Teks Ucapan Sempena Majlis Perasmian Hari Landskap Negara 2022

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

MAJLIS PERASMIAN HARI LANDSKAP NEGARA 2022

5 MAC 2022
MASA: 10.00 PAGI
TEMPAT: TAMAN BANDAR EKOFLORA, JOHOR BAHRU

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT, kerana dengan limpah perkenan dan keizinan-Nya, kita dapat berhimpun pada Majlis Pelancaran Hari Landskap Negara 2022 pada pagi ini.

2. Saya amat berbesar hati kerana dapat bersama-sama dengan Keluarga Malaysia di Taman Ekoflora, Johor Bahru bagi meraikan 25 Tahun Negara Taman Terindah, yang diangkat sebagai tema sambutan Hari Landskap Negara pada tahun ini.

3. Jabatan Landskap Negara diberi tanggungjawab untuk mengawal selia pembangunan landskap di seluruh negara, melalui perancangan dan pelaksanaan program Landskap Negara yang terancang, berkesan dan mampan.

4. Bagi memastikan pembangunan landskap yang lebih komprehensif, Dasar Landskap Negara telah digubal dan untuk pertama kalinya, metaphor Negara Taman Terindah diterima oleh Kerajaan, sebagai satu konsep yang memandu hala tuju pembangunan landskap Malaysia.

5. Malaysia bukan sahaja Negara Taman Terindah tetapi pembangunan fizikalnya diimbangi dengan persekitaran yang hijau, diurus baik, bersih dan indah, mempunyai ruang fizikal luaran yang unik, beridentiti serta berkualiti; bahkan memenuhi kriteria bandar rendah karbon.

6. Masyarakatnya yang menghuni pula bertamadun dan berbudaya tinggi, serta menghargai keseimbangan pembangunan fizikal, sosial, ekonomi dan persekitaran.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Rakyat menyedari kepentingan landskap dalam persekitaran dan kesejahteraan kehidupan. Taman–taman dan kawasan rekreasi awam telah dijadikan ruang terapi Keluarga Malaysia, dalam usaha meredakan tekanan hidup yang secara langsung, menyumbang kepada peningkatan kesejahteraan mental dan fizikal.

8. Kepentingan landskap sebagai komponen kesejahteraan sosial rakyat dibuktikan dengan peningkatan penggunaan taman- taman awam dan ruang landskap di seluruh Negara seperti Taman Persekutuan Bukit Kiara.

9. Data menunjukkan jumlah pengunjung ke Taman Persekutuan Bukit Kiara mencatatkan peningkatan sebanyak 287.10 peratus pada 2021 berbanding tahun sebelumnya dan ini membuktikan kepentingan taman menjadi ruang rekreasi utama Keluarga Malaysia semasa pandemik COVID-19.

10. Untuk menjadikan Malaysia Negara Taman Terindah tentunya bukan mudah dicapai, namun ia tidak mustahil untuk direalisasikan. Dalam tempoh 25 tahun ini, taman seluas 23,669.15 ekar telah dibangunkan di seluruh negara dan melalui kerjasama semua pihak, kualiti pembangunan landskap yang indah dan damai telah bercambah.

11. Menjadi hasrat Kerajaan agar setiap negeri mempunyai taman awam berkonsepkan Taman Persekutuan dan dapat meningkatkan akses rakyat kepada kawasan landskap, yang sekaligus meningkatkan kawasan hijau di kawasan perbandaran yang menjadi faktor utama penyumbang low – corbon, urban environmental comfort, yang memberi impak kepada peningkatan kualiti persekitaran dan kehidupan Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

12. Kejayaan pencapaian Malaysia Negara Taman Terindah adalah hasil penglibatan semua pemain industri landskap, seperti perunding, kontraktor, pengeluar dan pembekal produk serta pihak pemaju seperti di Taman Bandar Ekoflora ini di mana komitmen pemaju dalam menggunakan pendekatan landskap.

13. Seiring dengan penambahbaikan dasar semasa Kerajaan bagi memenuhi kehendak Keluarga Malaysia dalam mendepani cabaran serta keperluan negara terhadap pematuhan agenda kemampanan dunia; konsep pembangunan fizikal negara juga memerlukan perubahan.

14. Prinsip keseimbangan di antara pembangunan fizikal dan landskap, perlu dijadikan prinsip asas secara berterusan kepada peningkatan kualiti penghasilan, kemampanan persekitaran kehidupan.

15. Suka saya cadangkan supaya ia turut didasari dengan peningkatan nilai sosial dan ekonomi kepada Keluarga Malaysia, serta peningkatan nilai aset negara, sama ada dinilai berdasarkan nilai ketara atau nilai bukan ketara.

16. Bagi memastikan Keluarga Malaysia mendapat manfaat sepenuhnya, program Landskap Negara perlu diteruskan, dan kepentingan landskap dalam pembangunan negara perlu diperkukuhkan.

17. Sebagai satu panduan, suka saya mencadangkan agar empat perkara ini diberikan kepentingan, dalam hala tuju pembangunan landskap negara pada masa hadapan.

Pertama – Memperkemas sistem jaringan landskap negara.

Adalah wajar, perluasan penyediaan infrastruktur hijau negara diberikan keutamaan, menerusi pendekatan program pembangunan landskap yang menyeluruh.

Kedua – Mendaya upaya potensi dan nilai ekonomi industri landskap.

Seiring dengan perubahan global, sewajarnya kita mendaya upayakan potensi industri landskap negara sebagai satu nilai ekonomi atau sebagai satu sumber pulangan dan ekonomi baharu negara.

Ketiga – Melindungi aset landskap Keluarga Malaysia.

Satu kaedah kawalan secara perundangan diwujudkan bagi memastikan aset landskap dapat dilindungi selain pendidikan berterusan secara lebih berkesan kerana kehilangan . aset landskap itu akan membawa kerugian kepada negara dan sukar untuk dikembalikan.

Keempat – Mempertingkat kualiti perkhidmatan landskap negara.

Organisasi landskap yang lengkap di peringkat agensi, negeri dan tempatan adalah penting untuk memastikan perkhidmatan yang terbaik dapat diberikan kepada Keluarga Malaysia.

18. Saya mengharapkan agar pembangunan landskap pada masa 25 tahun akan datang menjadi lebih maju dan menawarkan kualiti landskap yang unggul untuk dinikmati oleh generasi mendatang dan segala usaha ini perlu bermula pada hari ini.

19. Dengan harapan dan hasrat tersebut, maka dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya merasmikan Hari Landskap Negara 2022.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah

Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.