Kenyataan Media – CCA Kerajaan Negeri Sabah Dan Petronas: Mercu Tanda Pembangunan Industri Minyak & Gas

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


CCA KERAJAAN NEGERI SABAH DAN PETRONAS:
MERCU TANDA PEMBANGUNAN INDUSTRI MINYAK & GAS


Kerajaan mengalu-alukan pencapaian permuafakatan di antara Kerajaan Negeri Sabah dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam isu berkaitan industri minyak dan gas di negeri tersebut, melalui sebuah Perjanjian kolaborasi komersial atau commercial collaboration agreement (CCA).

CCA yang ditandatangani bersama oleh Kerajaan Negeri Sabah dan PETRONAS di Kota Kinabalu hari ini, merupakan mercu tanda dalam usaha sama pembangunan industri minyak dan gas di Sabah.

Kerjasama strategik ini akan memberi kesan limpahan ekonomi yang lebih menyeluruh di negeri berkenaan.

Perjanjian yang dimeterai juga akan membolehkan Kerajaan Negeri Sabah memainkan peranan yang lebih besar dalam mengembangkan industri minyak dan gas melalui usahama erat bersama PETRONAS.

Di samping itu, ia akan membuka lagi peluang perniagaan yang lebih meluas kepada syarikat-syarikat tempatan untuk berkecimpung di dalam industri khidmat minyak dan gas di Sabah.

Pada masa yang sama, PETRONAS akan terus memainkan peranan sebagai syarikat petroleum milik negara dengan kuasa penuh dalam mengawal selia pembangunan industri minyak dan gas secara menyeluruh, selaras dengan undang-undang negara.

Permuafakatan yang berjaya dicapai sesungguhnya melambangkan komitmen Kerajaan Persekutuan untuk berkerjasama dengan Kerajaan Negeri Sabah bagi memastikan pembangunan yang inklusif agar manfaat pembangunan negara dapat dinikmati bersama secara lebih adil dan saksama.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
7 DISEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Peluasan Projek MRT

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.