Teks Ucapan Pelancaran Sambutan Ulangtahun RTM ke-75

UCAPAN PERASMIAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

Sempena

PELANCARAN SAMBUTAN ULANG TAHUN RTM KE-75 

DI

AUDITORIUM PERDANA, ANGKASAPURI
KUALA LUMPUR

1 April 2021

YANG BERHORMAT DATO’ SAIFUDDIN ABDULLAH
Menteri Komunikasi dan Multimedia

YANG BERHORMAT DATUK ZAHIDI BIN ZAINUL ABIDIN
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia

YANG BERBAHAGIA DATO’ SRI HAJI MOHAMMAD BIN MENTEK
Ketua Setiausaha
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia

YANG BERBAHAGIA DATUK RUZAIN BIN IDRIS
Ketua Pengarah
Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM)

Semua warga kerja KKMM dan RTM

YBhg. Dato’-Dato’, Datin-Datin
Tuan-Tuan dan Puan-Puan

Assalamualaikum warahmatullahitaala wabarakatuh
Salam sejahtera dan Selamat Pagi

1. Alhamdulillah, saya merafak kesyukuran ke hadrat Illahi kerana dengan izin-Nya dapat saya menyertai saudara dan saudari seluruh warga Jabatan Penyiaran Malaysia pada hari yang amat bermakna ini, untuk sama-sama kita raikan Majlis Sambutan Ulang Tahun RTM ke-75.

2. Terima kasih saya ucapkan kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Jabatan Penyiaran Malaysia selaku penganjur, atas kesudian menjemput saya untuk merasmikan majlis sambutan ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

75 TAHUN PERKHIDMATAN RTM

3. Melewati lebih tujuh dekad kewujudan RTM di persada penyiaran Malaysia pada hemat saya bukan sahaja membanggakan kita semua, malah pencapaian ini juga menjadi amat signifikan kepada perkembangan dan kemajuan industri penyiaran dan industri kreatif negara. Kebanggaan ini bukanlah semata-mata kepada warga RTM, malah seluruh masyarakat di negara ini tumpang gembira dan bangga dengannya. Masing-masing ada sentuhan tersendiri sama ada di pihak warga kerja yang memberi khidmat, begitu juga pihak masyarakat yang menerima khidmat.

4. Dalam usia yang sudah sebegitu matang ini, kita hendaklah meneruskan segala usaha membawa perubahan sesuai dengan perkembangan teknologi semasa dan selera masyarakat. Ini penting kerana tuntutan masyarakat sekarang menjangkaui citarasa berbeza di era generasi baharu yang begitu mahir dengan kecanggihan teknologi maklumat.

5. Sebagai sebuah agensi yang berfungsi untuk menyampaikan suara kerajaan dengan menyalurkan maklumat yang berintegriti di samping menyiarkan hiburan berkualiti kepada rakyat Malaysia, RTM telah membuktikan keunggulannya selama 75 tahun ini. Namun kini ia berdepan dengan cabaran yang lebih hebat dengan adanya media sosial. Kewujudan wartawan rakyat serta penyebaran luas dan lebih pantas berita-berita tidak benar oleh pelbagai pihak sama ada secara sengaja atau tidak menambahkan lagi cabaran RTM.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

PERANAN RTM DALAM MENANGANI COVID-19

6. Tahun 2020 yang bermula dengan penuh harapan telah berubah menjadi situasi yang tidak dijangkakan dalam sejarah, apabila pandemik COVID-19 melanda dunia. Bagi mengelakkan penularan jangkitan virus corona ini daripada menjadi luar kawalan, kerajaan Malaysia, seperti juga kebanyakan negara lain di seluruh dunia, telah mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Perintah ini kita mulakan pada 18 Mac 2020.

7. Pada peringkat awal PKP ini, semua penduduk di negara ini telah diminta untuk berada di rumah masing-masing dan RTM, sebagai penyiar kebangsaan, telah mengambil tindakan strategik dengan menjadikan TV1 sebagai Saluran COVID-19. Semua siaran langsung Sidang Media Perdana Menteri, Menteri Kanan (Keselamatan) dan Ketua Pengarah Kesihatan disiarkan secara langsung oleh RTM.

8. Begitu juga pengumuman khas yang melibatkan kepentingan awam. Radio, televisyen dan platform media sosial RTM, tidak putus menyiarkan program berbentuk Pesanan Khidmat Awam, Infografik, Berita, Bual Bicara, Majalah dan Dokumentari supaya rakyat faham kepentingan menjaga kesihatan dan SOP. Syabas saya ucapkan kepada RTM dan seluruh warga kerjanya atas kegigihan dan kejayaan memberi perkhidmatan ini.

9. Satu lagi peranan RTM yang saya lihat tidak kurang pentingnya dalam memerangi pandemik COVID-19 ialah sebagai satu daripada saluran penyebaran maklumat sahih kerajaan dalam usaha memperbetulkan fakta daripada khabar angin, berita palsu dan tohmahan yang disiarkan di media sosial. Pihak berkuasa telah membuat penafian terhadap segala maklumat palsu ini serta menjelaskan senario dan fakta sebenar.

10. Penyiaran penafian berita palsu oleh RTM melalui program radio dan TV seperti Pastikan Sahih serta poster-poster di media sosial, yang disampaikan dalam 24 bahasa dan dialek, telah banyak membantu usaha pihak berkuasa memberi pemahaman kepada semua pihak di negara ini. Ini sekaligus telah dapat mengelakkan orang ramai daripada mudah menjadi panik dengan maklumat yang tidak tepat.

11. Saya kagum dengan kecekalan semangat warga kerja RTM yang terus aktif dan bersemangat walaupun melalui pelbagai cabaran dan rintangan semasa menjalankan tugas. Itu yang saya sifatkan sebagai ikhlas berkhidmat untuk negara.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

RTM SEBAGAI PEMANGKIN INDUSTRI KREATIF NEGARA

12. Kematangan RTM dalam industri penyiaran negara merupakan satu lagi kelebihan yang membanggakan kita semua. Dalam tempoh 75 tahun perkhidmatannya, RTM turut memainkan peranan penting sebagai pemangkin industri kreatif negara, khususnya dalam pembangunan media serta bidang penerbitan, muzik dan teknologi komunikasi. Pelbagai sumbangan secara langsung dan tidak langsung dalam penghasilan dan pembangunan industri tempatan telah dilaksanakan oleh RTM. Ini termasuk peluang pekerjaan, peluang berkarya, pembangunan bakat dan modal insan serta pelbagai perkhidmatan sokongan kesenian dan artistik.

PEMBANGUNAN BAKAT BAHARU

13. Satu daripada sumbangan besar RTM kepada Industri Kreatif ialah melahirkan bakat-bakat baharu. Menjadi kebanggaan kepada RTM sendiri apabila bakat-bakat baharu yang dilahirkan adalah daripada cetusan idea melalui penganjuran program dalam bentuk pertandingan seperti Bintang RTM.

14. Terserlah kehebatan RTM apabila berjaya melahirkan bakat-bakat besar dalam bidang seni suara tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah dan Datuk Seri Siti Nurhaliza. Begitu juga dengan penampilan ikon penyiaran yang terdiri dari warga kerja RTM sendiri seperti Datuk Harjit Singh Hullon, Allahyarham Farid Ismeth Emir, Mary Anne Masilamany dan lain-lain lagi. Untuk masa depan RTM boleh memainkan peranan menerbitkan lebih banyak program TV yang boleh menyumbang kepada usaha meningkatkan perpaduan nasional serta semangat nasionalisme dalam kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

KANDUNGAN HOLISTIK

15. Kandungan yang dihasilkan oleh RTM pula bersifat holistik. Walaupun program-program berbentuk informasi dan hiburan merupakan tonggak kepada RTM, namun program-program berbentuk spiritual atau keagamaan tidak diketepikan. Ini adalah satu usaha percambahan pengetahuan keagamaan, membentuk nilai murni dan moral yang tinggi dalam masyarakat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

SALURAN SUKAN RTM

16. Pelancaran satu saluran TV baharu iaitu Saluran Sukan RTM yang bakal kita saksikan bersempena dengan sambutan ulang tahun RTM kali ini merupakan satu lagi pembaharuan oleh stesen TV ini dalam memenuhi selera masyarakat. Syabas saya ucapkan kepada RTM kerana berani mengambil langkah menambah saluran yang bersifat khusus kepada golongan sasar yang meminati bidang sukan di negara ini. Selain itu ia juga membuka peluang kepada syarikat-syarikat penerbitan tempatan yang berpotensi untuk menghasilkan kandungan program sukan untuk RTM.

17. Tidak kurang pentingnya juga ialah saluran ini dapat memainkan peranan sebagai agen perpaduan nasional menerusi semangat kesukanan.

18. Saya percaya penubuhan saluran sukan ini sekali gus dapat mencapai hasrat Kerajaan untuk melahirkan generasi yang sihat melalui akiviti sukan terutamanya dalam kalangan generasi muda. Promosi kesihatan rakyat melalui aktiviti sukan ini membolehkan golongan muda mengisi masa dengan perkara yang berfaedah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

MEDIA CITY

19. Kompleks penyiaran Angkasapuri kini sedang dinaik taraf kepada sebuah kompleks berkonsepkan Bandar Media atau Media City sejajar dengan kemajuan pesat dalam bidang teknologi penyiaran dan standard penyiaran digital antarabangsa. Projek pembangunan ini dilaksanakan secara kerjasama antara Kerajaan dan pihak swasta, dan apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan dapat menyediakan infrastruktur penyiaran yang canggih serta berteknologi tinggi selaras, dengan perancangan Kerajaan untuk membangunkan perkhidmatan siaran televisyen digital.

20. Pembangunan projek ini mengambil contoh beberapa projek pembangunan Media City yang berjaya dilaksanakan di bandaraya seperti di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu; di Sydney, Australia dan di Manchester, United Kingdom. Kompleks penyiaran Media City ini bukanlah semata-mata projek pembangunan fizikal malah juga merangkumi sistem peralatan, teknologi dan pemusatan arkib bahan-bahan penyiaran. Kerajaan berharap projek ini dapat merangsang pertumbuhan ekonomi kreatif serta membuka lebih banyak ruang dalam bidang penerbitan penyiaran.

21. Pembangunan Media City ini juga adalah selari dengan Pelan Transformasi RTM, yang memfokus kepada pembangunan dan penggunaan platform-platform media RTM secara lebih optimum dan mencapai visi jabatan dengan lebih efektif. Saya percaya pelan ini akan memberikan manfaat yang besar bukan sahaja kepada organisasi malahan kepada industri kreatif tempatan. Antara lainnya ia akan menawarkan pemantapan kandungan di saluran-saluran TV, penyegaran penyampaian di medium radio dan pemerkasaan media baharu untuk memupuk dan menambah kesetiaan dalam kalangan audiens.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

SIARAN TV1, TV2 HD DI PLATFORM ASTRO

22. Siaran televisyen terrestrial di Malaysia telahpun disiarkan secara digital sejak Analogue Switch-Off (ASO) pada tahun 2019. Siaran dalam format High Definition (HD) boleh diterima melalui platform MyFreeview.
Saya dimaklumkan bahawa bersempena Ulang Tahun ke-75 RTM ini, saluran TV1 dan TV2 akan disiarkan melalui platform ASTRO dalam format HD. Siaran ini akan memastikan pengguna perkhidmatan satelit ASTRO boleh menonton saluran-saluran tersebut dalam HD serta menerima audio dan visual yang tepat dan jelas. Semoga kerjasama strategik di antara RTM dan ASTRO ini dapat memastikan siaran RTM menjadi lebih luas penerimaannya dalam kalangan penduduk Malaysia.

ULANG TAHUN KE-60 ORKESTRA RTM

23. Saya juga ingin mengambil peluang ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada RTM atas ulang tahun ke-60 Orkestra RTM tahun ini. Dari sebuah Orkes Radio Malaya hinggalah ia dikenali hari ini sebagai Orkestra RTM, ia telah banyak berjasa kepada segenap lapisan masyarakat di negara ini dengan menjadi soundtrack secara tidak rasmi dari tahun 1960an hingga kini. Terima kasih Orkestra RTM kerana telah berjaya menghiburkan warga Malaysia selama 60 tahun dan saya mendoakan perkhidmatan Orkestra RTM akan diteruskan dengan lebih produktif dan lebih dinamik lagi.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

HARAPAN UNTUK 25 TAHUN SETERUSNYA

24. RTM yang telah berkhidmat sekian lama kepada rakyat kini perlu bersedia untuk berubah dengan perkembangan dan kemajuan teknologi semasa serta mencipta lebih banyak kejayaan baharu untuk membawa jabatan penyiaran negara ke satu tahap yang lebih tinggi. Slogan RTM – TEMAN SETIA ANDA, memang sinonim dan mencerminkan perkhidmatannya kepada rakyat. Namun, RTM juga perlu berani membawa perubahan agar perkhidmatannya akan sentiasa segar dan relevan.

25. Harapan saya agar RTM tidak gentar untuk membawa perubahan dalam era Revolusi Industri 4.0 dan terus memandang ke hadapan, di samping menggunakan kepakaran yang ditimba daripada pengalaman lalu untuk sentiasa menambah baik perkhidmatan, membangun perkhidmatan baharu serta melestarikan perkhidmatannya.

26. Saya rumuskan fahaman saya mengenai perkhidmatan RTM sebegini – creating milestones atau mencipta tonggak pencapaian dalam industri penyiaran dan penerbitan negara termasuk Industri Kreatif.

27. Mengakhiri ucapan, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan penghargaan saya kepada segala usaha yang telah dilaksanakan oleh seluruh warga kerja RTM dahulu dan sekarang. Teruskanlah tanggungjawab anda semua dengan penuh dedikasi, kreatif dan berintegriti.

28. Dengan ini, saya dengan rasminya melancarkan Majlis Sambutan Hari RTM ke-75 dan Sambutan Ulang Tahun Orkestra RTM ke-60.

Wabillahitaufik walhidayah, assalamualaikum warahmatullahi taala, wabarakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri