Teks Ucapan Majlis Pelancaran Program Jaringan Prihatin

Teks Ucapan

Yab Tan Sri Haji Muhyiddin Bin Haji Mohd Yassin
Perdana Menteri

Sempena

Majlis Pelancaran Program Jaringan Prihatin

5 MEI 2021 (RABU)|24 RAMADHAN 1442

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Yang Berhormat Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan Malaysia,

Yang Berhormat Tuan Mohd Shahar bin Abdullah
Timbalan Menteri Kewangan II,

Yang Berbahagia Dato’ Asri Bin Hamidon
Ketua Setiausaha Perbendaharaan,

Yang Berbahagia Dato’ Sri Haji Mohammad bin Mentek
Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia,

Yang Berusaha Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek,
Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia,

Pegawai Pegawai Kanan Kementerian Kewangan,

Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri Telekomunikasi,

Hadirin sekalian.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat waláfiat.

  1. Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah Subhana Wa Taala kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, dapat kita bersua di Majlis  Pelancaran Program Jaringan Prihatin pada hari ini.

  2. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang telah sudi menjemput saya bagi merasmikan program ini.

  3. Sebagaimana semua maklum, pandemik COVID-19 telah mempercepatkan arus gelombang transformasi digital di Malaysia dan seluruh dunia. Menurut Digital Playbook in the New Normal terbitan World Economic Forum (WEF) pada tahun 2020, majoriti masyarakat di seluruh dunia telah terpaksa menyesuaikan diri dengan situasi bekerja dari rumah berikutan pandemik yang melanda.

  4. Sepanjang tempoh ini, penggunaan internet telah meningkat sebanyak 70 peratus dengan penggunaan alat kolaborasi secara maya melonjak kepada 600 peratus. Trend yang agak serupa juga dapat dilihat di Malaysia.

  5. Transformasi digital ini telah membuka ruang interaksi maya dan keterangkuman sosial yang lebih luas. Namun dalam masa yang sama keadaan ini juga meningkatkan risiko ketidaksamaan bagi mereka yang tidak terhubung secara digital. Realitinya, masih ada dalam kalangan masyarakat yang tersisih dan ketinggalan daripada arus digitalisasi di negara kita.

  6. Peningkatan penggunaan internet jelas menunjukkan bahawa sudah tiba masanya untuk capaian atau akses internet menjadi satu keperluan asas seperti air dan elektrik bagi segenap lapisan masyarakat.

  7. Malaysia akan terus komited untuk memantapkan kesalinghubungan atau “connectivity” di negara ini, sejajar dengan matlamat minimum 75 peratus kesalinghubungan yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan kos jalur lebar ataupun “broadband” tidak melebihi 2 peratus daripada pendapatan negara kasar (PNK) per kapita bulanan menjelang tahun 2025.

    Hadirin sekalian,

  8. Kita juga akur bahawa ada segelintir masyarakat memerlukan masa yang lebih lama untuk menyesuaikan diri dalam fasa transformasi digital ini. Antaranya mereka yang tinggal di pedalaman, warga emas, ataupun mereka yang mempunyai literasi digital yang agak rendah. Ini bermakna faktor seperti lokasi penduduk, pendapatan, umur, dan jantina sedikit-sebanyak memainkan peranan dalam menentukan akses internet seseorang. Data ITU (International Telecom Union) 2019, menunjukkan rata-rata di seluruh dunia, peratusan isi rumah di kawasan bandar yang mempunyai akses kepada Internet Jalur Lebar adalah hampir dua kali ganda berbanding di kawasan luar bandar.

    Untuk menangani cabaran jurang digital ini, rangka kerja di hadapan kita haruslah melibatkan kerjasama utuh di antara sektor awam dan swasta, serta memfokuskan pada TIGA STRATEGI UTAMA, iaitu pertamanya akses atau accessibility, kedua kemampuan kewangan atau affordability dan ketiga kemahiran atau skills.

    Akses / Accessibility

    a. Kita sedar bahawa dalam aspek liputan, penembusan dan kelajuan rangkaian, masih banyak ruang yang boleh          diperbaiki  terutama di setengah kawasan luar bandar yang mempunyai kepadatan rendah. Oleh itu, Kerajaan                    sudah memperuntukkan penaiktarafan perkhidmatan jalur lebar seluruh negara melalui pelan Jalinan Digital                      Negara (JENDELA) yang merangkumi rancangan gentian optik, serta meningkatkan liputan 4G berkualiti bernilai RM21 bilion menjelang 2022.

    Kita juga akan mempercepatkan penyediaan infrastruktur 5G dengan pelaburan swasta melalui usaha Digital Nasional Berhad yang dianggar bernilai RM15 bilion. Insyaallah usaha- usaha ini akan membantu mengurangkan jurang liputan dan kelajuan dalam tempoh lima tahun akan datang.

    Kemampuan Kewangan / Affordability

    b. Selain daripada jurang rangkaian internet, masih terdapat jurang kemampuan kewangan untuk memperolehi capaian internet. Meskipun kos pelan “broadband” terendah di Malaysia adalah 1.1 peratus dari pendapatan negara kasar per kapita bulanan sejajar dengan garis panduan PBB, namun ia masih tinggi bagi sebahagian kelompok masyarakat yang berpendapatan rendah. Kos telefon pintar juga menelan sebahagian besar pendapatan bulanan isi rumah yang berpendapatan rendah.

    c. Bagi mendepani realiti mencabar ini, maka Kerajaan pada hari ini melancarkan Program Jaringan Prihatin berjumlah RM3.5 bilion yang dijangka dapat memanfaatkan sekitar 8.5 juta rakyat dari kumpulan B40 untuk memiliki alat peranti telefon pintar atau menikmati bantuan pelan “broadband” internet. Daripada jumlah keseluruhan RM3.5 bilion ini, Kerajaan akan membelanjakan sejumlah RM2 bilion manakala syarikat telekomunikasi dan penyedia perkhidmatan pula akan memberi sumbangan tambahan berjumlah RM1.5 bilion, terutamanya dalam bentuk data percuma.

    Kemahiran / Skills

    d. Sementara itu, kekurangan kemahiran digital juga menjadi penghalang pada usaha peningkatan pendigitalan dalam kalangan masyarakat. Menurut tinjauan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), pada masa ini hanya 50 peratus rakyat yang mempunyai kemahiran digital standard, sementara hanya 25 peratus yang memiliki kemahiran digital lanjutan.

    Bagi menangani isu kemahiran ini khususnya bagi pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk menerima pakai pendigitalan, Kerajaan telah menyalurkan pelbagai insentif dalam Belanjawan 2021 seperti Geran Digitalisasi PKS berjumlah RM150 juta, Dana Transformasi Digitalisasi Industri berjumlah RM1 bilion dan Fasiliti Teknologi Tinggi berjumlah RM1 bilion antara lain.

    e. Keprihatinan Kerajaan terhadap golongan B40 tidak terhenti setakat itu sahaja. Kerajaan melalui SKMM telah membina 910 Pusat Internet Komuniti atau PIK di seluruh negara. PIK merupakan balai raya digital untuk membimbing komuniti melengkapkan diri dengan kemahiran digital seperti perniagaan dalam talian atau e-dagang.

    Hadirin Sekalian,

  9. Untuk merapatkan jurang digital dalam kalangan masyarakat, terdapat keperluan untuk memastikan bahawa setiap orang mempunyai akses dengan kos yang berpatutan serta kemahiran yang diperlukan untuk memanfaatkan internet menjelang 2030.

  10. Lebih penting lagi, pembangunan kapasiti atau capacity building di bawah pelbagai program sektor awam dan swasta perlu disesuaikan dengan keadaan individu dan dengan mengambil kira kepelbagaian latar belakang masyarakat.

  11. Maka, dalam usaha kita untuk menangani krisis pandemik serta sekaligus untuk meletakkan batu asas ekonomi Malaysia ke arah yang lebih inklusif; mahu tidak mahu, jurang digital antara rakyat wajib dirapatkan. Meskipun keterangkuman digital bukanlah satu-satunya jalan penyelesaian kepada ketidaksamaan, ia merupakan komponen asas bagi membolehkan inklusiviti sosial dalam kalangan rakyat tercapai. Sebagai nadi kepada Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, keterangkuman digital akan terus menjadi tumpuan utama Kerajaan bagi merealisasikan Malaysia yang lebih adil dan saksama.

  12. Akhir kata, dengan harapan tersebut dan dengan lafaz BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM, saya dengan ini melancarkan Program Jaringan Prihatin.

Sekian.
Wabillahitaufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri