Kenyataan Media mengenai Permintaan Menggalakkan Ke Atas Terbitan Sukuk Kelestarian Kerajaan Malaysia Mencerminkan Keyakinan Pelabur Terhadap Asas Ekonomi dan Pelan Pemulihan Yang Kukuh

KENYATAAN MEDIA
PEJABAT PERDANA MENTERI

PERMINTAAN MENGGALAKKAN KE ATAS TERBITAN SUKUK KELESTARIAN KERAJAAN MALAYSIA MENCERMINKAN KEYAKINAN PELABUR TERHADAP ASAS EKONOMI DAN PELAN PEMULIHAN YANG KUKUH

Kejayaan Kerajaan Malaysia menerbitkan Sukuk Kelestarian berdaulat yang pertama di dunia dalam dollar AS (USD) dengan jumlah nilai USD1.3 billion adalah satu pencapaian yang membanggakan bagi negara.

Melalui lebihan langganan sebanyak 6.4 kali, saiz terbitan asal dinaikkan daripada USD1.0 billion kepada USD1.3 billion. Berdasarkan permintaan yang menggalakkan, Kerajaan juga berjaya menetapkan harga yang kompetitif bagi Sukuk Kelestarian ini.

Ini jelas mencerminkan keyakinan pelabur dan keyakinan pasaran ke atas pemulihan dan prospek pertumbuhan ekonomi Malaysia walaupun Kerajaan berdepan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19 dalam tempoh setahun lepas.

Ini juga membuktikan Malaysia berada di landasan yang tepat dalam pengurusan ekonomi ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan kukuh.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan dan agensi-agensinya yang terlibat, seperti Bank Negara Malaysia, yang telah bekerjasama di dalam menjayakan pemasaran dan terbitan Sukuk Kelestarian yang unik dan unggul dari sudut inovasi instrumen kewangan Islam. Saya yakin ini juga akan terus menyerlahkan lagi kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam pasaran kewangan Islam global.

InsyaAllah, Sukuk Kelestarian ini akan terus meletakkan kita di landasan pembangunan yang lebih lestari, mampan, berdaya tahan dan berdaya saing selaras dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.

TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
Putrajaya
24 April 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri