Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Pecah Tanah Residensi PR1MA – Astrum Ampang

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI
SEMPENA
MAJLIS PERASMIAN PECAH TANAH
RESIDENSI PR1MA – ASTRUM AMPANG

PADA 29 APRIL 2022 (JUMAAT), JAM 11.00 PAGI

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur kepada ALLAH SWT kerana kita dapat bersama-sama pagi ini pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Residence PR1MA – Astrum Ampang.

2. Saya mengucapkan tahniah dan syabas kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan agensi di bawahnya, Perbadanan PR1MA Malaysia kerana memberikan komitmen yang tinggi untuk membina lebih banyak rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia.

3. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada KPKT dan PR1MA kerana mengundang saya untuk merasmikan projek ini yang dijangka mampu membantu mengurangkan masalah perumahan di kawasan ibu kota, selari dengan aspirasi Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Kita tahu bahawa anak muda yang memulakan kerjaya di ibu kota sentiasa berdepan dengan isu perumahan, terutamanya untuk memiliki kediaman selesa dan mempunyai akses pengangkutan serta kemudahan awam dalam lingkungan yang berdekatan.

5. Kebanyakan kediaman yang dibangunkan ketika ini di luar kemampuan mereka yang baru sahaja memulakan pekerjaan.

6. Berdasarkan harga pasaran semasa, harga rumah semakin meningkat. Ditambah dengan kedudukan kewangan yang tidak kukuh, sukar untuk golongan ini memiliki rumah sendiri.

7. Kerajaan sentiasa mendengar keluhan rakyat. Justeru, KPKT membuat perancangan untuk melaksanakan pembinaan kediaman baharu berkonsepkan transit atau ‘Transit Oriented Development’ (TOD).

8. Kediaman TOD bukan sahaja memudahkan pergerakan anak muda ke tempat kerja tetapi juga membolehkan negara mencapai sasaran mengurangkan jejak karbon menjelang tahun 2030 selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG30).

9. Astrum Ampang, merupakan contoh kediaman mampu milik yang mempunyai akses kepada rel Laluan Kelana Jaya dan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling, MRT Sungai Buluh Kajang selain bakal disambung dengan MRT Sungai Buloh-Putrajaya dan LRT 3.

10. Saya difahamkan Astrum Ampang, sebuah projek pembangunan bercampur, akan dibangunkan oleh Astrum Ampang Sdn. Bhd. manakala PR1MA bertindak sebagai pelabur dan rakan usaha sama.

11. Daripada keseluruhan projek, satu daripada empat fasa pembangunannya dikhususkan bagi kediaman PR1MA dengan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM180.80 juta.

12. Bagi projek ini, sebanyak 712 kediaman mampu milik berkonsepkan Small Office Home Office (atau SOHO) dan apartmen khidmat (atau service apartment) di bawah PR1MA akan ditawarkan pada harga RM250,000 dan RM270,000 dengan keluasan 450 kaki persegi dan 550 kaki persegi.

13. Selain harga mampu milik, pembeli turut menikmati pelbagai kemudahan seperti kolam renang, gimnasium, surau, gelanggang badminton dan taman permainan. Ini adalah satu tarikan untuk anak muda kita hari ini untuk memiliki kediaman ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

14. Aspirasi Kerajaan adalah untuk membina 500,000 rumah mampu milik untuk Keluarga Malaysia di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) sebagai usaha merealisasikan wawasan ‘Satu Keluarga Satu Rumah’.

15. Aspirasi ini sangat dekat di hati saya dan pihak Kerajaan memahami kerisauan anak muda untuk mempunyai tempat untuk berteduh terutamanya selepas mereka bersara.

16. Meskipun berlakunya peningkatan kos binaan mendadak akibat konflik antara Rusia-Ukraine yang akan memberi kesan kepada harga rumah, Kerajaan beriltizam untuk memastikan satu rangka penyelesaian disediakan.

17. Sehubungan itu, Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) akan mencari penyelesaian terhadap masalah yang timbul selain memudahkan pembelian dan pemilikan rumah pada masa akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

18. Kerajaan menyedari kediaman menjadi keperluan mendesak bagi Keluarga Malaysia. Di bawah RMK-12 dan MPMMN, langkah-langkah segera dan jangka panjang telah digariskan untuk menyelesaikan perkara ini.

19. Ini adalah selari dengan usaha memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 dalam usaha mengelakkan mereka daripada menanggung beban kewangan yang berat.

20. Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan usaha-usaha sedia ada agensi-agensi Kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, yang dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari.

21. Saya juga berterima kasih kepada PR1MA kerana menyahut seruan Kerajaan supaya membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah RMK-12 dan menawarkan penyelesaian pembiayaan perumahan kepada Keluarga Malaysia terutamanya golongan muda.

22. Kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA dalam membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan yang mampan.

23. Falsafah penubuhan PR1MA bukan sekadar membangunkan rumah mampu milik tetapi lebih daripada itu. PR1MA turut bermatlamat membina satu komuniti yang bersepadu dan harmoni.

24. Saya berharap PR1MA akan terus cekap dalam menggalas sasaran ini dan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan wawasan ini dijayakan, dan bukan hanya sekadar janji.

25. Dengan hasrat tersebut, saya dengan lafaz Bismillahirahmanirrahim, merasmikan majlis pecah tanah Residensi PR1MA – Astrum Ampang.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.