Teks Ucapan Sempena Majlis Pecah Tanah Ibu Pejabat Baharu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA
SEMPENA
MAJLIS PECAH TANAH
IBU PEJABAT BAHARU
PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM)
PRESINT 5, PUTRAJAYA

17 JANUARI 2022, ISNIN | 10 PAGI
PADANG PRESINT 5, PUTRAJAYA

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Salam Sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia.

SALUTASI

1. Alhamdulillah, kita bersyukur kepada Allah SWT kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, dapat kita bersama-sama berhimpun pada pagi ini sempena MAJLIS PECAH TANAH IBU PEJABAT BAHARU PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM) PRESINT 5, PUTRAJAYA.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana telah mengundang saya untuk merasmikan majlis ini.

3. Saya dimaklumkan pembinaan Ibu Pejabat FAM yang baharu ini akan bermula pada tahun ini dan merupakan ibu pejabat ketiga FAM. Wisma FAM yang terletak di Kelana Jaya telah beroperasi sejak lewat 1980.

4. Syabas diucapkan kepada Presiden FAM, Yang Berbahagia Datuk Haji Hamidin Bin Haji Mohd Amin dan barisan exco FAM atas inisiatif ini, menerusi usaha sama dengan pemaju.

5. Sebagaimana yang dimaklumkan oleh Yang Berbahagia Datuk Hamidin dalam ucapannya, beliau meneruskan legasi yang ditinggalkan oleh Almarhum Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah yang merupakan Presiden FAM dari tahun 1984 hingga 2014, untuk membina sebuah ibu pejabat yang menepati aspirasi dan tuntutan bola sepak moden yang berprestasi tinggi.

6. Ini adalah satu penghormatan paling besar yang boleh kita berikan sebagai usaha menghidupkan legasi Almarhum. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas roh Almarhum atas segala jasa dan sumbangan Baginda dalam sukan, khususnya bola sepak.

7. Tapak seluas 6 ekar ini akan dijadikan sebagai Pusat Latihan Kebangsaan FAM serta pelbagai fasiliti yang mampu menampung program bola sepak di peringkat akar umbi sehingga kebangsaan.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

8. Majlis pecah tanah hari ini merupakan simbolik permulaan kepada pembangunan infrastruktur atau perkakasan kepada FAM kerana bakal menyediakan pelbagai fasiliti.

9. Namun begitu, seperti juga mana-mana organisasi kerajaan mahupun bukan kerajaan, pembangunan perisian atau ‘software’ dalam kecemerlangan modal insan wajar diutamakan melalui perancangan strategik jangka masa sederhana dan panjang untuk kemajuan industri bola sepak negara.

10. Bola sepak adalah sukan yang paling popular. Bola sepak menjadi sukan nombor satu negara. Bak kata orang, Keluarga Malaysia makan bola, tidur bola, tengah kerja pun bola. Bola sepak turut terbukti menyatukan Keluarga Malaysia. Saya juga peminat sukan bola sepak dan sentiasa mengikuti perkembangan bola sepak negara, Harimau Malaya.

11. Pasukan bola sepak negara ini mempunyai peminat yang ramai dan memiliki penyokong yang setia iaitu Ultras Malaya. Peminat dan penyokong ini sentiasa dahagakan kejayaan skuad negara sama ada di peringkat Asia Tenggara, Asia mahupun antarabangsa.

12. Kerana itu, sentiasa menjadi harapan peminat dan penyokong Harimau Malaysia agar FAM dapat melahirkan pemain-pemain yang berkualiti dan membangunkan fasiliti secara terancang bagi meningkatkan mutu bola sepak negara.

13. Dalam bola sepak, pembangunan pemain bola sepak bukan setakat infrastruktur yang canggih dan moden semata-mata. Bola sepak negara hanya akan maju apabila melibatkan pembangunan pemain yang sistematik bermula dari peringkat akar umbi dan seterusnya menggilap bakat mereka sehingga menjadi aset terbaik negara.

14. Pembangunan akar umbi yang mantap dan berkesan memerlukan semangat profesionalisme yang tinggi. Sikap profesional menuntut sesebuah organisasi dan juga individu untuk membuat perancangan yang rapi. Failing to plan is planning to fail.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

15. Kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik untuk membantu perkembangan mutu bola sepak negara. Peta Hala Tuju atau F:30 yang dilancarkan pada 2018 pula adalah simbol kesungguhan FAM dalam melaksanakan pelan menyeluruh ke arah menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bola sepak yang disegani. Sasaran utama F:30 ini adalah menjadikan pasukan negara sebagai salah satu daripada lima pasukan terbaik di Asia menjelang 2030.

16. Sasaran ini mampu dicapai dengan syarat pucuk pimpinan FAM sentiasa menambah baik hala tuju dalam tempoh 12 tahun ini dari semasa ke semasa dan tidak lari daripada objektif asal mereka.

17. Seorang pemain bola sepak yang berbakat perlu dibimbing oleh jurulatih yang terbaik dari usia muda. Seorang jurulatih pula perlu mendapat tunjuk ajar dariapda instruktur atau jurulatih pakar. Proses ini bukanlah satu rahsia besar tetapi menjadi formula kejayaan untuk mana-mana pasukan.

18. Dengan kemahiran teknikal yang dimiliki hasil daripada bimbingan jurulatih yang hebat, ia sekaligus meningkatkan kebolehpasaran pemain bukan sahaja di liga tempatan malah ke peringkat antarabangsa.

19. Contohnya pasukan Chelsea atau The Blues yang berpangkalan di Stamford Bridge, England. Ekosistem pasukan Liga Perdana Inggeris ini cukup lengkap. Akademi mereka mengendalikan pasukan yang dianggotai pemain semuda 9 tahun hingga 23 tahun, satu ekosistem yang menuntut pembabitan jurulatih, pengurusan kelab dan sokongan ibu bapa.

20. Selain meningkatkan kemampuan teknikal, kelab itu juga membangunkan daya kebolehpasaran serta kualiti pemain yang menyarung jersi biru itu. Ini yang patut dicontohi oleh kelab-kelab bola sepak di negara ini.

21. Begitu juga dengan pasukan Vietnam. Pada tahun 2006, pasukan itu menduduki ranking 172 dan kini mereka menjadi satu-satunya pasukan dari Asia Tenggara yang berjaya mara ke pusingan akhir kelayakan Piala Dunia 2022. Apa yang membezakan Malaysia dan Vietnam? Jawapannya adalah pembangunan bola sepak di peringkat awal.

22. Kunci kepada peningkatan prestasi pasukan Vietnam ialah Akademi Hoang Anh Gia Lai yang menjalinkan kerjsama dengan pasukan Arsenal, sekolah bola sepak Perancis JMG Academy dan sokongan konglomerat Vietnam.

23. Jika kita memperhebatkan program pembangunan seperti akademi yang bermula daripada daerah dan seterusnya negeri, kita juga akan dapat melahirkan pemain-pemain yang bagus dan berbakat besar.

Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

24. Saya sedar, apabila bercakap soal pembangunan bola sepak, tanggungjawab itu tidak seharusnya dipikul oleh FAM semata-mata. Ia wajar menjadi agenda nasional, dengan kerjasama kementerian yang berkaitan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) serta sektor swasta yang boleh menyumbang dari segi sokongan material dan fizikal.

25. Sebagai balasan, dengan bantuan modal insan yang ada dalam FAM, badan induk sukan bola sepak negara ini boleh menjamin pulangan atas pelaburan (ROI) bagi memenuhi tuntutan penaja.

26. Saya berharap projek pembinaan ibu pejabat FAM ini dapat dilaksanakan dengan jayanya agar menjadi sumber kekuatan kepada tadbir urus FAM dalam membentuk pasukan kebangsaan yang mampu berdaya saing di peringkat antarabangsa, serta mampu membangunkan modal insan yang mahir dari segi teknikal, pengurusan, kepengadilan dan kejurulatihan.

27. Sejajar dengan pembangunan ini, saya sebagai penyokong Harimau Malaya mewakili seluruh Keluarga Malaysia, amat mengharapkan FAM akan menitikberatkan kecemerlangan serta persediaan yang lebih baik dan rapi sebelum perlawanan agar kita tidak mudah kecundang.

28. Dengan lafaz ‘Bismillahirrahmannirrahim’, saya merasmikan MAJLIS PECAH TANAH IBU PEJABAT BAHARU PERSATUAN BOLA SEPAK MALAYSIA (FAM) PRESINT 5, PUTRAJAYA

Sekian,
Wabillahi Taufik Wal Hidayah
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kenaikan OPR

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.