Kenyataan Media – Malaysia Dan Singapura Bekerja Secara Kolektif Untuk Melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin-Laluan Darat (VTL-Land) Pada 29 November 2021

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI


MALAYSIA DAN SINGAPURA BEKERJA SECARA KOLEKTIF
UNTUK MELANCARKAN
LALUAN PERJALANAN LENGKAP VAKSIN-LALUAN DARAT
(VTL-LAND) PADA 29 NOVEMBER 2021


Malaysia dan Singapura telah mencapai lebih daripada 95 peratus kadar populasi dewasa yang telah divaksin. Pencapaian ini memberi peluang kepada kedua-dua negara untuk membuka semula sempadan darat secara berperingkat, selamat, sistematik dan mampan.

Kerajaan kedua-dua buah negara bekerjasama untuk melancarkan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) pada 29 November 2021. Pelancaran VTL-Land adalah selari dengan VTL-Air yang bertujuan untuk meningkatkan lagi hubungan dua hala dan ekonomi antara kedua-dua negara. Selain pekerja, VTL-Land akan memberi peluang kepada rakyat Malaysia dan Singapura di kedua-dua belah Tambak yang telah terpisah dengan keluarga akibat pandemik COVID-19 untuk bertemu semula dengan orang tersayang.

Inisiatif VTL-Land dilaksanakan untuk melancarkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin yang mengintegrasikan protokol kesihatan, keselamatan dan kelulusan imigresen.

Pengembara yang dibenarkan mengambil bahagian dalam VTL-Land adalah warganegara Malaysia dan Singapura termasuk Penduduk Tetap serta pemegang Pas Jangka Panjang Malaysia dan Singapura. Pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani oleh ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian COVID-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing. Pada masa ini, VTL- Land akan dihadkan kepada pengangkutan bas sahaja sebagai mekanisme kawalan dan mod pengangkutan lain akan disenaraikan secara berperingkat.

Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan ke Singapura akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Malaysia manakala Terminal Queen Street (QST) sebagai pusat turun dan naik penumpang di Singapura.

Kerajaan kedua-dua negara juga telah bersetuju untuk menetapkan kuota harian tidak melebihi 1,500 pengembara pada peringkat permulaan, dengan peningkatan dari minggu ke minggu.

Pengembara yang masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land perlu mendaftar di https://mysafetravel.gov.my/ manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, perlu membuat pendaftaran di https://go.gov.sg/vtl-portal. Pendaftaran ini adalah wajib sebelum sebarang pembelian tiket dibuat. Butiran tentang keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg/.

#ReconnectingSafely
#KeluargaMalaysia

PUTRAJAYA
24 NOVEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri