Teks Ucapan Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

DI MAJLIS AMANAT PERDANA
SETAHUN MALAYSIA PRIHATIN

PADA 1 MAC 2021 PUKUL 10.00 PAGI

BERTEMPAT DI DEWAN PERDANA A
PUSAT PERSIDANGAN ANTARABANGSA
PUTRAJAYA


Bismillahirrahmanirrahim.

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera. Yang Berhormat Menteri-Menteri Kanan dan Menteri-Menteri,

Yang Amat Berhormat Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri,

Yang Berhormat Timbalan-Timbalan Menteri,

Yang Berbahagia Ketua Setiausaha Negara,

Yang Berbahagia Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua-Ketua Perwakilan Asing,

Yang Berbahagia Ketua-ketua Perkhidmatan, Ketua-ketua Setiausaha Kementerian dan Ketua-ketua Jabatan,

Ketua-ketua Badan Berkanun dan Syarikat Berkaitan Kerajaan, Seterusnya saudara dan saudari yang saya hormati sekalian.

1. Alhamdulillah, marilah kita mulakan pagi ini dengan memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah Subhanahu Wataala atas kebesaran dan keagungan-Nya jua maka kita diberi kesempatan untuk bersama-sama dalam Majlis Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin.

2. Hari ini genap setahun Kerajaan Perikatan Nasional dibentuk. Sepanjang tempoh setahun yang lalu, kita dihadapkan dengan satu krisis besar yang mengancam nyawa rakyat, iaitu pandemik COVID-19. Ia adalah satu krisis kesihatan di peringkat global yang tidak pernah berlaku sebelum ini. It is a health crisis at a global scale which was unprecedented.

3. Penularan wabak COVID-19 telah mengakibatkan bukan sahaja krisis kesihatan sedunia tetapi juga krisis ekonomi pada skala yang tidak pernah dialami di peringkat global sejak tahun 1930-an. Negara kita tidak terkecuali daripada menerima kesan wabak COVID-19, dengan lebih 300 ribu orang telah dijangkiti virus ini dan ekonomi negara menguncup sebanyak 5.6 peratus untuk tahun 2020.

CABARAN UTAMA KERAJAAN PRIHATIN RAKYAT: MELINDUNGI NYAWA DAN KEHIDUPAN

4. Sebagai Kerajaan Prihatin Rakyat, cabaran utama dalam mengurus krisis ini ialah untuk mengimbangi antara keutamaan melindungi nyawa rakyat dan keperluan menjamin kelangsungan hidup. Our main challenge is to strike a fine balance between protecting lives and livelihoods. Jika boleh disimpulkan – melindungi nyawa dan kehidupan – adalah dua kata kunci utama yang menggambarkan tumpuan pentadbiran Kerajaan Perikatan Nasional sejak setahun yang lalu.

5. Untuk melindungi nyawa dan kehidupan rakyat, sepanjang tahun lalu, Kerajaan telah mengambil langkah berani dan proaktif. Antaranya dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pada masa yang sama memperkenalkan pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion. Langkah ini diambil untuk membendung penularan COVID-19 dan pada masa yang sama meringankan beban rakyat serta memastikan kelangsungan perniagaan.

6. Alhamdulillah, dengan sokongan para frontliners, penjawat awam, pasukan keselamatan, sektor swasta dan masyarakat umum, langkah- langkah yang diambil oleh Kerajaan telah membuahkan hasil yang positif. Kita telah berhadapan dengan tiga gelombang jangkitan COVID-19 setakat ini. Kita telah berjaya melandaikan lekuk jangkitan gelombang pertama, membendung gelombang kedua, dan pada masa ini kes-kes harian dalam gelombang ketiga COVID-19 sedang menunjukkan trend penurunan.

7. Selain itu, sistem kesihatan di negara kita juga bukan sahaja terus mampu untuk bertahan, malah semakin efektif dalam merawat pesakit COVID-19. Kadar kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia, iaitu di bawah 0.4 peratus dan lebih 90 peratus daripada yang dijangkiti telah pulih sepenuhnya.

8. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga telah bersiap sedia untuk memastikan sekurang-kurangya 126 ribu orang individu dapat diberikan suntikan vaksin COVID-19 setiap hari di 600 lokasi vaksinasi di seluruh negara. Kerajaan menyasarkan 80 peratus penduduk, iaitu bersamaan 26 juta orang individu, akan menerima suntikan vaksin yang diberikan secara percuma.

9. InsyaAllah, dengan langkah kawalan pergerakan yang masih berkuatkuasa, pematuhan kepada SOP secara berterusan dan pelaksanaan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sudah pun dimulakan, kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 di negara kita dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

KEDUDUKAN EKONOMI SEMASA

10. Keadaan ekonomi negara kita juga kian bertambah baik. Jika dibandingkan, pada bulan April 2020, ekonomi menguncup 28.7 peratus, tetapi pada bulan Disember 2020, ekonomi negara kita hanya menguncup 1.7 peratus. Kadar pengangguran juga telah menurun daripada 5.3 peratus pada bulan Mei 2020 kepada 4.8 peratus pada bulan Disember 2020.

11. Langkah kerajaan membuka semula sektor-sektor ekonomi secara berfasa selepas pelaksanaan PKP pertama pada bulan Mac 2020 telah menyumbang kepada kedudukan ekonomi semasa yang lebih baik. Kebenaran untuk aktiviti-aktiviti ekonomi beroperasi semula telah memberi kelegaan kepada ekonomi negara dan yang lebih penting memberi peluang kepada rakyat untuk kembali menjana pendapatan.

12. Pada bulan Januari 2021, apabila angka pandemik meningkat semula, Kerajaan mengambil keputusan untuk memastikan bahawa pelaksanaan PKP kali kedua adalah perlu, tetapi berdasarkan kepada data dan sains dalam menangani virus ini yang telah dikaji sepanjang COVID-19 melanda negara.

13. Dalam tempoh PKP kali kedua ini, Kerajaan telah berusaha untuk mengimbangi antara kepentingan kesihatan awam dan keperluan pertumbuhan ekonomi. Justeru, Kerajaan membuat keputusan untuk memberi kelonggaran dengan membuka lebih banyak aktiviti ekonomi berbanding PKP kali pertama dengan syarat pematuhan kepada SOP yang ketat. SOP bagi semua aktiviti ekonomi juga telah ditambah baik dengan penglibatan aktif persatuan-persatuan dan dewan-dewan perniagaan.

14. Kebenaran kepada lebih banyak aktiviti ekonomi untuk beroperasi adalah amat penting kerana sebagai sebuah negara perdagangan, barangan dan produk yang dihasilkan dalam negara perlu dieksport. Kita tahu umpamanya sarung tangan getah, produk elektrik dan elektronik dan hasil kayu-kayan seperti perabot mendapat permintaan yang cukup memberangsangkan dalam pasaran eksport. Selain itu, kelangsungan sektor-sektor ekonomi seperti pembuatan, perkhidmatan dan peruncitan juga adalah amat penting kerana ia turut membantu operasi syarikat perusahaan kecil dan sederhana (SME) dalam rantaian nilai aktiviti ekonomi negara.

15. Kesan pelaksanaan PKP kali kedua di peringkat awalnya, dengan hanya pembuatan dan sebahagian peruncitan dan pembinaan yang dibenarkan beroperasi dengan kapasiti 100 peratus pengeluaran, adalah tiga kali lebih rendah berbanding PKP pertama. Namun, kehilangan hasil masih besar iaitu sekitar RM633 juta sehari. Sehubungan itu, Kerajaan telah mengarahkan supaya semua aktviti ekonomi dalam sektor perkhidmatan, peruncitan dan pembinaan dibenarkan beroperasi pada kapasiti 100 peratus dengan SOP ketat yang perlu dipatuhi. Kebenaran untuk beroperasi bagi aktiviti-aktiviti ekonomi ini memberi peluang kepada syarikat-syarikat untuk terus menjana pendapatan.

16. Dengan langkah-langkah yang sedang diambil, Kerajaan menjangkakan kedudukan ekonomi Malaysia akan bertambah baik pada tahun ini. Menurut laporan World Economic Outlook oleh Tabung Kewangan Antarabangsa, KDNK dunia pada tahun 2021 diunjur kembali pulih pada kadar 5.5 peratus, manakala perdagangan dunia turut diunjur kembali berkembang pada kadar 8.1 peratus. Sejajar dengan pemulihan aktiviti ekonomi dan perdagangan dunia, ekonomi negara turut dijangka kembali pulih pada tahun 2021.

17. Badan-badan antarabangsa seperti Tabung Kewangan Antarabangsa dan Bank Dunia pada bulan Januari 2021 mengunjurkan ekonomi negara kita akan berkembang pada kadar 7 peratus dan 6.7 peratus. Pemulihan ekonomi negara akan turut diterajui oleh sektor perkhidmatan dan pembuatan yang menyumbang lebih 80 peratus daripada KDNK. Pada masa yang sama, permintaan domestik diunjur mencatat pertumbuhan yang stabil disokong oleh penambahbaikan dalam pasaran buruh, kadar inflasi yang rendah dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan serta penerusan semula projek utama infrastruktur.

18. Sebagai sebuah negara yang pertumbuhan ekonominya dipacu oleh eksport, sentimen pelabur amat penting sebagai sumber penciptaan pekerjaan. Dari aspek ini, keyakinan dalam pasaran Malaysia tetap teguh terutama daripada pelabur asing berdasarkan pelaburan sebanyak RM23.1 bilion dalam pasaran bon sehingga Ogos 2020. Pelaburan asing bersih ke Malaysia juga kekal positif daripada RM2.2 bilion pada suku kedua 2020 kepada RM6.1 bilion pada suku keempat 2020.

19. Antara faktor yang menyokong keyakinan pelabur luar ini ialah usaha giat Kerajaan untuk mengadakan libat urus dengan pelabur sedia ada bagi memahami kehendak industri dalam tempoh pelaksanaan kawalan pergerakan. Selain itu, usaha-usaha untuk menarik pelaburan tambahan dan baharu juga sentiasa giat dijalankan.

20. Ringgit Malaysia juga telah muncul sebagai antara mata wang paling kukuh di Asia Tenggara dipacu oleh inisiatif secara berterusan pihak Kerajaan dan swasta dalam memulihkan ekonomi dan menangani pandemik COVID-19. Ini merupakan petunjuk penting untuk menilai kemapanan ekonomi negara dalam jangka masa panjang.

LANGKAH KE HADAPAN KERAJAAN PRIHATIN RAKYAT

Mengawal Penularan Covid-19 Dan Memulihkan Ekonomi

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

21. Setelah mengharungi segala cabaran pada tahun 2020, Kerajaan bertekad untuk memacu pemulihan ekonomi dengan lebih rancak pada tahun 2021 demi kesejahteraan rakyat. Saya tahu, walaupun keadaan sudah beransur pulih, ramai rakyat di luar sana masih mengalami kehilangan punca pendapatan dan banyak usahawan tertekan untuk meneruskan perniagaan.

22. Pada awalnya, semasa wabak COVID-19 mula melanda negara kita, ia merupakan satu perkara baharu yang tidak pernah kita alami sebelumnya. Banyak perkara yang masih belum diketahui tentang virus ini.

23. Setelah setahun berlalu, banyak yang telah kita pelajari. Antaranya, berdasarkan analisa data COVID-19, adalah didapati bahawa 10 peratus daripada lokasi kluster COVID-19 menyumbang kepada lebih daripada 85 peratus kes COVID-19 di negara ini.

24. Dengan itu, Kerajaan akan menggubal strategi mengawal penularan COVID-19 berdasarkan data yang diperolehi. Kerajaan akan mengambil pendekatan yang lebih bersasar dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan yang lebih ketat di lokasi-lokasi kluster jangkitan.

25. Pada masa yang sama, aktiviti ekonomi akan terus dibuka tertakluk kepada amalan penjarakan sosial serta SOP yang ketat. Penguatkuasaan SOP akan dipertingkatkan. Tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang didapati tidak mematuhi SOP bagi memastikan aktiviti ekonomi dan mata pencarian untuk majoriti rakyat dan perniagaan dapat kekal dibuka dan diteruskan.

