal mampu mengubah seluruh kawasan di Sabah dalam tempoh lima tahun.

10. Pada masa sama, Kerajaan juga terus komited untuk melabur dalam bidang pendidikan dengan cara membaiki dan membina semula sekolah daif di kawasan pendalaman Sabah.

11. Saya difahamkan Kementerian Pendidikan Malaysia telah mengamanahkan 113 sekolah daif di Sabah kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dan JKR Sabah sebagai Agensi Pelaksana untuk menaik taraf sekolah-sekolah itu dengan kos RM1.02 bilion.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), Kerajaan juga menetapkan sasaran sifar miskin tegar pada akhir tahun 2025.

13. Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri sedang menyelaras dan memudah cara Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM).

14. Justeru, Kerajaan sedang mengadakan sesi libat urus yang menyeluruh dengan kerjasama kerajaan negeri dan pejabat daerah bagi mendapatkan input semua pihak, termasuk peringkat akar umbi bagi memastikan sasaran ini dapat dicapai. Di bawah fasa pertama BMTKM, sebanyak 10 lokaliti di Sabah telah dikenal pasti iaitu di Tongod, Pitas, Kota Belud, Kota Marudu, Beluran, Nabawan, Tuaran, Sipitang, Beaufort dan Ranau.

15. Sebelum ini, program membasmi kemiskinan dilaksanakan secara ‘silo’ di hampir semua agensi yang terbabit. Namun di bawah program BMTKM, EPU dan ICU akan menjadi penyelaras menggabungkan semua pihak yang terlibat seperti Kementerian, Kerajaan Negeri, ahli akademik, pihak swasta dan pertubuhan masyarakat sivil (CSO) untuk mencari kaedah terbaik bagi menghapuskan miskin tegar secara holistik berasaskan lokaliti.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

16. Kerajaan Persekutuan sentiasa berperanan sebagai anggota keluarga amat positif dalam memenuhi segala perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), terutama apa yang sepatutnya diperoleh oleh Keluarga Malaysia Sabah.

17. Sehubungan itu, sebuah Jawatankuasa Peringkat Persekutuan telah dibentuk dan dipengerusikan sendiri oleh saya selaku Perdana Menteri dan turut disertai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, bagi membincangkan pelbagai perkara antaranya tuntutan Sabah menerusi MA63.

18. Dengan semangat Keluarga Malaysia, kita berharap agar sebarang isu mahupun permintaan Sabah yang tertunggak dapat dibincang dan dipertimbangkan dengan sebaik- baiknya.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

19. Kerajaan turut menyedari pentingnya kerjasama antara negara jiran dalam mengawal sempadan negara yang kini terus diperketat kawalannya.

20. Sehubungan itu, Perjanjian Kerjasama Trilateral (TCA) antara Malaysia, Indonesia dan Filipina akan disemak semula bagi mengukuhkan hal ehwal pertahanan dan keselamatan di perairan Sabah.

21. Saya mahu berkongsi berita gembira bagi penduduk sekitar Pagalungan, Nabawan yang memerlukan Pas Menyeberangi Sempadan atau Pas Lintas Batas. Mereka tidak perlu lagi pergi sejauh lebih 100 kilometer ke Keningau untuk mendapatkan pas berkenaan yang kini didapati di Pos Kawalan Imigresen Pagalungan, Nabawan.

22. Bagi memastikan “no wrong door policy”, urusan pembaharuan Pas Lawatan Jangka Panjang dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS), kini boleh dilakukan di semua pejabat Imigresen di negeri ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

23. Kerajaan sentiasa peka dengan keluh-kesah Keluarga Malaysia termasuklah isu kenaikan harga tiket penerbangan yang tidak munasabah dan masa penerbangan ditunda ketika musim perayaan.

24. Justeru, perbincangan akan diadakan dengan pihak-pihak terlibat supaya Keluarga Malaysia tidak lagi bimbang ketika hendak pulang ke kampung halaman pada musim perayaan akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

25. Apabila saya memperkenalkan konsep Keluarga Malaysia, sudah semestinya rakyat Sabah menguntumkan senyuman kerana nilai asas kebersatuan dalam kepelbagaian itu sudah sebati dalam kehidupan Keluarga Malaysia ‘di negeri di bawah bayu’.

26. Penganjuran Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Sabah merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memenuhi aspirasi rakyat yang mahu kesejahteraan dan keamanan terus terjamin dan kebajikan mereka terbela.

27. Akhir kata, saya berharap Keluarga Malaysia Sabah akan memanfaatkan kemudahan-kemudahan yang disediakan dan menghayati erti sebenar Aspirasi Keluarga Malaysia yang menjamin keharmonian dan kesejahteraan seluruh Keluarga Malaysia.

28. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, merasmikan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Sabah.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.