Teks Ucapan Sempena Majlis Pelancaran Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia

TEKS UCAPAN

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB PERDANA MENTERI

SEMPENA

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM SEMARAK NIAGA KELUARGA MALAYSIA

PADA 21 FEBRUARI 2022 (ISNIN) JAM 10.00 PAGI BERTEMPAT DI GRAND BALLROOM, HILTON HOTEL, KL SENTRAL

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

1. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah dan izin-Nya, dapat kita bersama-sama berhimpun pada pagi yang bermakna ini.

2. Terima kasih kepada Kementerian Kewangan kerana mengundang saya untuk menyempurnakan Majlis Perasmian Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

3. Semasa lawatan saya ke ladang Farm Fresh di Muadzam Shah baru- baru ini, saya sempat berinteraksi dengan usahawan kecil dan besar, seterusnya memberi gambaran jelas akan peranan mereka dalam menyediakan peluang pekerjaan, merapatkan jurang pendapatan dan menangani cabaran jangka masa panjang seperti sekuriti makanan.

4. Saya percaya sumbangan dan peranan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan di seluruh negara amat penting dalam memulihkan ekonomi negara.

5. Justeru, Kerajaan sentiasa komited dalam memastikan keupayaan sektor perniagaan terpelihara, terutamanya bagi PMKS, yang terjejas ekoran pandemik COVID-19.

6. Majlis Perasmian Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia pada hari ini merupakan petanda yang jelas komitmen Kerajaan dalam memastikan ekosistem PMKS terus berdaya saing.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

7. Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan berjumlah RM40 bilion akan memperbanyakkan akses pembiayaan kepada sektor perniagaan, terutamanya untuk pengusaha PMKS dan sektor informal.

8. Program ini merangkumi pinjaman langsung, jaminan pembiayaan dan suntikan ekuiti untuk dimanfaatkan oleh setiap golongan usahawan.

9. Bagi perniagaan mikro dan kecil, Kerajaan peka akan keperluan akses kepada pembiayaan dengan kadar faedah yang rendah. Dalam perkara ini, Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro TEKUN Nasional atau CBRM, akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 ribu pada kadar faedah 0 peratus dengan keutamaan diberi kepada peniaga sektor informal. Saiz dana untuk program ini sahaja berjumlah RM200 juta.

10. Bagi usahawan agro-makanan pula, skim mikro kredit oleh Agrobank akan menawarkan pinjaman sehingga RM75 ribu pada kadar 0 peratus untuk enam bulan pertama berserta kemudahan moratorium sehingga enam bulan.

11. Bagi perniagaan yang lebih matang, institusi kewangan seperti SME Bank akan menawarkan pinjaman sehingga RM10 juta di bawah skim IBS Promotion Fund 2.0 dan RM1 juta di bawah Program Pembiayaan Usahawan Muda 2.0 (atau YEF 2.0). Secara kolektif, saiz dana untuk kedua-dua skim ini berjumlah RM300 juta.

12. Untuk syarikat yang berdaya maju namun mempunyai kekangan mendapatkan dana baharu, Kerajaan dan institusi kewangan telah merangka suatu pembiayaan bentuk baharu yang lebih anjal bagi meluaskan keupayaan untuk memulihkan perniagaan.

13. Salah satunya ialah melalui kaedah equity crowd funding dan peer-to- peer financing yang akan disokong dengan peruntukan RM80 juta secara geran padanan untuk Malaysia Co-investment Fund, tambahan kepada pelaburan oleh Bank Pembangunan Malaysia Berhad atau BPMB, sebanyak RM100 juta.

14. Bagi membantu syarikat yang berdepan masalah keberhutangan atau gearing yang tinggi, kaedah pendanaan melebihi RM2.1 bilion melalui pelaburan ekuiti dan quasi-equity turut tersedia.

15. Kaedah ini diterajui oleh SME Bank dengan dana bernilai RM600 juta. BPMB juga akan menawarkan Skim RESET, atau Rehabilitation and Support Through Equity, dengan saiz dana sebanyak RM500 juta.

16. Bank Negara Malaysia atau BNM, juga menyediakan Business Recapitalisation Facility bernilai 1 bilion ringgit untuk tujuan yang sama.

17. Secara keseluruhannya, sejumlah RM13 bilion dana tersedia untuk PKS. Untuk ketersediaan dana yang berterusan, dana khas BNM terutamanya Targeted Relief and Recovery Facility dan Agrofood Facility telah ditingkatkan secara kolektif sebanyak 2.5 bilion ringgit kepada RM10 bilion. Jumlah ketersediaan pelbagai dana PKS BNM pada masa ini adalah sebanyak RM10 bilion.

18. Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia juga merangkumi jaminan pembiayaan perniagaan.

19. Dalam perkara ini, skim di bawah Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan, atau SJPP, akan ditambah baik dengan menyediakan jaminan untuk pembiayaan yang dijadual dan distruktur semula dengan tambahan had jaminan sebanyak RM22 bilion. Ini akan membantu syarikat mendapatkan pembiayaan baharu yang sebelum ini sukar diperolehi.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

20. Ingin saya tegaskan bahawa inisiatif-inisiatif ini tidak mengambil kira penambah-baikan kepada Bantuan Banjir Keluarga Malaysia bagi PMKS yang terjejas yang telah saya umumkan baru-baru ini.

21. Jelas sekali, Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia dan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia mencerminkan prinsip Keluarga Malaysia di mana “tiada yang dipinggirkan”, bagai berdiri sama tinggi, duduk sama rendah, bersukat sama paras, bertimbang sama berat.

22. Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pelengkap kepada usaha Kerajaan melalui sektor Kewangan dalam menyediakan kemudahan pembiayaan dan bantuan bayaran balik pinjaman terutamanya dalam fasa pemulihan pasca pandemik ini.

23. Saya berbesar hati apabila dimaklumkan bahawa:

i. Dari 1 Jun sehingga 24 Disember 2021, bantuan bayaran balik pinjaman telah dimanfaatkan oleh 95,800 peminjam PMKS dan 2.7 juta peminjam individu;

ii. Bagi PMKS yang menghadapi masalah pembiayaan perniagaan, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kewangan, atau AKPK, juga sedia menawarkan perkhidmatan percuma termasuk Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil, atau SPPK, merangkumi bantuan penstrukturan atau penjadualan semula pembiayaan sedia ada;

iii. Sejak bermulanya pandemik COVID-19, dana PKS BNM telah dimanfaatkan oleh lebih dari 53,000 PMKS dengan jumlah pembiayaan berjumlah hampir RM20 bilion; dan

iv. Pinjaman kepada segmen perniagaan oleh sektor perbankan mencatatkan perkembangan 4.9 peratus dengan jumlah pengeluaran pinjaman atau disbursements sebanyak RM84 bilion pada suku keempat 2021.

Keluarga Malaysia yang saya hormati,

24. Dalam jangka masa panjang, adalah mustahak bagi sektor PMKS menjadi pemacu baru kepada pertumbuhan negara.

25. Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), transformasi PMKS merupakan salah satu daripada pelbagai projek game changer yang akan dilaksanakan untuk meningkatkan daya saing dan sumbangan segmen ini kepada pembangunan ekonomi negara.

26. Antara inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk:

i. Pelaksanaan sebuah micro, small, and medium enterprises (MSMEs) digitalisation roadmap;

ii. Peralihan fokus PMKS dari pasaran bertumpu tempatan ke pasaran dunia;

iii. Pelaksanaan program intervensi second chance bagi peniaga tertentu; dan

iv. Pemerkasaan ekosistem koperasi dalam menjana generasi usahawan yang baru.

27. Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Jalinan Digital Negara, atau JENDELA, dan inisiatif Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia, atau MyDigital, yang bakal memacu Malaysia sebagai peneraju sektor ekonomi digital yang cekap dan proaktif, seterusnya mencorak sebuah negara bangsa yang berpendapatan tinggi.

28. Insya-ALLAH, inisiatif-inisiatif ini akan meningkatkan sumbangan PMKS kepada KNDK negara ke 45 peratus, sumbangan kepada eksport negara ke 25 peratus dan menjana 2 “unicorn” kebanggaan Malaysia menjelang 2025.

29. Secara tidak langsung, setelah sektor perniagaan pulih, peluang pekerjaan juga akan bertambah. Seterusnya, sasaran 600,000 peluang pekerjaan akan tercapai melalui sumbangan penciptaan pekerjaan di sektor PMKS ini.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

30. Setelah hampir dua tahun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19, tahun ini bukan sahaja akan menjadi tahun pemulihan, malah ia juga akan menjadi tahun untuk menyusun semula, atau reform.

31. Kepada komuniti PMKS, saya berharap agar Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia akan menjadi pemangkin kepada pemulihan dan penyusunan semula perniagaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

32. Dalam berbuat demikian, saya menyeru seluruh Keluarga Malaysia – Kerajaan, sektor perbankan dan komuniti perniagaan – dalam menyahut cabaran jangka masa panjang negara dan merealisasikan aspirasi akan sebuah Malaysia yang “Makmur, Inklusif dan Mampan”.

33. Dengan lafaz Bismillahhirrahmannirrahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Program Semarak Niaga Keluarga Malaysia.

Sekian,

Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.