Perutusan Sempena Hari Guru ke-50 Tahun 2021

PERUTUSAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI

SEMPENA HARI GURU KALI KE-50 TAHUN 2021

PADA
16 MEI 2021

“Berguru Demi Ilmu, Bina Generasi Baharu”

Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

1. Apa khabar semua? Saya doakan agar saudara saudari berada dalam keadaan sihat walafiat.

2. Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia dan rahmat-Nya kita dapat meraikan sambutan Hari Guru kali ke-50 Peringkat Kebangsaan Tahun 2021 pada hari ini. Tahun ini merupakan sambutan yang paling bermakna kerana genap 50 tahun semenjak disambut buat pertama kalinya pada tahun 1972.

3. Sejak itu, Hari Guru disambut sebagai menghargai jasa bakti dan pengorbanan guru dalam membangunkan anak bangsa dan negara. Pada tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih mengekalkan tema “BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU”. Tema ini adalah sangat bertepatan dalam usaha menjadikan cinta kepada ilmu sebagai teras pendidikan.

4. Sesungguhnya dalam usaha melahirkan generasi yang berilmu pengetahuan, gurulah yang menjadi pengajar, pendidik dan pembimbing yang menyumbang khidmat bakti dalam semua bentuk institusi pendidikan, daripada tadika sehinggalah ke peringkat tertinggi.

5. Guru menjadi pendukung dan pemacu kepada transformasi pendidikan negara. Setiap tahun kita telah melihat pelbagai kejayaan anak murid kita. Kejayaan tersebut tidak akan dapat dicapai tanpa tenaga dan usaha gigih para guru.

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

6. Apabila negara melalui gelombang penularan pandemik COVID-19 pada awal tahun 2020, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah dilaksanakan bagi membendung penularan COVID-19. Semasa tempoh PKP ini, semua sekolah di seluruh negara telah terpaksa ditutup. Pada waktu itu, kita tiada banyak pilihan. Namun, saya sedar bahawa proses pembelajaran anak-anak tidak boleh terganggu dan perlu diteruskan.

7. Sejak lebih setahun yang lalu juga proses pembelajaran dan pengajaran konvensional telah banyak bergantung kepada pembelajaran secara dalam talian yang kini telah menjadi kebiasaan baharu dalam sistem pendidikan kita. Pendidikan digital menjadi pilihan sebagai kaedah pengajaran dan pembelajaran atau PdP untuk memastikan murid kekal menerima pendidikan walaupun sekolah ditutup.

8. Perubahan yang berlaku jelas membuktikan bahawa konsep pembelajaran tidak harus terperangkap di antara “four walls of room”. Konsep pembelajaran yang baik mestilah relevan pada setiap masa dan setiap tempat. Dalam suasana norma baharu, penyampaian perkhidmatan secara maya sudah mula meluas khususnya warga pendidik.

9. Hari ini, pelantar pembelajaran digital mendominasi kaedah pembelajaran sebagai sokongan pembelajaran sedia ada yang dijalankan dalam bilik darjah. Sejak 15 Jun 2020, KPM telah mengumumkan platform baharu pembelajaran digital untuk guru, pendidik dan murid, iaitu ‘Digital Educational Learning Initiative Malaysia’ atau DELIMa.

10. Platform ini merupakan salah satu peluang untuk para guru berusaha memperkasa diri dalam membangunkan bahan pengajaran dan pembelajaran secara digital. Guru-guru kini mengorak langkah menguasai pelbagai aplikasi digital pendidikan untuk kegunaan PdP secara dalam talian yang membolehkan murid-murid dapat mengikuti kaedah pembelajaran normal baharu.

11. Walaupun guru berhadapan dengan cabaran melaksanakan PdP secara dalam talian terutamanya apabila PdPR dilaksanakan, namun saya melihat ramai di kalangan guru yang berjaya menghasilkan pelbagai bentuk bahan PdP bagi memastikan murid tidak ketinggalan dalam proses pembelajaran. Saya ucapkan syabas atas ikhtiar dan inovasi saudara dan saudari sekalian.

12. Ini merupakan suatu proses yang mempunyai ruang penambahbaikan yang luas dan saya berharap agar pihak Kementerian Pendidikan akan terus mendengar cadangan dan input daripada setiap lapisan warga pendidik, ibu bapa dan anak-anak sendiri demi menambahbaik pendekatan PdP dari masa ke semasa.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

13. Pelaksanaan pendidikan digital sebagai elemen dalam Pembelajaran Abad ke-21 juga adalah sejajar dengan anjakan ketujuh Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia atau PPPM 2013-2025 dalam melaksanakan e-pembelajaran, iaitu pengajaran berteraskan ICT. Arus globalisasi ini telahpun membentuk hala tuju baharu pendidikan dunia. Dalam aspek ini, guru-guru berperanan penting dalam mengadaptasi kandungan pedagogi berteras teknologi dalam PdP.

14. PPPM juga berhasrat mewujudakan sistem pembelajaran yang bersifat dinamik dan berkesan, selain relevan dan fleksibel pada setiap masa dan tempat. Untuk itu, guru hendaklah menyediakan mindset bahawa alam sejagat ini merupakan kelas pembelajaran sepanjang hayat bagi anak-anak kita. Ini menuntut guru untuk berusaha melahirkan murid yang beradab, cemerlang dan mempunyai sifat ingin tahu. Anak-anak yang ingin kita lahirkan haruslah mampu berdepan bukan sahaja dengan keperluan pasaran kerja semasa, tetapi bersedia menjadi anggota masyarakat yang beakhlak mulia dan bertamadun serta mampu berdaya saing pada peringkat global.

15. Dalam mencapai hasrat ini, kerajaan juga akan memastikan bahawa tiada murid yang dinafikan daripada mendapat pendidikan sewajarnya termasuklah murid orang asli dan pribumi, Murid Berkeperluan Khas (MBK) dan kanak-kanak tanpa dokumen.

16. Dalam agenda pendidikan inklusif ini, kerajaan juga akan memberikan tumpuan untuk mengurangkan kadar keciciran murid dan memastikan golongan ini turut menerima pendidikan seperti murid yang lain.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

17. Sesungguhnya kerajaan amat menghargai usaha dan pengorbanan guru dalam bidang pendidikan. Komitmen jitu guru telah dapat memperkembangkan potensi murid dan mengetengahkan bakat dan kebolehan diri sendiri. Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan saya kepada guru-guru yang telah mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

18. Sempena sambutan Hari Guru, setiap tahun, Kerajaan akan memberi penghargaan kepada tokoh guru. Pada hari ini, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan dan Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan.

19. Saya ingin mengucapkan tahniah kepada Puan Noorizan binti Mohamed yang telah dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2021. Saya juga mengucapkan tahniah kepada dua orang penerima anugerah Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan Tahun 2021, iaitu Datuk Dr. Amin bin Senin dan Datuk Dr. Habibah binti Abdul Rahim. Semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan pendidikan negara dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik.

PENUTUP

20. Akhir kata, marilah kita bersama-sama berganding bahu, menggembleng tenaga menjayakan agenda nasional dalam konteks pendidikan ke arah membina negara bangsa melalui pendidikan berkualiti. Sama-samalah kita berusaha memacu tenaga demi melahirkan modal insan yang mempunyai jati diri tinggi dan berupaya merealisasikan hasrat dan aspirasi negara.

21. Kepada guru, andalah pewaris negara untuk membina generasi baharu. Sekali lagi, Selamat Hari Guru. “Terima kasih cikgu!”

Sekian. Wabillahi al-taufik wal hidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri