Perutusan Aidilfitri 2022 oleh YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri

PERUTUSAN AIDILFITRI 2022
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

RAYA KELUARGA MALAYSIA SYAWAL DIRAI, NIKMAT DISYUKURI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

Allahuakbar,
Allahuakbar,
Allahuakbar,
Walillah Hil Hamd.

1. Segala puji-pujian penuh kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT, kerana Keluarga Malaysia yang beragama Islam telah berjaya menyempurnakan ibadah puasa sepanjang bulan Ramadan.

2. Aidilfitri yang akan kita raikan 1 Syawal esok, adalah manifestasi kemenangan dan kegembiraan selepas berjuang melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan yang mulia bagi meraih martabat taqwa.

3. Kita bersyukur kerana pada Ramadan tahun ini, Keluarga Malaysia yang beragama Islam dapat menunaikan solat sunat terawih secara berjemaah dengan merapatkan saf selepas kerajaan mengumumkan Fasa Peralihan ke Endemik bermula 1 April lalu.

4. Alhamdulillah, Ramadan tahun ini juga berbeza berbanding tahun lalu dan tahun sebelumnya, apabila Keluarga Malaysia dapat merasai kembali kemeriahan majlis iftar, moreh dan bersahur selain mengunjungi dan membeli belah di Bazar Ramadan serta Bazar Aidilfitri.

5. Restoran dan kedai makan juga boleh beroperasi hingga waktu sahur yang memberi peluang kepada Keluarga Malaysia membeli dan menikmati juadah, sekali gus merancakkan kembali ekonomi para peniaga yang sebelum ini terkesan pandemik.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

6. Ujian pandemik COVID-19 yang berlaku selama dua tahun ini menjadikan kita semakin menginsafi diri. Namun, di sebalik setiap cabaran dan dugaan yang dilalui, Keluarga Malaysia telah membuktikan kekuatan dan keutuhan mendepani cabaran.

7. Solidariti Keluarga Malaysia inilah yang menjadi teras untuk kerajaan memberi fokus terhadap usaha memacu pemulihan negara, agar rakyat dapat kembali hidup dengan selesa melalui pelbagai strategi yang dirangka.

8. Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat. Justeru, keputusan kerajaan membenarkan pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak RM10,000 membolehkan Keluarga Malaysia membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

9. Begitu juga dengan Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri 2022 sebanyak RM500 bagi penjawat awam, sedikit sebanyak diharap dapat dimanfaatkan oleh Keluarga Malaysia untuk lebaran.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

10. Alhamdulillah, kita bersyukur kerana negara bertuah ini masih dilimpahi nikmat keamanan dan keharmonian hasil kestabilan politik serta kerjasama Keluarga Malaysia, meskipun dunia berdepan cabaran risiko geopolitik yang serius antaranya membabitkan konflik antara Rusia dan Ukraine, Palestin dan Israel misalnya.

11. Konflik ini perlu dijadikan iktibar dengan sebaiknya kerana jika krisis ini tidak dapat diselesaikan dengan segera, ia boleh menjejaskan keamanan di rantau terbabit dan ekonomi dunia.

12. Bayangkan, tatkala seluruh Keluarga Malaysia meraikan Aidilfitri dalam suasana aman dan meriah, saudara- saudara kita di negara bergolak seperti di Palestin, Syria, Afghanistan, dan Libya, menyambut Syawal dengan menyeka air mata.

13. Inilah peri pentingnya keamanan. Ia hanya dapat dikecapi dengan sikap saling hormat menghormati untuk hidup bersama sebagai sebuah keluarga biarpun berbeza ras, budaya dan kepercayaan.

14. Justeru, saya menyeru kepada seluruh Keluarga Malaysia agar berpegang kepada konsep Tasamuh; yakni ajaran Islam yang menekankan tentang nilai toleransi dan kebersamaan selaras konsep Keluarga Malaysia.

15. Tidak hanya urusan ibadah sahaja yang diatur oleh Islam, kehidupan sosial juga ada aturannya dan salah satunya adalah anjuran untuk bersikap tasamuh (toleransi) dalam bermasyarakat.

16. Tasamuh adalah salah satu bentuk akhlak terpuji dan amat diperlukan dalam kehidupan sehari-hari. Dalam bermasyarakat, tasamuh adalah sikap yang penting untuk diterapkan. Dengan tasamuh, seseorang akan lebih menghargai perbezaan antara sesama manusia dalam batas-batas yang digariskan oleh agama Islam.

17. Ia boleh menjadi panduan kepada kita semua dalam memastikan Keluarga Malaysia bukan sekadar ‘tagline’ semata-mata, tetapi mesti menjadi amalan dalam kehidupan seharian bagi mewujudkan masyarakat sejahtera.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Bagi memeriahkan lagi Syawal kali ini, saya telah mengumumkan pemberian tol percuma di sembilan lebuh raya, termasuk laluan utara selatan dan pantai timur. Pada masa yang sama, sebanyak 21 lebuh raya turut menawarkan diskaun sehingga 50 peratus.

19. Ambillah peluang ini dan manfaatkanlah Kelonggaran Prosedur Operasi Standard COVID-19 mulai 1 Mei 2022, untuk menyantuni ibu bapa, sanak saudara dan sahabat handai bagi mengeratkan ukhuwah dan silaturrahim. Luangkan masa mengunjungi rumah terbuka dan menziarahi pusara.

20. Dalam kemeriahan menyambut Aidilfitri, pastikan kita terus mengamalkan kawalan kendiri walaupun banyak kelonggaran telah diberikan demi keselamatan diri dan keluarga tercinta.

21. Bagi anda yang pulang ke kampung, berhati-hatilah di jalan raya, pandulah dengan penuh cermat dan berhemah agar sampai ke destinasi dengan selamat.

22. Di kesempatan ini, saya dan keluarga ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh Keluarga Malaysia yang beragama Islam walau di mana anda berada.

“Raya Keluarga Malaysia, Syawal Dirai, Nikmat Disyukuri.”

Maaf Zahir dan Batin.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.