Teks Ucapan Majlis Perjumpaan Khas bersama Penjawat Awam di Sarawak

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI
SEMPENA MAJLIS PERJUMPAAN KHAS BERSAMA
PENJAWAT AWAM DI SARAWAK

1 APRIL 2021 (KHAMIS)

RANYAI BALLROOM, HOTEL WATERFRONT KUCHING

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg
Ketua Menteri Sarawak

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Sarawak

Yang Berhormat Menteri-Menteri Persekutuan dan Negeri

Yang Berbahagia Tan Sri Datuk Mohd Zuki bin Ali
Ketua Setiausaha Negara

Yang Berhormat Datuk Amar Jaul Samion
Setiausaha Kerajaan Sarawak

Dif-dif Kenamaan, Ketua-ketua Jabatan

Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat wal afiat.

1. Alhamdullillah, syukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita dapat bersama-sama hadir ke Majlis Perjumpaan Khas Bersama Penjawat Awam di Sarawak pada pagi ini.

2. Terlebih dahulu, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi (Dr.) Abang Haji Abdul Rahman Zohari yang sudi menjemput saya ke majlis ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua penjawat awam yang hadir.

SITUASI SEMASA NEGARA

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

3. Sepanjang tempoh setahun yang lalu, negara kita terpaksa berdepan dengan situasi ekonomi yang agak mencabar di sebalik penularan wabak COVID-19. Justeru, sejak dari awal Kerajaan telah mengambil pendekatan yang menyeluruh iaitu 6‘R’ dalam mengimbangi antara kelangsungan hidup rakyat dan pemulihan ekonomi negara. Pada ketika ini, negara kita sedang berada dalam fasa ke-5 iaitu Revitalise atau memperkasa ekonomi negara.

4. Sehubungan itu, baru-baru ini, Kerajaan telah mengumumkan Program Strategik Memperkasa Rakyat Dan Ekonomi (PEMERKASA) yang bernilai RM20 bilion. Inisiatif ini merupakan kesinambungan pelan pemulihan ekonomi yang telah diperkenalkan sebelum ini seperti Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Pelan Jana Semula Ekonomi (PENJANA), PRIHATIN PKS Tambahan, Kita Prihatin dan Pakej Bantuan PERMAI.

5. Selain itu, Kerajaan turut memperuntukkan sebanyak RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021 iaitu yang terbesar dalam sejarah negara. Hasilnya, negara kita berada di landasan yang tepat untuk merancakkan semula ekonomi negara dipacu oleh sektor ekonomi dan aktiviti perniagaan yang hampir kesemuanya telah dibenarkan beroperasi.

6. Saya sedar ramai di kalangan saudara dan saudari yang telah menzahirkan komitmen yang tinggi sebagai frontliners dalam membantu usaha kerajaan untuk mengekang penularan wabak ini. Walaupun terpaksa menghadapi pelbagai kekangan, saudara-saudari tetap cekal dan tabah dalam menggalas tanggungjawab masing-masing demi memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk rakyat di Sarawak. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua.

7. Kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan para penjawat awam. Sebagai tanda penghargaan dan pengiktirafan sumbangan penjawat awam, beberapa inisiatif telah pun diumumkan sebelum ini seperti bantuan khas secara one-off sebanyak RM600 dalam Belanjawan 2021 khas untuk kakitangan awam dengan gred 56 dan ke bawah. Selain itu, bagi memperkukuh sektor perkhidmatan awam khususnya di Sarawak, Kerajaan juga telah meluluskan Projek Pembinaan Leadership Park (I-Lead) dan menaik taraf fasiliti Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Sarawak.

8. Dalam soal vaksin, Alhamdulillah segala perancangan program vaksinasi negara kita berjalan dengan lancar menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK). Sasaran kita ialah untuk memastikan sekurang-kurangnya 80 peratus penduduk dewasa Malaysia atau bersamaan dengan 26.5 juta individu menerima vaksin secara percuma menjelang Februari 2022. Langkah ini penting untuk membentuk perlindungan kelompok atau herd immunity.

9. Sehingga 28 Mac yang lalu, seramai 7.2 juta rakyat Malaysia telah mendaftar untuk pengambilan vaksin melalui aplikasi MySejahtera. Manakala jumlah pemberian dos vaksin COVID-19 di seluruh negara setakat ini ialah 580,765 dos termasuk dos pertama dan kedua. Fasa pertama program imunisasi ini telah pun giat dijalankan semenjak bulan Februari yang lalu melibatkan para petugas barisan hadapan. Fasa kedua pula dijangka bermula pada 19 April melibatkan kumpulan berisiko tinggi dan kemudian diikuti oleh fasa ketiga untuk golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

PEMERKASAAN SEKTOR AWAM

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

10. Pandemik COVID-19 telah memberi kesan langsung bukan sahaja terhadap sektor ekonomi tetapi juga sektor-sektor lain termasuklah sektor awam. Antara cabaran terbesar ialah dalam aspek penyampaian perkhidmatan kerajaan, bagaimana kita hendak menyampaikan perkhidmatan dan pelbagai bentuk bantuan terutamanya kepada orang awam yang berada di kawasan pedalaman yang masih agak terbatas kemudahan seperti infrastruktur asas dan capaian internet.

11. Justeru, pemerkasaan sektor awam merupakan antara agenda penting yang sering ditekankan dalam Kerajaan Perikatan Nasional. Fokus utama kerajaan ialah untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan yang cekap dan mesra rakyat. Langkah ini penting supaya mesej dan bantuan dapat disalurkan secara efektif kepada golongan sasar yang terkesan.

12. Tumpuan harus diberi kepada usaha untuk mengurangkan kekangan birokrasi supaya kita dapat membantu segenap lapisan masyarakat khususnya di kawasan luar bandar. Sebagai contoh, di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), mana-mana peraturan yang didapati tidak lagi berkesan wajar diteliti semula dan ditambah baik. Permudahkanlah proses permohonan bantuan kepada rakyat. Begitu juga permohonan daripada para peniaga, pengusaha dan pelabur. Setiap permohonan harus dipertimbangkan dengan sebaik-baiknya.

13. Jika dahulu urusan-urusan harian dan mesyuarat hanya boleh dijalankan secara bersemuka, kini kebanyakannya sudah dapat dijalankan di atas talian. Jadi, kita juga perlu mengadaptasi dan menyesuaikan diri dalam norma baharu supaya kita lebih peka dan benar-benar memahami denyut nadi rakyat.

14. Menyedari peri penting sektor perkhidmatan awam sebagai pemangkin atau enabler dalam menggerakkan pembaharuan khususnya dalam bidang pendigitalan, Kerajaan komited dalam memacu transformasi digital ke arah Revolusi Industri 4.0 (4IR). Sehubungan itu, Majlis Ekonomi Digital dan 4IR Negara telah ditubuhkan yang bertujuan untuk menetapkan dasar, pelaksanaan dan pemantauan strategi serta inisiatif ekonomi digital dan 4IR di Malaysia.

15. Pada bulan Februari yang lalu, Kerajaan juga telah memperkenalkan pelan MyDigital dan Rangka Tindakan atau Blueprint Ekonomi Digital Malaysia. Antara sasaran Blueprint ini ialah untuk memacu transformasi digital sektor awam. Ini termasuklah usaha untuk melahirkan 100 peratus penjawat awam yang celik digital dan 80 peratus perkhidmatan kerajaan secara dalam talian dari peringkat awal ke akhir menjelang tahun 2025.

16. Saya berharap saudara-saudari dapat terus memainkan peranan sebagai pemudahcara untuk memudahkan urusan masyarakat setempat di dalam komuniti masing-masing selaras dengan agenda pemerkasaan sektor awam. Penggunaan teknologi secara meluas pasca COVID-19 dalam perkhidmatan awam sudah pasti dapat memberi nilai tambah terhadap penyampaian perkhidmatan kerajaan.

PEMBUDAYAAN NILAI INTEGRITI

17. Di pihak Kerajaan, pelbagai langkah turut diambil dalam membanteras amalan rasuah dan memastikan urus tadbir yang cekap dan telus merentasi kementerian dan agensi. Antaranya seperti penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR), pelaksanaan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023 serta meningkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan awam bagi mengelakkan daripada berlakunya ketirisan dana awam.

18. Sebagai sebahagian daripada anggota perkhidmatan awam, kita perlulah menjalankan segala tugas dan amanah dengan berteraskan prinsip integriti. Soal integriti tidak harus dikompromi kerana ia merupakan penanda aras keyakinan rakyat terhadap sektor awam dan kerajaan secara amnya.

19. Oleh sebab itu, saya ingin mengajak saudara dan saudari untuk sama-sama menyahut cabaran ini untuk memperkukuh budaya kerja yang berintegriti semasa menjalankan tugasan seharian. Dengan cara ini, produktiviti kerja di kalangan kakitangan awam dapat ditingkatkan supaya sasaran Petunjuk Prestasi Utama (KPI) tercapai dan ia secara tidak langsung juga dapat melahirkan sebuah masyarakat yang sifar rasuah dan terhindar daripada gejala penyelewengan amanah.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

20. Saya percaya, dengan kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak, sektor awam di negara kita dapat terus diperkukuh menerusi mutu penyampaian perkhidmatan kerajaan yang berkualiti dipacu oleh teknologi digital dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan negara yang mampan.

21. Kepada para penjawat awam sekalian, manfaatkanlah teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan di Kementerian, Jabatan atau Agensi masing-masing dan ambillah peluang untuk meningkatkan kemahiran dan pengetahuan baharu terutamanya dalam bidang teknologi, maklumat dan komunikasi (ICT).

22. Berkat iltizam, komitmen dan kesungguhan daripada semua pihak, mudah-mudahan segala inisiatif dan aspirasi kerajaan dalam pemerkasaan sektor awam dapat diterjemahkan ke arah Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 demi kesejahteraan rakyat, insyaaAllah.

Sekian. Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri