Kenyataan Media – Kerajaan Komited Untuk Tambah Baik Tadbir Urus Dan Integriti Perangi Rasuah

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


KERAJAAN KOMITED UNTUK TAMBAH BAIK TADBIR URUS DAN INTEGRITI PERANGI RASUAH


Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) yang dipengerusikan oleh saya hari ini telah membuat keputusan berikut :

1. Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance)

Satu pelan komprehensif yang akan menginstitusikan prinsip dan amalan tadbir urus (governance) yang baik dikenali sebagai Pelan tadbir Urus Baik Nasional (MyGovernance) di semua agensi Kerajaan termasuk badan berkanun kerajaan akan diperkenalkan.

MyGovernance bertujuan meningkat dan memperkukuh keupayaan penyampaian perkhidmatan awam ke arah mencapai visi nasional serta menangani isu-isu kelemahan tadbir urus aspek Kerajaan termasuk badan berkanun. Pelan tersebut adalah berdasarkan 4 prinsip tadbir urus baik iaitu ketelusan, akauntabiliti, kecekapan, dan keberkesanan.

Satu jawatankuasa akan diwujudkan bagi pembangunan MyGovernance ini. Selaras dengan pembangunan tersebut, pengukuran tahap kualiti tadbir urus sesebuah institusi kerajaan akan dibuat melalui Malaysian Governance Index (MGI).

Mesyuarat bersetuju dengan pembangunan MyGovernance dan mengesyorkan supaya kajian dan sesi libat urus dilaksanakan oleh Pusat Governans, Integriti dan Anti-Rasuah Nasional (GIACC) melibatkan pelbagai pihak berkepentingan untuk dibincangkan dalam mesyuarat JKKMAR akan datang.

2. Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik

Mesyuarat secara dasarnya bersetuju dengan Cadangan Pelaksanaan Dasar Penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Sumbangan Politik, namun begitu, ia perlu dibawa untuk perbincangan dengan ahli Kabinet sebelum mengadakan sesi libat urus dengan parti-parti politik.

Skop dasar bagi RUU baharu berkaitan pengawal seliaan sumbangan politik dipersetujui untuk dibentangkan di Mesyuarat Jemaah Menteri.

RUU ini penting kerana sehingga kini tiada undang-undang atau peraturan yang mengawal selia pembiayaan politik dan ia dapat mengelak risiko rasuah serta penyalahgunaan kuasa melibatkan ahli politik yang memberi impak negatif kepada imej negara dan Kerajaan.

3. Pengurusan harta disita dan dilucut hak

Mesyuarat bersetuju supaya Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) menjadi agensi berpusat bagi pengurusan harta disita dan dilucut hak.

Keperluan menjadikan NFCC sebagai sebuah agensi berpusat adalah amat penting dan perlu disegerakan ke arah usaha yang lebih berkesan bagi membanteras jenayah kewangan dan mengekang ketirisan hasil Kerajaan.

Sebanyak 26 daripada 53 akta berkaitan dengan dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut perlu diberi keutamaan untuk dipinda bagi melaksanakan dasar tersebut.

Dasar pengurusan harta yang disita dan dilucut hak ini akan membolehkan agensi penguat kuasa lebih fokus kepada pelaksanaan siasatan bagi kes-kes jenayah khususnya jenayah kewangan.

4. Pengasingan kuasa Pendakwa Raya dan Peguam Negara

Mesyuarat bersetuju supaya kajian yang lebih mendalam dilakukan kerana ianya melibatkan perlembagaan, undang-undang dan kewangan.

Kerajaan sentiasa komited untuk menambah baik tadbir urus dan integriti dalam usaha memerangi rasuah di negara ini.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
19 Mei 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.