Teks Ucapan YAB Perdana Menteri Malaysia Berkaitan Pembentukan Kabinet

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ SRI ISMAIL SABRI YAAKOB
PERDANA MENTERI MALAYSIA

PEMBENTUKAN KABINET

BISMILLAHIRRAHMANNIRRAHIM

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera

KABINET BERORIENTASIKAN HASIL

Keluarga Malaysia yang saya kasihi sekalian,

  1. Segala puji dan syukur saya panjatkan kepada Allah SWT kerana atas berkat dan rahmat-Nya, dapat saya mengumumkan barisan Kabinet yang telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

  2. Barisan Kabinet yang dibentuk hari ini merupakan pasukan pengurusan yang akan bekerja bersama rakyat. Kabinet ini perlu bertindak pantas dan bersepadu dalam usaha membebaskan Malaysia daripada ancaman pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi serta kekusutan politik.

  3. Umum mengetahui saya menerima kerajaan ini dalam keadaan seadanya. Justeru, pembentukan Kabinet ini merupakan satu formulasi semula berdasarkan situasi semasa, demi mengekalkan kestabilan dan meletakkan kepentingan serta keselamatan Keluarga Malaysia lebih daripada segala-galanya.

  4. Saya akui bahawa kita sedang berada dalam keadaan yang getir akibat pandemik COVID-19, kegawatan ekonomi dan diburukkan lagi dengan ketidakstabilan politik negara.

  5. Berdasarkan ramalan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kita akan hidup bersama COVID-19 sebagai endemik, yang bersifat kekal dan menjadi sebahagian daripada kehidupan manusia.

  6. Dunia mencatatkan kemunculan Variant of Concern (VOC) yang lebih agresif dan rekod di seluruh dunia menunjukkan mereka yang telah divaksinasi masih boleh dijangkiti COVID- 19.

  7. Oleh itu, kerajaan akan memperkasa Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) dalam mendidik Keluarga Malaysia untuk hidup bersama virus ini. Kita perlu terus mengawal segala risiko COVID-19 dan mengamalkan norma baharu dalam kehidupan seharian.

    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

  8. Saya akan memastikan barisan Kabinet komited menjayakan agenda negara, melalui jalinan kerjasama rentas parti bagi memacu pemulihan ekonomi demi kesejahteraan rakyat.

  9. Selaras dengan hala tuju Pelan Pemulihan Negara (PPN), aktiviti ekonomi akan dibuka secara berfasa bagi membolehkan rakyat mula bekerja dan mencari nafkah dengan selamat.

  10. Barisan Kabinet ini dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman, diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi dengan menyokong usahawan, memudah cara perniagaan, dan merancakkan semula aktiviti ekonomi serta meningkatkan keyakinan pelabur.

  11. Bagi mendepani cabaran semasa, Kabinet ini perlu berorientasikan hasil yang berlandaskan kepada tiga prinsip iaitu:

    a.Peka dengan keperluan semasa
    b.Bertanggungjawab dan amanah
    c.Mengembalikan semula keyakinan rakyat

  12. Sesungguhnya, barisan Kabinet ini juga mengambil pendekatan baharu yang bersifat lebih terbuka, dengan menyantuni aspirasi Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan dan maklumat yang lebih efisien.

  13. Selain itu, penularan COVID-19 di peringkat global dan dalam negara turut memberi kesan langsung kepada pertumbuhan dan permintaan ekonomi tempatan. Saya juga akui keadaan ekonomi negara perlu dipulihkan segera.

  14. Sehubungan itu, barisan Kabinet dan kementerian perlu dipastikan berupaya menggalas tanggungjawab ini dengan komited dan lebih proaktif.

  15. Saya berharap pelantikan Kabinet ini akan memberi keyakinan baharu untuk negara bangkit dan bersatu dalam melawan COVID-19 serta membebaskan Keluarga Malaysia daripada kesengsaraan hidup akibat pandemik ini.

  16. Saya akan pastikan Kabinet ini menekankan budaya kerja berprestasi tinggi. Justeru, setiap kementerian perlu membuat perancangan jangka pendek dan jangka panjang serta mencapai sasaran yang ditetapkan. Untuk itu, setiap kementerian perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama.

    Keluarga Malaysia yang saya kasihi,

  17. Realitinya, kita masih berhadapan dengan cabaran dan rintangan. Pun begitu, saya yakin dan percaya bahawa tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan kerana Yang Maha Esa tidak akan menguji hamba-Nya melebihi kemampuan.

  18. Oleh itu, marilah kita menggembleng segala usaha dan daya serta bekerja bersama rakyat dalam misi memulihkan negara.

  19. Namun, Kabinet saya tidak boleh bekerja bersendirian. Kami memerlukan dukungan semua penjawat awam dan seluruh Keluarga Malaysia.

  20. Dengan sukacitanya saya mengumumkan senarai Menteri dan Timbalan Menteri yang telah mendapat perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong:

    Menteri Kanan – Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

    YB Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
    Timbalan Menteri : YB Datuk Lim Ban Hong

    Menteri Kanan – Menteri Pertahanan

    YB Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein
    Timbalan Menteri : YB Datuk Seri Ikhmal Hisham bin Abdul Aziz

    Menteri Kewangan

    YB Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
    Timbalan Menteri I : YB Mohd Shahar Abdullah
    Timbalan Menteri II : YB Tuan Haji Yamani Hafez Musa

    Menteri Kanan – Menteri Kerja Raya

    YB Datuk Seri Haji Fadillah Yusof
    Timbalan Menteri : YB Datuk Arthur Joseph Kurup

    Menteri Kanan – Menteri Pendidikan

    YB Senator Datuk Dr. Mohd Radzi Md Jidin
    Timbalan Menteri I : YB Senator Dato’ Dr Mah Hang Soon
    Timbalan Menteri II : YB Datuk Mohamad Alamin

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi)

    YB Datuk Seri Mustapa Mohamed
    Timbalan Menteri : YB Eddin Syazlee Shith

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas)

    YB Datuk Dr Hj Abdul Latiff Ahmad
    Timbalan Menteri : YB Datuk Mastura Tan Sri Dato’ Mohd Yazid

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang)

    YB Datuk Seri Dr Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar
    Timbalan Menteri: YB Datuk Wira Hajjah Mas Ermieyati Samsuddin

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama)

    YB Senator Tuan Idris Ahmad
    Timbalan Menteri: YB Datuk Haji Ahmad Marzuk Shaary

    Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak)

    YB Datuk Seri Panglima Dr. Maximus Johnity Ongkili
    Timbalan Menteri: YB Dato’ Hajah Hanifah Hajar Taib

    Menteri Pengangkutan

    YB Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong
    Timbalan Menteri : YB Dato’ Henry Sum Agong

    Menteri Alam Sekitar

    YB Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man
    Timbalan Menteri : YB Dato’ Dr Mansor Othman

    Menteri Sumber Manusia

    YB Datuk Seri Saravanan Murugan
    Timbalan Menteri : YB Datuk Haji Awang Hashim

    Menteri Wilayah Persekutuan

    YB Datuk Seri Shahidan Kassim
    Timbalan Menteri : YB Datuk Seri Jalaluddin Alias

    Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat

    YB Datuk Seri Rina Harun
    Timbalan Menteri : YB Dato’ Hajah Siti Zailah Mohd Yusoff

    Menteri Pengajian Tinggi

    YB. Dato’ Dr Noraini Ahmad
    Timbalan Menteri : YB Senator Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad

    Menteri Tenaga dan Sumber Asli

    YB Datuk Seri Takiyuddin Hassan Timbalan Menteri
    YB Datuk Ali Anak Biju

    Menteri Dalam Negeri

    YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin
    Timbalan Menteri I: YB Datuk Seri Dr Haji Ismail Haji Mohamed Said
    Timbalan Menteri II: YB Jonathan Yassin

    Menteri Kesihatan

    YB Tuan Khairy Jamaluddin Abu Bakar
    Timbalan Menteri I: YB Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali
    Timbalan Menteri II: YB Datuk Aaron Ago Dagang

    Menteri Pertanian dan Industri Makanan

    YB Datuk Seri Dr Ronald Kiandee
    Timbalan Menteri I: YB Datuk Seri Hj Ahmad Hamzah
    Timbalan Menteri II: YB Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh

    Menteri Pembangunan Luar Bandar

    YB Datuk Seri Mahdzir Khalid
    Timbalan Menteri I: YB Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad
    Timbalan Menteri II: YB Datuk Haji Hasbi Habibollah

    Menteri Luar Negeri

    YB Dato’ Saifuddin Abdullah
    Timbalan Menteri: YB Haji Kamarudin Jaffar

    Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna

    YB Datuk Alexander Nanta Linggi
    Timbalan Menteri: YB Dato’ Rosol Wahid

    Menteri Komunikasi Dan Multimedia

    YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar Haji Musa
    Timbalan Menteri: YB Datuk Zahidi Zainul Abidin

    Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan

    YB Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican
    Timbalan Menteri: YB Datuk Sri Ismail Abdul Mutalib

    Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi

    YB Datuk Seri Dr Adham Baba
    Timbalan Menteri: YB Datuk Haji Amzad Mohamed @ Hashim

    Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi

    YB Tan Sri Noh Haji Omar
    Timbalan Menteri: YB Tuan Muslimin Yahaya

    Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi

    YB Datuk Hajah Zuraidah binti Kamaruddin
    Timbalan Menteri I: YB Datuk Seri Wee Jeck Seng
    Timbalan Menteri II: YB Willie Mongin

    Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan

    YB Datuk Seri Hajah Nancy Shukri
    Timbalan Menteri: YB Datuk Seri Dr Santhara Kumar Ramanaidu

    Menteri Perpaduan Negara

    YB Datuk Halimah Mohamed Sadique
    Timbalan Menteri: YB Senator Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal

    Menteri Belia dan Sukan

    YB Datuk Seri Ahmad Faizal Datuk Azumu
    Timbalan Menteri: YB Senator Datuk Seri Ti Lian Ker

  21. Ogos yang bermakna ini, marilah kita bangkit bersama untuk kembalikan semula sinar kegemilangan Malaysia di mata dunia.

  22. Saya ucapkan tahniah kepada semua anggota Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri. Pesan saya hanya satu – jalankan tugas yang telah diberikan dengan amanah, demi rakyat dan negara.

  23. Saya juga ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada ketua-ketua parti yang telah memberikan pandangan.

  24. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah memperkenan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Baginda, yang akan diadakan pada Isnin, 30 Ogos 2021, jam 2:30 petang, di Istana Negara, Kuala Lumpur.

  25. Semoga Allah SWT memberikan kekuatan kepada barisan Kabinet untuk menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab dan beramanah.

  26. Ayuh membulat tekad, bekerja bersama rakyat!

WABILLAHI TAUFIK WALHIDAYAH

WASSALAMUALAIKUM WARAHMATULLAHI

WABARAKATUH.

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri