Teks Ucapan Lawatan YAB Perdana Menteri ke Residensi Larkin Indah, Johor

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI MALAYSIA

SEMPENA

LAWATAN YAB PERDANA MENTERI KE RESIDENSI LARKIN INDAH, JOHOR

4 MAC 2022
MASA: 3.30 PETANG TEMPAT: RESIDENSI LARKIN INDAH,
JOHOR

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Pertama sekali, saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan Menteri Besar, Yang Amat Berhormat Dato’ Haji Hasni bin Mohammad kerana telah berusaha bersungguh-sungguh membina semula ekonomi negeri dalam tempoh yang mencabar ini.

2. Sebagaimana kita sedia maklum, Johor merupakan antara negeri yang menjadi perhatian pelabur luar sekali gus telah berjaya menarik Pelaburan Langsung Asing (FDI) yang tinggi ke dalam negara.

3. Usaha-usaha yang diambil ini sangat penting untuk menggerakkan dan memulihkan kembali ekonomi negara pasca COVID-19, terutamanya dalam membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak Johor pada masa akan datang.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

4. Selari dengan pertumbuhan ekonomi, perumahan juga menjadi keperluan kehidupan yang mendesak buat Keluarga Malaysia. Dengan keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat COVID-19, harga rumah masih dianggap terlalu mahal dan sukar dimiliki oleh golongan muda khususnya.

5. Justeru Kerajaan, melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK- 12) serta Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) telahpun menggariskan langkah-langkah segera dan jangka panjang yang perlu diambil untuk menyelesaikan perkara ini.

6. Saya amat berbangga dengan usaha Kerajaan Johor bersama-sama agensi Kerajaan lain seperti PR1MA untuk merealisasikan projek-projek perumahan di seluruh negeri Johor dalam menyahut seruan kerajaan untuk membina perumahan yang berdaya huni.

7. Ini selari dengan aspirasi memperkasakan pemilikan rumah mampu milik bagi golongan B40 dan M40 tanpa menanggung beban kewangan yang berat melalui program perumahan mampu milik.

8. Saya juga difahamkan pada Januari lalu, Kerajaan Negeri Johor telah mewujudkan Perbadanan Kemajuan Perumahan Johor (PKPJ) sebagai agensi utama yang menguruskan perumahan dan hartanah di negeri ini.

9. Ini ditambah dengan usaha-usaha sedia ada agensi-agensi Kerajaan lain seperti PR1MA misalnya, dapat menyumbang secara positif ke arah pemilikan rumah yang lestari.

10. Majlis hari ini adalah bukti keprihatinan pihak Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Johor serta pihak PR1MA dalam pemilikan rumah bagi Keluarga Malaysia yang berpendapatan sederhana di negeri ini dan kesungguhan mereka untuk membina komuniti pada hari esok.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

11. Setiap Keluarga Malaysia pastinya mengimpikan kehidupan yang harmoni, rumah yang selesa di samping kerjaya yang baik. Impian ini tidak mustahil untuk dicapai lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan padu daripada agensi-agensi yang berkaitan dalam mendukung aspirasi ini.

12. Malah, inisiatif pembiayaan inovatif PR1MA merupakan satu contoh yang wajar dijadikan penanda aras dalam usaha Kerajaan dan pihak industri seperti PR1MA dalam menyediakan akses kewangan yang mudah kepada pembeli rumah PR1MA.

13. Inisiatif yang mesra pembeli ini pastinya dapat membuka lebih banyak peluang kepada lebih ramai Keluarga Malaysia khususnya golongan muda dan yang berpendapatan pertengahan untuk memiliki rumah PR1MA tanpa bimbang tentang pembiayaan perumahan.

14. Ini adalah antara isu penting yang dibangkitkan dan dibincangkan semasa mesyuarat Majlis Perumahan Mampu Milik Negara (MPMMN) baru-baru ini. Alhamdulillah kita sudah dapat melihat hasil daripada perbincangan tersebut.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Saya yakin dan percaya bahawa inisiatif seperti ini membolehkan lebih ramai Keluarga Malaysia memiliki rumah sendiri termasuk mereka yang menghadapi masalah mendapatkan kelulusan pembiayaan dengan jaminan yang dikeluarkan oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP), sebuah syarikat milik penuh Kementerian
Kewangan.

16. Usaha ini adalah selari dengan pengumuman yang dilakukan semasa Belanjawan 2022 tahun lalu di mana sebanyak RM2 bilion telah diperuntukkan kepada SJKP untuk melaksanakan amanat ini.

17. Ini membuktikan komitmen Kerajaan yang ingin melihat Keluarga Malaysia mendapat akses kepada pembiayaan perumahan seperti PR1MA dengan lebih mudah dan luas.

18. Skim Pembiayaan Perumahan Inovatif PR1MA yang dilaksanakan adalah selari dengan Aspirasi Keluarga Malaysia serta Kempen Pemilikan Rumah, ‘Home Ownership Programme’ (HOPE) oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

19. Saya difahamkan, sebagai permulaan ia ditawarkan kepada pembeli kediaman Residensi Larkin Indah sebelum diperluaskan ke projek PR1MA yang lain.

20. Ini pastinya dapat memberi keselesaan kepada para pembeli rumah PR1MA pada masa akan datang untuk merancang pembelian rumah mereka dengan lebih yakin.

21. Ribuan terima kasih kepada PR1MA dan SJKP untuk kita membantu Keluarga Malaysia memiliki kediaman impian mereka.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

22. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada PR1MA kerana telah berusaha untuk menyahut seruan Kerajaan dalam membina lebih banyak rumah mampu milik di bawah RMK-12 serta mencari penyelesaian dalam masalah pembiayaan perumahan yang membelenggu Keluarga Malaysia, terutamanya anak muda masa kini.

23. Pihak PR1MA telah membuat pendekatan pemilikan rumah secara holistik – daripada membina rumah sehinggalah mencari solusi dalam mencari pembiayaan yang bersesuaian buat pada pembeli.

24. Kerajaan akan terus menyokong usaha PR1MA dalam menjalankan mandat mereka dan membantu golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah sendiri yang membolehkan penghuninya menikmati kehidupan yang mampan.

25. Seperti yang disebutkan, falsafah penubuhan PR1MA bukan sekadar membangunkan rumah mampu milik tetapi lebih daripada itu. PR1MA turut bermatlamat untuk membina satu komuniti yang bersepadu dan harmoni.

26. Harapan Kerajaan ialah untuk memastikan aspirasi “1 Keluarga 1 Rumah” dapat direalisasikan dan semoga PR1MA dapat memainkan peranan dalam membantu Kerajaan untuk mencapai wawasan ini.

27. Maka dengan ini, saya akhiri ucapan saya dengan wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat maju jaya kepada semua.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.