Teks Ucapan Khas YAB Perdana Menteri Bersempena Hari Raya Aidiladha 1442H/2021

UCAPAN KHAS
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

BERSEMPENA
HARI RAYA AIDILADHA 1442H / 2021

Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd.

1. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga serta para sahabat Baginda sekalian.

2. Marilah sama-sama kita merafakkan rasa kesyukuran ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan taufik dan hidayahNya kita dapat menyambut hari raya Aidiladha pada tahun ini, walaupun kita masih berada dalam fasa pemulihan selepas negara dilanda wabak COVID-19 semenjak lebih setahun yang lalu.

3. Pada ketika ini, ada di kalangan kita yang telah kehilangan ahli keluarga dan sahabat tersayang akibat COVID-19 dan masih ramai yang sedang menerima rawatan akibat jangkitan virus tersebut. Marilah kita bersama-sama membacakan ummul kitab dengan niat pahalanya disedekahkan kepada mereka yang telah pulang kerahmatullah, dan semoga dengan keberkatan bacaan ini mereka yang sedang sakit dikurniakan Allah SWT kesembuhan segera. Alfatihah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

4. Sambutan Aidiladha ini memberikan ruang untuk kita menghayati nilai pengorbanan yang tinggi yang diperintahkan Allah SWT dan melalui contoh ikutan junjungan besar Rasulullah SAW.

5. Hikmah sambutan Aidiladha ini juga mengingatkan kita kembali pada peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diuji oleh Allah SWT yang diperintah menyembelih anaknya iaitu Nabi Ismail a.s. sebagaimana yang dinyatakan dalam surah as-Saffat, ayat 102


Maksudnya: “Maka tatkala anaknya itu sampai ke peringkat umur yang membolehkan dia berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anakku! Sesungguhnya aku bermimpi bahawa aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah bagaimana pendapatmu!” Dia (Ismail) menjawab: “Wahai ayahku! Lakukanlah apa yang diperintahkan (Allah) kepadamu; dengan kehendak Allah, engkau akan mendapatiku termasuk dari kalangan orang yang sabar.”

6. Bukti ketaatan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. dalam melaksanakan perintah Allah ini adalah penzahiran keteguhan keimanan mereka terhadap Allah SWT. Peristiwa pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. ini memberi makna yang amat besar khususnya kepada kita umat Islam.

7. Bentuk pengorbanan yang tinggi juga sedang ditunjukkan khususnya para petugas barisan hadapan daripada kalangan kakitangan kesihatan, keselamatan, penjawat awam mahupun sukarelawan dan NGO dalam kita masih lagi berusaha melawan wabak COVID-19 yang melanda negara semenjak lebih setahun yang lalu.

8. Saya sangat menghargai pengorbanan ini. Saya doakan agar pengorbanan saudara dan saudari petugas barisan hadapan, malah pengorbanan rakyat secara umumnya akan dikurniakan ganjaran terbaik di sisi Allah SWT.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

9. Dalam bulan Zulhijjah ini, ibadah haji merupakan penzahiran kemuncak ketaatan, ketakwaan dan kehambaan kita kepada Allah SWT. Peluang untuk menunaikan ibadah haji merupakan saat yang sangat ditunggu-tunggu oleh umat Islam. Kita semua rindukan kesempatan untuk mengunjungi Baitullah al-Haram dan menziarahi maqam Rasulullah SAW ketika berada di tanah suci.

10. Namun pada tahun ini kita terpaksa menangguhkan semua urusan berkaitan operasi musim haji kerana kita akur dengan keputusan muktamad pihak berkuasa Arab Saudi yang tidak membenarkan jemaah negara luar termasuk Malaysia ke Tanah Suci atas faktor ancaman kesihatan lantaran wabak COVID-19 yang masih berleluasa.

11. Saya faham bahawa ramai di kalangan kita yang berasa amat sedih dengan berita ini, namun saya percaya saudara-saudari telah menerima ketentuan ini dengan penuh redha, sabar dan berlapang dada. Semoga pada tahun hadapan Allah SWT akan mengizinkan umat Islam di Malaysia untuk kembali mengerjakan haji, insyaaAllah.

12. Bersempena dengan hari raya Aidiladha yang bermula esok dan hari-hari Tasyriq 11 sehingga 13 Zulhijjah ini, saya yakin ramai dalam kalangan kita akan melaksanakan ibadah korban, iaitu suatu ibadah yang sangat dituntut dalam Islam melalui penyembelihan binatang ternakan.

Firman Allah SWT dalam Surah Al-Kauthar:

إِنَّآ أَعۡطَيۡنَٰكَ ٱلۡكَوۡثَرَ, فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَٱنۡحَرۡ, إِنَّ شَانِئَكَ هُوَ ٱلۡأَبۡتَرُ.

Maksudnya: “Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (wahai Muhammad) kebaikan yang banyak (di dunia dan di akhirat). Oleh itu, kerjakanlah sembahyang kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai bersyukur). Sesungguhnya orang yang bencikan engkau, Dia lah yang terputus (dari mendapat sebarang perkara yang diingininya).”

13. Pelaksanaan ibadah korban kali ini mungkin sedikit berbeza dengan kaedah sebelumnya tertakluk kepada pematuhan garis panduan yang ditetapkan oleh Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Veterinar.

14. Panduan dan SOP yang dikeluarkan pihak berkuasa perlu kita patuhi kerana adalah semata-mata untuk memenuhi tuntutan syarak dalam melindungi nyawa kita daripada bahaya COVID-19.

15. Saya doakan agar dalam keadaan kita masih diuji wabak COVID-19 ini, kita akan dapat melaksanakan ibadah korban dengan penuh penghayatan dan keinsafan mudah-mudahan Allah SWT menerima segala amal, pengorbanan dan kebajikan kita.

16. Dalam tempoh Fasa Pemulihan ini, Kerajaan telah menguatkuasakan beberapa larangan tertentu mengikut SOP Majlis Keselamatan Negara. Ini bermakna, saudara saudari perlu terus berada di rumah dan menyambut Aidiladha dengan keluarga di rumah secara sederhana. Namun begitu, saya percaya kemeriahan sambutan ini tetap dirasakan.

17. Namun berita baiknya ialah kita membenarkan pelaksanaan solat Sunat Aidiladha dan solat Jumaat dengan diperluaskan kuantitinya kepada 50 orang. Walau bagaimanapun Pihak Berkuasa Agama Islam Negeri akan menetapkan SOP mengikut kesesuaian di negeri atas perkenan Sultan-Sultan Negeri.

18. Dalam tempoh beberapa bulan sahaja lagi, negara kita akan dapat mencapai matlamat imuniti kelompok berdasarkan kelancaran pemberian vaksin COVID-19 yang sedang berjalan di seluruh negara ketika ini. Setakat ini, Pusat pemberian Vaksin atau PPV telah secara konsisten mencapai jumlah lebih 400, 000 dos sehari, yang meletakkan negara di landasan yang betul untuk mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang akhir tahun ini.

19. Namun begitu, saya berharap agar saudara dan saudari mengekalkan disiplin dan kepatuhan terhadap SOP. Ketika ini kita masih tidak diizinkan melakukan aktiviti merentas negeri dan saling menziarahi. Saya merayu agar kita semua bersabarlah dalam mematuhi SOP, kerana pengorbanan saudara dan saudari merupakan jihad yang besar di sisi Allah SWT dalam ikhtiar untuk menyelamatkan nyawa kita semua.

20. Kepada Allah SWT kita mohonkan semoga wabak COVID-19 segera berakhir. Sesungguhnya, pertolongan dan rahmat Allah itu bersama hamba-hamba-Nya yang sentiasa berusaha gigih, bersabar dan bertawakal. Insya-Allah kita akan berjaya.

21. Mengakhiri ucapan ini, saya, isteri dan seisi keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Aildiladha 1442 Hijri kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khususnya kepada barisan petugas hadapan yang telah mengorbankan masa dan tenaga mereka demi memastikan keselamatan dan kesihatan kita semua. Maaf zahir dan batin.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahil Hamd.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri