GALERI GAMBAR : MUNAJAT AMBANG TAHUN BAHARU 2023


KUALA LUMPUR, 31 Dis (Bernama) — Kerajaan akan terus memperkasa usaha untuk meningkatkan lagi keyakinan pelabur luar dengan mengamalkan tadbir urus yang baik dan menjadikan Malaysia bebas rasuah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata ini memandangkan kerajaan telah mendapat senarai pelabur dari negara seperti Eropah, Amerika Syarikat, China, India serta beberapa negara sekitar Asia yang akan datang dan melihat sendiri perkembangan di Malaysia khususnya dari aspek ekonomi. 

“Kita harap ada tumpuan baharu yang boleh meningkatkan dan memacu pertumbuhan ekonomi lebih meyakinkan. Ini perlu kerana Malaysia adalah negara perdagangan yang selama ini mencatat kadar pertumbuhan ekonomi berdasarkan usaha kita menerima pelaburan domestik dan luar negara. 

“Selain kestabilan politik dan tadbir urus yang baik, langkah lain yang harus diambil ialah dengan usaha mempercepat proses kelulusan dengan menjamin bahawa Malaysia ini bukan tempat pemimpin-pemimpin menggondol kekayaan, bukan mencari helah menerima komisen,” kata beliau. 

Perdana Menteri berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 yang disiarkan secara langsung menerusi saluran stesen televisyen tempatan malam ini. 

Sehubungan itu, beliau memberi amaran tegas tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana penjawat awam serta badan penguat kuasa yang didapati ‘cuai’ dalam menjalankan tugas dengan meneruskan ‘adegan lama’ mengutip habuan dan menetap kos tambahan.

“Saya tidak akan bertolak ansur dengan segala kecuaian yang meroboh dan merosakkan negara selama ini. Saya mohon kerjasama kerana saya tahu sejumlah besar penjawat awam dan kelompok kecil ini mengerti dan faham, dan kelompok ini mesti dihapuskan.

“Mudah-mudahan ada keinsafan, jika tidak tindakan tegas dan keras harus diambil,” kata beliau.

Anwar berkata beliau juga tidak mahu kepincangan politik terus berlarutan dan melihat kedudukan serta jawatan sebagai satu kesempatan untuk ‘memunggah’ kekayaan.

“Saya singgung serangan yang mengatakan seolah-olah kami dalam kerajaan terpalit dalam hal-hal sedemikian, saya nak sebut bahawa sikap kita jelas, badan penguatkuasaan diberikan sepenunnya untuk memantau,” katanya.

Anwar turut mengingatkan agensi kerajaan supaya mengamalkan budaya kesederhanaan dan mengelakkan pembaziran selain akan terus memantau semua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) termasuk perbelanjaan mereka.

Selain itu, Perdana Menteri tidak mahu slogan ‘anjakan paradigma’ yang sering dilaung-laungkan tidak diterjemah dengan sebetulnya terutama dalam aspek pembangunan yang melibatkan kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kita akan dengan teruskan pembangunan tetapi jangan kita remehkan, jangan abai nasib dan kedudukan mereka di peringkat bawah, itu konsep pembangunan yang tertera dalam al-Quran, konsep pembangunan  fizikal tidak boleh terlepas daripada nilai hidup, akhlak dan ketakwaan,” katanya.

Sementara itu, bagi menangani isu perkauman sempit dan agama yang menghukum tanpa berlandaskan fakta, Perdana Menteri berkata Kerajaan Perpaduan akan memperhebat aktiviti imarah, pengajian dan latihan di masjid-masjid bagi anak muda.

Beliau juga mahu ada peningkatan kefahaman agama dalam kalangan umat Islam dan bukan Islam, bagi mengelakkan bibit-bibit Islamophobia yang tertanam sejak zaman penjajah, daripada mempengaruhi dan mengelirukan pemikiran masyarakat. 

— BERNAMA

PUTRAJAYA, 31 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini menyertai lebih 2,000 jemaah di Masjid Putra di sini untuk menunaikan solat hajat dan bacaan Yasin sempena program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023.

Beliau yang berbaju Melayu tiba di masjid berkenaan kira-kira pukul 6.21 petang diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Mohd Na’im Mokhtar sempat menjamu selera bersama jemaah yang hadir sebelum menunaikan solat Maghrib berjemaah.

Turut serta Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan beberapa menteri Kabinet antaranya Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

Solat Maghrib dan solat hajat diimamkan oleh Imam Besar Masjid Putra Salahuddin Ghozali, disusuli bacaan yasin dan doa selamat.
Anwar dijadual menyampaikan amanat khas pada 8 malam yang akan disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum menunaikan solat Isyak pada 8.30 malam.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka yang sepatutnya diadakan malam ini, dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri dilanda musibah banjir selain bagi menghormati mangsa-mangsa yang terkorban dalam kejadian tanah runtuh di Batang Kali, baru-baru ini.

— BERNAMA

JOHOR BAHRU, 30 Dis (Bernama) — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Istana Bukit Serene, di sini hari ini.

Kenderaan yang membawa Perdana Menteri ke-10 itu tiba di istana berkenaan kira-kira 10.30 pagi.

Terdahulu, Sultan Ibrahim berangkat tiba di istana tersebut pada 9.34 pagi, diikuti Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim 10 minit kemudian.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Tambun itu disambut Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi setibanya di Senai Business Aviation Terminal pada 9.55 pagi.

Ini merupakan kali kedua Anwar menghadap Sultan Ibrahim dan kali pertama beliau ke negeri ini selepas mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov lepas.

Pengerusi Pakatan Harapan itu pernah menghadap Sultan Johor tiga hari selepas mengangkat sumpah.
Anwar turut dijadual bertemu masyarakat ketika makan tengah hari di Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96, Kampung Melayu Majidee, di sini.

Selepas itu, beliau akan menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Melayu Majidee sebelum kembali ke ibu negara.
Kali terakhir Anwar ke Johor ialah ketika berkempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 awal November lepas.

— BERNAMA

JOHOR BAHRU, 30 Dis (Bernama) — Kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk lawatan kerja kali pertama ke Johor selepas dilantik jawatan itu, diharap dapat meningkatkan lagi hubungan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata lawatan perdana menteri disambut oleh Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Azmi Rohani.

Perdana Menteri juga diberi sambutan meriah dengan kehadiran kira-kira 3,000 masyarakat di Masjid Kampung Melayu Majidee ketika solat Jumaat, kata Ahli Parlimen Johor Bahru itu kepada pemberita selepas solat Jumaat di masjid berkenaan, di sini, hari ini.

“Beliau memang maklum kepada saya untuk aturkan, kalau sempat untuk solat Jumaat dan dalam banyak masjid, Masjid Kampung Melayu Majidee dipilih kerana ada sejarah dan nostalgia Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan (pecah tanah bangunan baharu masjid itu) pada 1995.

“Saya juga berterima kasih kepada Menteri Besar (Johor) kerana sama-sama menyambut kehadiran Perdana Menteri, dengan harapan supaya hubungan pusat dan negeri Johor dapat dipertingkatkan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai perkara yang sempat dibincangkan ketika bersama Anwar, beliau berkata isu banjir di Johor merupakan antara perkara yang dibangkitkan ketika bertemu Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu.

“Saya sempat mengangkat permasalahan isu banjir ini, dan sememangnya komitmen kerajaan pusat seperti banjir di Segamat memang kami akan teruskan.

“Cuma perincian itu akan menyusul, begitu juga isu berkaitan banjir kilat di bandar raya Johor Bahru,” kata beliau yang juga Pengarah Strategi PKR.

Terdahulu, perdana menteri meluangkan masa kira-kira setengah jam untuk menikmati sajian tengah hari bersama masyarakat dan pemimpin tempatan di Restoran Murtabak Kampung Melayu Azo 96.
— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) — Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjemput orang ramai hadir memeriahkan program Munajat Ambang Tahun Baharu 2023 bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Masjid Putra, Putrajaya esok.

Program pengisian malam tahun baharu 2023 itu bermula 6.30 petang dengan aktiviti jamuan makan malam diikuti solat Maghrib, solat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat pada 7.15 malam.

Perdana Menteri kemudian dijadual memberi ucapan amanat khas pada 8 malam yang turut disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebelum menunaikan solat Isyak pada 8.30 malam.

“Pelbagai pengisian acara disajikan untuk kita semua. Kita jumpa di sana, insya-Allah,” menurut JAKIM dalam hantaran di Facebook.

Sebelum ini, Anwar mengumumkan Sambutan Ambang Tahun Baharu 2023 di Dataran Merdeka yang sepatutnya diadakan esok dibatalkan berikutan keadaan beberapa negeri dilanda musibah banjir.
–BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Memorandum Transformasi Parlimen telah diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini selaras dengan komitmen yang dibuat antara kerajaan dan pembangkang pada Februari lepas.

Kenyataan bersama Pejabat Yang Dipertua Dewan Negara dan Pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat memaklumkan memorandum itu disampaikan oleh Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Dr Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul.

“Perdana Menteri menyambut baik usaha tersebut dan memaklumkan kepada kedua-dua Yang Dipertua bahawa penelitian khusus akan dilakukan termasuk pandangan objektif Jemaah Menteri dan pihak berwajib yang lain,” menurut kenyataan itu.

Katanya Jawatankuasa Transformasi Parlimen yang dipengerusikan Rais sejak setahun lepas telah menyelesaikan kerja-kerja semakan perundangan ke arah menjadikan Parlimen bebas daripada kepentingan dan kuasa mana-mana pihak termasuk Eksekutif.

“Memorandum itu juga mengesyorkan supaya Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 diperbaharui dan dilunaskan dengan segera supaya konsep Asingan Kuasa benar-benar dilaksanakan dan bersekali menjaga kepentingan penjawat awam yang berkhidmat di bawah Parlimen kini,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, penyampaian memorandum tersebut menyentuh beberapa pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 untuk mengendalikan isu berkaitan kelakuan, kanun etika dan tata disiplin setiap Ahli Parlimen di kedua-dua Dewan.

“Kedua-dua Speaker Parlimen dan Perdana Menteri juga membincangkan tentang potensi menjadikan ‘rasa juang negara’ dalam kalangan peserta Parlimen Belia melalui sebaran dan serapan nilai-nilai Rukun Negara yang kini didapati tiada promosi dalam kalangan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

Rais turut memaklumkan Anwar akan bertemu pimpinan Dewan Negara dalam tempoh terdekat bagi melunaskan beberapa hal dan isu berkaitan Senat sebagai Dewan Tertinggi Negara.

— BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengadakan pertemuan dengan pengurusan tertinggi Perbendaharaan, antara lain bagi membincangkan mengenai Belanjawan 2023. 

Pertemuan tersebut diadakan bersama Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Dasar), Datuk Johan Mahmood Merican dan Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Pelaburan), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin, tengah hari tadi di Putrajaya.

“Kami menelaah serta menekuni urusan Perbendaharaan terutamanya soal rakyat dan Belanjawan 2023 yang akan datang, selain menyelesaikan urusan kerajaan sebelum melangkah ke tahun baharu 2023,” katanya menerusi catatan di Facebook. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul hari ini mengesahkan Anwar dijadual membentangkan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat pada 24 Feb pada Sidang Pertama Parlimen ke-15, tahun depan.

Belanjawan itu akan dibentangkan Anwar, yang juga Menteri Kewangan, pada sidang Dewan Rakyat bermula pada 13 Feb.

— BERNAMA