Kenyataan Media Berkaitan Pengumuman Pembukaan Sektor dan Peralihan Fasa

KENYATAAN MEDIA
YAB PERDANA MENTERI

PENGUMUMAN PEMBUKAAN SEKTOR DAN PERALIHAN FASA

Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik hari ini bersetuju untuk membenarkan peralihan fasa bagi negeri-negeri berikut berkuatkuasa 24 September 2021:

• Negeri Sembilan daripada Fasa 3 kepada Fasa 4
• Pahang daripada Fasa 2 kepada Fasa 3
• Johor daripada Fasa 1 kepada Fasa 2

Peralihan fasa ini mengikut garis panduan yang ditetapkan Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan mengambilkira kemasukan ke hospital bagi kes bergejala, penggunaan katil ICU serta peratusan lengkap divaksinasi.

Keputusan ini juga dilakukan berdasarkan penilaian risiko semasa yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 2, 3 dan 4, adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.

Selain itu, antara ketetapan lain yang turut diputuskan hari ini ialah:

1. Kedai runcit, mini market, restoran, stesen minyak dan kedai serbaneka dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 12 malam berkuatkuasa 23 September 2021.

2. Membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

3. Operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness), dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Oktober 2021.

4. Pusat/ premis/ produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa PPN berkuatkuasa 1 Oktober 2021 dengan semua pengusaha/operator dan pelawat/pengunjung lengkap divaksin.

5. Kehadiran pekerja bagi setiap perniagaan yang dibenarkan beroperasi adalah pada kapasiti 100% dengan syarat majikan dan semua pekerja lengkap divaksin.

6. Warga asing yang tiba di pintu masuk antarabangsa perlu menanggung kos ujian RT-PCR di pintu masuk negara, manakala bagi warganegara adalah percuma.

Kerajaan menyeru dengan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini, ia dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakyat dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Patuhilah setiap SOP yang ditetapkan, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri.

#KeluargaMalaysia
#BekerjaBersamaRakyat

DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PENGERUSI JAWATANKUASA KHAS PENGURUSAN PANDEMIK COVID-19
22 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri