Kenyataan Media Berkaitan Kerjasama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Diperkasa

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


KERJASAMA KERAJAAN PERSEKUTUAN DAN KERAJAAN NEGERI DIPERKASA


1. Pada hari ini, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138. Mesyuarat secara bersemuka ini dihadiri oleh Menteri Besar dan Ketua Menteri serta Menteri-Menteri Kabinet yang berkaitan.

2. Sebanyak lima kertas telah dibentangkan yang melibatkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri bagi memastikan agenda kesejahteraan Keluarga Malaysia dapat dilaksanakan.

3. Antara agenda perbincangan hari ini ialah komitmen bersama Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri berhubung perolehan tanah untuk pelaksanaan pembangunan kerajaan berkepentingan awam.

4. Kerajaan bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur yang berkualiti untuk kemudahan Keluarga Malaysia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi. Isu tanah menyebabkan kelewatan dan secara tidak langsung memberi implikasi kewangan kepada Kerajaan.

5. Dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12), kerajaan memberi tumpuan kepada projek infrastruktur berimpak tinggi seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), landasan berkembar elektrik Gemas ke Johor Bahru, Projek Sistem Transit Rapid (RTS), Lebuh raya Pantai Barat (WCE), Central Spine Road dan Lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai. Projek-projek ini akan beri limpahan ekonomi yang besar kepada negeri-negeri terbabit

6. Mesyuarat hari ini membuat keputusan, Kerajaan Negeri perlu memberikan keutamaan dan menyegerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah untuk projek Kerajaan Persekutuan.

7. Tanah projek yang melibatkan jajaran diluluskan secara perizaban manakala tapak pusat operasi, pejabat atau stesen diluluskan secara pemberimilikan.

8. Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan isu halangan di atas tanah Kerajaan Negeri yang terlibat dengan projek-projek kerajaan berkepentingan awam.

9. Pada masa sama, perbincangan lanjut akan diadakan berhubung kadar premium yang dikenakan untuk pemberimilikan dan cukai tanah oleh Kerajaan Negeri selaras dengan ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Tanah Negara.

10. Mesyuarat turut dimaklumkan mengenai Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) yang akan mula dilaksanakan April 2022 melibatkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara yang membabitkan penglibatan semua pihak khususnya Kerajaan Negeri. BMTKM akan menggunakan pendekatan berikut:

i. Menubuhkan Unit Kemiskinan khusus pada peringkat Persekutuan, Negeri dan Daerah.
ii. Mewujudkan pangkalan data kemiskinan yang bersepadu dan berpusat
iii. Mempertingkat program pendekatan dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara (whole-of-nation approach)
iv. Melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi.

11. Program yang bertujuan membasmi miskin tegar pada tahun 2025 ini akan bermula dengan fasa 1 melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara. Fasa 2 dan Fasa 3 akan bermula pada September dan Disember 2022. Fasa 4 sehingga fasa 6 akan dilaksanakan pada tahun 2023.

12. BMTKM adalah sejajar dengan dasar dan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar RMKe-12.

13. Mesyuarat juga dimaklumkan mengenai strategi pengurusan bencana disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu akibat daripada pemanasan global melibatkan 11 penyelesaian jangka pendek dan 9 penyelesaian jangka panjang.

14. Penyelesaian jangka pendek antaranya ialah:

i. Memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir (pam, pintu air dan set generator) pada tahap optimum dengan kerjasama kerajaan negeri
ii. Menyelenggara, mendalam dan membersih sistem saliran dan takungan banjir.
iii. Menaik taraf 516 stesen siren dan 155 stesen kamera web sedia ada dan membangunkan 361 stesen kamera web baharu.
iv. Menaik taraf 100 stesen pencerapan cuaca menggunakan peralatan berteknologi tinggi yang boleh mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca masa nyata (real time) dan boleh percaya (reliable).
v. Meningkatkan keupayaan aplikasi myCuaca untuk penyampaian maklumat kritikal yang efisien dan berkesan kepada Keluarga Malaysia.

Antara Langkah penyelesaian jangka panjang ialah:

i. Pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air.
ii. Pendekatan nature-based solution seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat.
iii. Meningkatkan kapasiti takungan air banjir.
iv. Memperkasa pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu.

15. Mesyuarat turut bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri terutama melibatkan projek- projek pembangunan di negeri-negeri.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
8 MAC 2022

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.