Kenyataan Media Berkaitan Perdana Menteri Malaysia dan Perdana Menteri Australia Setuju Memperkukuhkan Hubungan Dua Hala

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN PERDANA MENTERI AUSTRALIA SETUJU MEMPERKUKUHKAN HUBUNGAN DUA HALA

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob semalam telah menerima panggilan telefon daripada Perdana Menteri Australia, Scott Morrison.

Perdana Menteri Australia memaklumkan dan memberikan penjelasan kepada Malaysia mengenai penubuhan kerjasama tiga hala antara Australia – United Kingdom – Amerika Syarikat yang dikenali sebagai AUKUS. Antara tujuan penubuhannya adalah untuk membantu Australia memperolehi kapal selam berkuasa nuklear.

Dato’ Sri Ismail Sabri mengambil maklum perkara tersebut dan menegaskan pendirian Malaysia terhadap penubuhan AUKUS ini.

Perdana Menteri Malaysia menyuarakan kegusaran terhadap kerjasama AUKUS ini yang bakal memangkin perlumbaan persenjataan nuklear di rantau Indo-Pasifik. Pada masa yang sama, ia akan memprovokasi kuasa- kuasa lain untuk turut bertindak lebih agresif di rantau ini terutamanya di Laut China Selatan.

Sebagai sebuah negara dalam ASEAN, Malaysia memegang prinsip untuk mengekalkan ASEAN sebagai Zon Aman, Bebas dan Berkecuali (ZOPFAN).

Dato’ Sri Ismail Sabri menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian dan pendekatan sedia ada Malaysia terhadap kapal selam berkuasa nuklear yang beroperasi di perairan Malaysia, termasuk di bawah Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu berkaitan Undang- Undang Laut 1982 (United Nations Convention on the Law of the Sea – UNCLOS) dan Perjanjian Zon Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (Southeast Asia Nuclear Weapons Free Zone – SEANWFZ).

Selain itu, kedua-dua pemimpin turut mencapai kata sepakat dalam memperbaharui komitmen bersama bagi mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, khususnya di rantau Indo-Pasifik.

Perdana Menteri Malaysia menggesa semua pihak agar mengelakkan sebarang provokasi serta persaingan senjata di rantau ini, selain menekankan kepentingan menghormati dan mematuhi pendirian serta pendekatan sedia ada.

Malaysia dan Australia bersetuju memperkukuhkan kerjasama dan konsultasi dalam pelbagai aspek, termasuk dalam bidang pertahanan di bawah Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership).

PUTRAJAYA
18 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri