Kenyataan Media Berkaitan Pengagihan Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) Kepada Keluarga Malaysia B40

KENYATAAN MEDIA
PERDANA MENTERI MALAYSIA

PENGAGIHAN PAKEJ PENJAGAAN COVID-19 (PPC) KEPADA KELUARGA MALAYSIA B40

Dalam persediaan ke arah era endemik COVID-19, kerajaan akan memperuntukkan lebih RM471.6 juta bagi tujuan pemberian Pakej Penjagaan COVID-19 (PPC) kepada Keluarga Malaysia kategori B40 dalam usaha memastikan diri dan keluarga bebas dari jangkitan COVID-19.

Usaha ini antara lain bertujuan untuk meringankan beban kewangan perbelanjaan isi rumah B40 dan melatih diri membudayakan norma baharu, sekaligus membantu melindungi keluarga mereka daripada jangkitan virus COVID-19.

Sehubungan itu, kerajaan akan mengagihkan bantuan PPC yang mengandungi :

– Pek pelitup muka guna semula (4 keping setiap keluarga);

– Kit ujian kendiri COVID-19 (4 kit setiap keluarga);

– 1 pulse oximeter;

– 1 termometer; serta

– Risalah panduan penggunaan dan info kesihatan.

Pemberian PPC buat masa ini akan dimulakan dengan penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) yang sudah berkeluarga. Mereka ini adalah dalam kalangan isi rumah B40 yang sudah berkahwin dengan ada atau tidak mempunyai anak; ataupun ibu atau bapa tunggal yang mempunyai anak. Inisiatif ini dijangka akan memberi manfaat kepada lebih kurang 3.6 juta keluarga B40. Secara keseluruhannya terdapat 8.4 juta penerima BPR.

Selain itu, dalam usaha untuk meningkatkan perlindungan kepada golongan rentan daripada risiko jangkitan COVID-19, kerajaan juga bersetuju untuk melaksanakan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19.

Keutamaan pemberian dos ketiga ini akan tertumpu kepada kumpulan yang berisiko tinggi terlebih dahulu seperti anggota barisan hadapan kesihatan, pesakit kurang daya tahan imun (immunocompromised), warga tua dengan komorbiditi dan individu yang tinggal atau bekerja di pusat jagaan jangka panjang (long-term care facilities), apabila liputan imunisasi populasi dewasa di seluruh negara melebihi 80%.

Dos ketiga ini dapat meningkatkan tahap imuniti dalam kalangan individu berisiko tinggi terhadap jangkitan COVID-19, yang mungkin menurun dalam tempoh tertentu selepas dos kedua. Untuk itu, panel pakar perubatan dan kesihatan sedang membangunkan garis panduan pelaksanaan pemberian dos ketiga ini.

Kesemua perincian berhubung pelaksanaan Pakej Penjagaan COVID-19 dan pemberian dos ketiga vaksin COVID-19 akan diumumkan oleh Menteri Kesihatan.

YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
19 SEPTEMBER 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri