Kenyataan Media Berkenaan Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan Rayuan BPR, Bernilai RM2.82 Bilion Mulai 28 September 2021

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

PEMBAYARAN BANTUAN PRIHATIN RAKYAT (BPR) KELUARGA MALAYSIA FASA 3 DAN RAYUAN BPR,
BERNILAI RM2.82 BILION MULAI 28 SEPTEMBER 2021

1. Pembayaran Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Keluarga Malaysia Fasa 3 dan rayuan BPR akan dikreditkan ke dalam akaun penerima mulai 28 September 2021 secara berperingkat dan dijangka selesai pada 30 September 2021.

2. Pembayaran ini akan memanfaatkan seramai 3.6 juta penerima sedia ada kategori isi rumah dan pemohon rayuan BPR yang telah diluluskan. Bayaran fasa 3 dan rayuan BPR ini akan melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 bilion.

3. Untuk fasa 3, setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300 termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima, mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak.

4. Pembayaran fasa 3 ini adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan BPR untuk meringankan beban mereka.

5. Kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, terutamanya kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19 sentiasa terbela.

6. Antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) akan diberikan kepada penerima yang layak. Pembayaran bantuan itu dijadual akan disalurkan pada Oktober hingga Disember 2021.

7. Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan oleh Kementerian Kewangan.

8. Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
26 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri