Kenyataan Media Berkaitan Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021

 KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


MESYUARAT KETIGA MAJLIS AIR NEGARA (MAN) 2021


Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Ketiga Majlis Air Negara (MAN) 2021 secara maya hari ini. Mesyuarat telah dihadiri oleh Menteri-Menteri Persekutuan, Menteri-Menteri Besar/Ketua-Ketua Menteri, Ketua Setiausaha Negara, Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua-ketua Jabatan/Agensi yang berkaitan.

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bertindak sebagai sekretariat Majlis.

MAN adalah platform penting bagi penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dan Negeri bagi menetapkan dasar, hala tuju dan pendekatan berhubung dengan pengurusan dan pembangunan air negara.

Mesyuarat telah menekankan bahawa negara perlu memberi perhatian serius terhadap impak peningkatan suhu global melebihi 1.1 darjah celsius yang mengakibatkan musim kering dan kekerapan kejadian banjir.

Mesyuarat menyarankan supaya tindakan mengambil kira faktor kesan perubahan iklim dilaksana segera dalam perancangan pembangunan supaya negara dapat mengelak peningkatan kerosakan harta benda dan juga kehilangan nyawa pada masa hadapan.

Selain itu, mesyuarat turut menegaskan agenda transformasi sektor air yang bermula di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 sehingga Rancangan Malaysia Ke-15. Agenda ini akan menjadikan sektor air sebagai pemboleh daya ekonomi serta penjana pertumbuhan yang dinamik menjelang tahun 2040.

Kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri adalah amat penting dalam memastikan agenda transformasi tersebut berjaya.

Pada mesyuarat ini, Majlis Air Negara telah mempertimbang dan bersetuju degan tiga kertas pertimbangan yang telah dibentangkan iaitu:

i. Pewartaan Perizaban Tanah Kerajaan Untuk Pengekalan Kolam Takungan Banjir dan Rizab Sungai

Kepesatan proses perbandaran di negara menyebabkan banjir kerap berlaku ketika hujan lebat. Gangguan kepada fasiliti atau komponen ini akan menjejaskan keseluruhan sistem tebatan banjir yang merangkumi komponen utama sungai dan kolam takungan banjir. Cadangan pewartaan perizaban tanah kerajaan adalah bertujuan untuk memastikan pengekalan fungsi kolam takungan banjir dan rizab sungai, menjamin kualiti sumber air bersih dan juga memulihara alam sekitar.

ii. Aras Lindung Selamat Reka Bentuk Infrastruktur Pantai Akibat Kesan Perubahan Iklim dan Kenaikan Aras Laut

Fenomena perubahan iklim dan kenaikan aras laut yang sedang dan akan terus berlaku bakal menyebabkan kejadian ekstrim seperti banjir, musim kering, kenaikan aras laut dan pusuan ribut yang berisiko menyebabkan bencana kepada kawasan pesisir pantai.

Tindakan dan adaptasi aras lindung pantai bagi jangka pendek, sederhana dan panjang melalui kaedah struktur atau penyelesaian berasaskan alam semula jadi (Nature Based Solution) perlu mengambilkira faktor perubahan iklim dan kenaikan aras laut dalam perancangan dan pembinaan, supaya aras lindung pantai tersebut mampu menangani bencana ekstrem bagi mengurangkan impak bencana dan menjamin kelestarian sosio-ekonomi dan pembangunan negara.

iii. Kerjasama Pelaksanaan Inisiatif Air Pulih Guna di antara Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. Dengan Syarikat Operator Air Negeri;

Inisiatif Air Pulih Guna ini bertujuan mengoptimumkan sumber air negara sedia ada dan menyumbang ke arah kelestarian alam sekitar melalui konsep Ekonomi Kitaran (CircularEconomy) dalam menguruskan sumber air negara. Penyediaan sumber air baharu untuk kegunaan industri bukan makanan adalah salah satu strategi oleh Kerajaan sebagai langkah pemulihan dan pemeliharaan sumber air selain peluang mewujudkan sumber pendapatan tambahan Syarikat Operator Air.

Majlis Air Negara juga telah mengambil maklum dua kertas makluman iaitu:

i. Pembahagian Tanggungjawab Antara Jabatan Pengairan dan Saliran, Pihak Berkuasa Tempatan dan Agensi Lain Terhadap Sistem Saliran; dan

ii. Garis Panduan Pembinaan Telaga Tiub untuk Tujuan Eksplorasi, Pemantauan dan Pengeluaran dalam Penggunaan Sumber Air Bawah Tanah.

#KeluargaMalaysia
#BekerjasamaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
15 DISEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.