Kenyataan Media Berkenaan Aspirasi Keluarga Malaysia 100 Hari Pertama Ahli Jemaah Menteri

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA 100 HARI PERTAMA AHLI JEMAAH MENTERI

Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 September 2021 bersetuju agar Ahli Jemaah Menteri membentangkan laporan prestasi setiap aspirasi masing-masing bagi 100 hari pertama pentadbiran Kerajaan di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri bermula dari 1 September 2021 iaitu pada hari pertama Mesyuarat Jemaah Menteri diadakan.

Pelaksanaan inisiatif-inisiatif bagi setiap aspirasi adalah berlandaskan enam (6) Teras Utama iaitu:

1. Menstruktur Semula Ekonomi
2. Menjamin Keselamatan dan Ketenteraman Negara
3. Meningkatkan Kesejahteraan Sosial
4. Mempertingkatkan Infrastruktur Menyeluruh
5. Memperkukuh Penyatuan dalam Acuan Keluarga Malaysia
6. Memperkasa Penyampaian Perkhidmatan

Dalam hal ini, Pejabat Ketua Setiausaha Negara, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) akan bertindak sebagai penyelaras bersama bagi memastikan perancangan, pelaksanaan, pemantauan dan penambahbaikan setiap aspirasi Keluarga Malaysia oleh Ahli Jemaah Menteri dapat dijayakan dengan cemerlang.

Prestasi setiap Ahli Jemaah Menteri akan dinilai berdasarkan tiga (3) elemen utama iaitu Penilaian Prestasi Kementerian/Jabatan, Penilaian Kepimpinan berdasarkan keberkesanan keberhasilan inisiatif, serta Penilaian Persepsi Awam terhadap Ahli Jemaah Menteri dan Kementerian/Jabatan di bawah tanggungjawab mereka.

Pada 24 September 2021 dan 29 September 2021 saya telah mengadakan sesi bersama kesemua 31 Ahli Jemaah Menteri untuk memuktamadkan senarai aspirasi yang telah dicadangkan.

Ahli Jemaah Menteri juga diarahkan untuk mengumumkan Kad Laporan Pencapaian Aspirasi Keluarga Malaysia 100 hari ini kepada rakyat, bagi menilai pencapaian pretasi Menteri dan Kementerian demi kesejahteraan Keluarga Malaysia. Kerajaan meletakkan pencapaian aspirasi tersebut bagi setiap Ahli Jemaah Menteri sebagai keutamaan tertinggi bagi memberi khidmat terbaik kepada rakyat.

Terima kasih.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
30 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri