Kenyataan Media Berkaitan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI


BANTUAN BANJIR KELUARGA MALAYSIA


Sejak lebih seminggu lalu, beberapa negeri telah dilanda banjir besar. Keluarga besar kita yang berada di Selangor, Pahang, Kelantan, Terengganu, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Sabah, Johor, Kedah dan Kuala Lumpur terpaksa mengharungi episod sukar akibat bencana itu.

Kediaman tempat mereka membina kehidupan ditenggelami air. Harta benda rosak teruk. Ada juga hanyut dibawa arus. Lebih mendukacitakan, ada sebilangan mereka hilang harta paling berharga iaitu ahli keluarga tersayang buat selama-lamanya.

Saya amat bersimpati dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa. Kepada yang beragama Islam, marilah kita sama-sama sedekahkan Al- Fatihah dan berdoa agar roh mangsa ditempatkan bersama golongan solihin. Bagi yang bukan Islam, marilah kita bertafakur sejenak dan menginsafi musibah ini.

Kerajaan akan memastikan segala bantuan serta kemudahan kepada mangsa-mangsa banjir dilaksanakan secara komprehensif, berkesan dan menyeluruh di bawah Bantuan Banjir Keluarga Malaysia dengan nilai keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.

Di bawah inisiatif ini juga, kerajaan telah melaksanakan beberapa penambahbaikan berhubung Bantuan Wang Ihsan atau BWI antaranya:

Pertama: RM1,000 ringgit kepada setiap Ketua Isi Rumah atau KIR yang terjejas akibat banjir;

Kedua: Menyalurkan kepada semua KIR yang terkesan termasuk kepada mereka yang tidak berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara atau PPS;

Ketiga: RM10,000 kepada waris mangsa yang meninggal dunia;

Keempat: Mangsa-mangsa yang terjejas akibat banjir boleh menuntut BWI setiap kali bencana menimpa berbanding sebelum ini hanya sekali sahaja semasa berlakunya Monsun Timur Laut.

Menyedari mangsa-mangsa banjir memerlukan wang tunai, kerajaan- kerajaan negeri telah membuat bayaran BWI yang telahpun bermula pada 27 Disember yang lalu dan dijangka selesai minggu ini. Bagaimanapun Selangor dan Pahang mungkin sedikit lewat berikutan melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

Bagi tujuan ini, saya telah mengarahkan pihak-pihak berkaitan agar mempermudahkan urusan pembayaran tanpa sebarang birokrasi atau tanpa perlu mengisi pelbagai borang seperti sebelum ini.

Setakat data terkini, lebih 30,000 KIR telah didaftarkan untuk menerima BWI. Pihak NADMA telahpun menyalurkan peruntukan awal BWI sebanyak RM34 juta kepada 11 buah negeri. Berhubung bayaran BWI untuk kematian pula, seramai 25 orang waris telahpun menerima bantuan RM10,000 seperti diumumkan.

Kerajaan juga telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta bagi menggerakkan kerja-kerja pasca banjir. Selain itu, kerajaan turut menambah RM50 juta lagi khusus untuk negeri Selangor dan Pahang bagi tujuan yang sama. Peruntukan ini akan digunakan bagi melaksanakan kerja-kerja pembaikan dan pembersihan rumah penduduk dan fasiliti awam yang rosak.

Pada masa ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bersama-sama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) serta kontraktor yang telah dilantik sedang giat menjalankan kerja-kerja pembersihan di kawasan yang terkesan dengan bencana banjir.

Bagi mempercepat kerja-kerja mengutip, membersih dan menghantar sisa banjir ke tapak pelupusan, KPKT telah menambah bilangan sumber tenaga dengan melantik lebih banyak kontraktor untuk turun ke lapangan termasuk kawasan-kawasan yang tidak dapat diakses sebelum ini.

Dengan itu, kerajaan memperuntukkan RM10 juta tambahan antaranya bagi membiayai perkhidmatan kutipan sisa banjir serta kerja-kerja pembersihan jalan, fasiliti awam dan halaman rumah mangsa.

Setakat 28 Disember 2021, sebanyak 3,000 tan sisa banjir telah dibersihkan di lima buah negeri yang terkesan iaitu Selangor, Pahang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka yang melibatkan lebih 1,700 tenaga kerja di bawah seliaan KPKT.

Bagi menambah akses tunai kepada mangsa yang memerlukan, Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan dana keseluruhan RM100 juta telah menawarkan pembiayaan sehingga RM10,000 pada kadar 0 peratus dengan tempoh bayaran balik sehingga 3.5 tahun termasuk moratorium bayaran balik selama enam bulan.

Selain itu, Bank Negara Malaysia juga dengan ketersediaan dana RM500 juta telah menyediakan Kemudahan Bantuan Bencana atau DRF melalui bank komersial iaitu sehingga RM500,000 kepada pengusaha PKS dan sehingga RM75,000 kepada usahawan mikro. Tempoh pembiayaan adalah sehingga lima tahun termasuk moratorium bayaran balik sehingga enam bulan dengan kadar pembiayaan sehingga 3.5 peratus setahun.

Permohonan untuk pinjaman BSN dan dana DRF telah mula dibuka pada 27 Disember 2021 lalu. Untuk makluman, dalam dua hari pertama sahaja iaitu setakat 28 Disember 2021, BSN telah menerima nilai permohonan sebanyak RM25 juta dan sudahpun meluluskan pinjaman bernilai RM10 juta.

Bagi memastikan bantuan yang menyeluruh, di samping bantuan tunai, kerajaan juga akan menyediakan bantuan pembaikan rumah dan kenderaan peribadi serta bantuan keperluan asas kepada mangsa-mangsa banjir.

Seperti diketahui, Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan atau GLIC dan Syarikat Berkaitan Kerajaan atau GLC telah menubuhkan GLIC/GLC Disaster Response Network atau GDRN bertujuan menggerakkan usaha menangani dan menghulurkan bantuan kepada mangsa-mangsa banjir. Setakat ini, GDRN telah membantu kira-kira 15,000 buah keluarga sejak 19 Disember 2021.

Selanjutnya, seperti yang telah saya umumkan, Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan memberikan rebat 100 peratus bil elektrik kepada pengguna domestik yang terkesan akibat banjir bagi bulan Disember 2021.

Menyedari musibah banjir turut menyebabkan kerosakan banyak peralatan elektrik di rumah, sukacita saya umumkan bahawa kerajaan bersetuju untuk menyediakan pemberian baucar kepada mangsa-mangsa banjir bagi pembelian peralatan elektrik yang telah rosak.

Setiap KIR yang layak boleh memohon dan mendapatkan baucar bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasar raya berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf Kementerian Tenaga dan Sumber Asli.

Bagi meringankan beban mangsa-mangsa banjir yang mengalami kerosakan kenderaan peribadi mereka, beberapa inisiatif turut dilaksanakan iaitu:

1. Perodua akan menyediakan perkhidmatan tunda kereta ke pusat servis Perodua secara percuma. Perodua turut bersetuju memberikan kos upah baik pulih dan servis berkaitan secara percuma dan diskaun sebanyak 50% ke atas alat ganti.

2. Proton juga bersetuju memberi diskaun alat ganti sebanyak 50% bagi kebanyakan model kereta serta menawarkan caj tunda dan cuci kereta secara percuma di pusat-pusat servis mereka yang berdaftar.

3. Bagi syarikat kereta lain pula, hampir semua telah bersetuju menyediakan perkhidmatan tunda kereta secara percuma dan diskaun sebanyak 25% atau lebih, ke atas alat ganti dan upah baik pulih di pusat servis yang berdaftar. Beberapa syarikat turut menawarkan bayaran secara ansuran sehingga tempoh satu tahun.

4. Baucar sebanyak RM1,000 untuk digunakan bagi tujuan pembaikan atau pembelian bagi menggantikan kenderaan peribadi yang telah mengalami kerosakan total.

Kerajaan sentiasa mengambil pendekatan yang holistik melalui pelbagai inisiatif dan langkah bagi memastikan kebajikan Keluarga Malaysia sentiasa terjamin.

Semoga kesemua inisiatif di atas dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan akibat banjir. Sama-sama kita berusaha dan berdoa agar impak bencana banjir ini dapat ditangani dengan segera agar kita boleh menumpukan usaha kepada pemulihan dan pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI BIN YAAKOB
29 DISEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri

Info

Lorem ipsum dolor sit amet consectetur adipisicing.