26. Walaupun aktiviti ekonomi akan dibuka, kawalan pergerakan masih diperlukan termasuk kawalan sempadan antarabangsa, kawalan pergerakan merentasi negeri dan juga aktiviti sosial dan perniagaan di mana penjarakan sosial tidak dapat diamalkan. Pembukaan aktiviti seumpama ini hanya dapat dilaksanakan setelah pelaksanaan imunisasi mencapai tahap tertentu dari segi liputan rakyat.

27. Mengambil kira situasi ini, Kerajaan akan merangka langkah-langkah tambahan dalam tempoh terdekat, iaitu:

Pertama – Menyediakan bantuan secara bersasar kepada kumpulan rentan, terutamanya golongan miskin serta golongan yang mengalami kehilangan pendapatan;

Kedua – Meningkatkan sokongan kepada perniagaan, khususnya perniagaan yang masih tidak dapat beroperasi dan perniagaan yang sedang dalam proses pembukaan semula pasca PKP;

Ketiga – Memberi tumpuan kepada sistem penyampaian awam, terutamanya bagi memastikan bantuan sampai kepada semua yang memerlukan, menyegerakan pelaksanaan projek pembangunan serta mengurangkan karenah birokrasi supaya aktiviti ekonomi kembali rancak sehingga ke peringkat akar umbi dan menggalakkan pelaburan baharu dari dalam dan luar negara; dan

Keempat – Memberi fokus utama kepada agenda pendigitalan selaras dengan pertumbuhan sumber kekayaan baharu dan transformasi ekonomi negara dalam aktiviti yang berasaskan pengetahuan dan inovasi.

Penciptaan Peluang Pekerjaan

28. Pandemik COVID-19 memberi kesan yang besar kepada masalah pengangguran di negara ini. Pada tahun 2020, sebanyak 107,024 kes pemberhentian kerja dilaporkan manakala 14,273 kes lagi dilaporkan sehingga 21 Febuari 2021. Untuk mengatasi masalah pemberhentian kerja dan pengangguran, Kerajaan telah menubuhkan Majlis Pekerjaan Negara (MPN) yang merupakan badan tertinggi dalam penetapan dasar dan strategi serta pemantauan pelaksanaan inisiatif berkaitan penciptaan pekerjaan. Bagi tahun 2021, MPN menyasarkan pewujudan sebanyak 500 ribu peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.

29. Untuk tujuan ini, Kerajaan menerusi PERKESO sedang melaksanakan program PenjanaKerjaya 2.0 dan pemerkasaan portal MYFutureJobs bagi menggalakan majikan mengambil dan melatih pekerja-pekerja baharu. Sepanjang tahun lalu, seramai 161,603 pencari kerja telah ditempatkan di dalam pekerjaan baharu. Setakat 26 Februari 2021, seramai 25,648 orang lagi telah berjaya mendapat pekerjaan. Melalui MyFutureJobs, terdapat 243,892 tawaran pekerjaan yang masih terbuka untuk para pencari kerja di mana 143,320 peluang pekerjaan telah diwujudkan menerusi portal MYFutureJobs.

Pemerkasaan Ekonomi Digital

30. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menyokong pertumbuhan ekonomi dan penciptaan pekerjaan, Kerajaan akan memberi fokus kepada pemerkasaan ekonomi digital. Menjelang tahun 2025, ekonomi digital dijangka akan menyumbang 22.6 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Sehubungan itu, saya telah melancarkan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia dan inisiatif MyDigital pada 19 Februari yang lalu. Rangka tindakan ini menyediakan hala tuju untuk Malaysia menjadi sebuah negara yang berdaya saing dalam era digital ini.

31. Berdasarkan Laporan International Institute for Management Development (IMD) World Digital Competitiveness Ranking 2020, daripada 63 buah negara, Malaysia berada pada kedudukan ke-26 dengan skor 82.39 peratus. Manakala dari aspek kreativiti dan inovasi, Malaysia berada pada kedudukan ke-12 daripada 190 ekonomi Rantau Asia Timur dan Pasifik dengan skor 81.5 dalam World Bank’s Doing Business 2020.

32. Inisiatif MyDigital yang berpotensi menarik pelaburan yang dianggarkan bernilai RM70 bilion pastinya akan meningkatkan daya saing negara di samping menjadi antara pemangkin utama pemulihan ekonomi negara dan penciptaan lebih banyak peluang-peluang pekerjaan untuk rakyat.

33. Selain itu, Kerajaan melalui Kementerian dan agensi-agensi berkaitan telah bekerjasama dengan pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama untuk membangunkan sebuah pelan infrastruktur digital yang menyeluruh bagi memenuhi keperluan baharu rakyat. Pelan tindakan ini yang dikenali sebagai Jalinan Digital Negara (JENDELA), akan menjadi platform penambahbaikan komunikasi digital negara di bawah Rancangan Malaysia ke-12. Pelaksanaan JENDELA diharapkan dapat menyediakan penyelesaian kepada masalah capaian internet di kawasan luar bandar dan pedalaman, termasuk di Sabah dan Sarawak.

34. Kerajaan juga telah meluluskan sebanyak 128 projek ICT dan pendigitalan melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM3.8 bilion dengan peruntukan tahun 2021 sebanyak RM538.7 juta. Projek-projek yang diluluskan tersebut meliputi pembangunan sistem, infrastruktur dan perisian keselamatan siber, latihan kompetensi kerajaan digital serta menaiktaraf kelengkapan ICT di institut latihan.

Pendidikan Digital

35. Selaras dengan usaha memperkasa ekonomi digital, Kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pelaksanaan Dasar Pendidikan Digital. Dasar ini mempunyai tiga tujuan utama, iaitu:

Pertama – menyediakan generasi fasih digital, iaitu generasi yang menguasai pengetahuan dan kemahiran digital serta berupaya menghasilkan inovasi menggunakan teknologi digital;

Kedua – meningkatkan kompetensi dan pembangunan profesional pihak berkepentingan berkaitan kepimpinan dan pengintegrasian teknologi digital dalam pendidikan; dan

Ketiga – merapatkan jurang digital bagi melahirkan warganegara yang bertanggungjawab dan berfungsi dalam masyarakat berilmu berlandaskan nilai murni (knowledge virtue-based society).

36. Saya percaya, Dasar Pendidikan Digital adalah satu langkah ke hadapan untuk menyediakan generasi fasih digital dan pada yang sama melonjakkan kualiti pendidikan negara kita agar menjadi antara yang terbaik di dunia.

Membasmi Kemiskinan

37. Saya sedar walaupun Kerajaan telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat, khususnya semasa pandemik COVID-19, masih ramai lagi yang menanggung kesusahan. Saya mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi setiap minggu dan dalam mesyuarat yang terakhir dilaporkan bahawa jumlah rakyat yang jatuh miskin akibat pandemik COVID-19 telah meningkat. Mereka yang dahulunya berada dalam kumpulan T20 sebahagiannya telah menjadi M40 dan sebahagian kumpulan M40 telah menjadi kumpulan B40. Mereka yang berada dalam kumpulan B40 pula menjadi bertambah miskin kerana kesan penguncupan ekonomi yang sedang dialami oleh negara kita.

38. Kabinet juga telah membincangkan secara mendalam masalah kemiskinan yang sedang berlaku di negara kita. Saya telah dipertanggungjawbkan untuk mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kemiskinan yang akan meneliti masalah ini secara lebih terperinci dan apa langkah-langkah yang boleh dilaksanakan oleh Kerajaan, GLC, badan-badan sukarela serta sektor swasta untuk bersama-sama mengatasi masalah kemiskinan. Program pembasmian kemiskinan akan mengambilkira peningkatan Paras Garis Kemiskinan 2021 (PGK 2021) daripada RM980 kepada RM2,208 yang akan meningkatkan bilangan isi rumah miskin dan miskin tegar dan seterusnya meningkatkan bilangan kumpulan sasar.

Menjamin Keselamatan Rakyat

39. Dalam usaha untuk menangani penularan COVID-19 dan menjamin keselamatan rakyat, Kerajaan juga akan mempertingkatkan aspek kawalan sempadan, memastikan pematuhan terhadap perintah kawalan pergerakan, menambahbaik pusat-pusat tahanan sedia ada termasuk membuka pusat-pusat tahanan sementara dan memperketatkan kawalan kemasukan warga asing.

40. Kerajaan juga tidak sedikitpun berkompromi dalam isu pendatang asing tanpa izin (PATI) terutamanya dalam usaha membendung penularan Covid-19. Sehingga 31 Disember 2020, sebanyak 6,634 operasi ke atas PATI telah dilaksanakan dan seramai 22,522 orang PATI dan 387 orang majikan telah ditangkap. Selain itu, 11 sindiket berkaitan PATI dan 111 orang dalang telah ditahan.

41. Kerajaan turut memperkasakan kawalan sempadan melalui Op Benteng di bawah National Task Force (NTF) yang terdiri daripada pelbagai agensi keselamatan bagi mengekang kemasukan PATI yang menyebabkan peningkatan penularan COVID-19. Op Benteng antaranya telah berjaya melaksanakan tangkapan dan pengusiran ke atas PATI, tekong serta merampas bot haram yang cuba memasuki perairan negara.

42. Sebagai langkah ke hadapan, Kerajaan akan terus melaksanakan kawalan keselamatan dan penguatkuasaan terutamanya terhadap arahan perintah kawalan pergerakan yang sedang berkuatkuasa. Selain itu, dasar dan perundangan berkaitan keselamatan akan diperkasakan bagi mengukuhkan lagi aspek penguatkuasaan.

43. Kawalan sempadan akan menjadi antara fokus Kerajaan melalui transformasi pengurusan dan tadbir urus. Pendekatan lima sempadan hadapan atau five-front approach yang merangkumi sempadan utara Kedah, sempadan utara Kelantan, Selatan, Sabah dan Sarawak akan dilaksanakan dengan menambah aset dan penggunaan peralatan yang berteknologi tinggi yang berbeza mengikut kesesuaian bentuk mukabumi di sempadan. Ini termasuklah penambahan pos-pos kawalan, pagar sempadan, CCTV, radar dan dron yang berkapasiti tinggi.

Menambahbaik Sistem Kesihatan Negara

44. Pandemik COVID-19 telah mengajar kita betapa pentingnya negara kita mempunyai sistem kesihatan yang terbaik. Pencapaian sedia ada sistem kesihatan Malaysia telah membuktikan keprihatinan kerajaan dan hasil kesungguhan serta kecemerlangan Kementerian Kesihatan Malaysia serta barisan hadapan dalam menyediakan perkhidmatan kesihatan yang sempurna kepada rakyat.

45. Namun begitu, pertambahan bilangan penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam kalangan penduduk, akses kepada kemudahan kesihatan di kawasan-kawasan tertentu dan kemampanan sistem sedia ada telah memberi cabaran kepada pihak kerajaan. Di samping itu, pandemik COVID-19 yang melanda negara dan seluruh dunia juga telah mendedahkan beberapa jurang yang wujud dalam sistem sedia ada serta langkah jangka pendek dan jangka panjang yang perlu diambil bagi memastikan ia tidak memberi tekanan yang melampau kepada sistem kesihatan negara pada masa hadapan.

46. Menyedari hakikat ini kerajaan telah memulakan usaha melaksanakan kajian menyeluruh terhadap sistem kesihatan negara. Kajian ini terbahagi kepada dua fasa yang merangkumi unjuran serta usaha yang perlu diambil bagi tempoh sehingga tahun 2030. Fasa pertama yang sedang dilaksanakan pada masa ini bertujuan meneliti secara objektf serta menetapkan langkah utama yang perlu diambil bagi memperkukuh sistem sedia ada. Antara lain, fasa pertama bermatlamat menilai sistem kesihatan negara secara terbuka dan objektif. Fasa kedua pula akan menghasilkan pelan tindakan yang memperincikan segala langkah yang perlu diambil bagi mencapai objektif mewujudkan sistem kesihatan yang mampan dan bersedia menghadapi tekanan pada masa hadapan.

Perpaduan Rakyat

47. Selain mempunyai sistem kesihatan yang terbaik, perpaduan rakyat yang berbilang kaum, agama dan wilayah juga menjadi asas penting kejayaan negara kita mengatasi krisis yang melanda. Pandemik COVID-19 memperlihatkan masyarakat majmuk di negara ini saling bantu membantu dan menyokong antara satu sama lain dalam menghadapi keadaan yang sukar. Peranan ini dimainkan di peringkat individu, masyarakat setempat, pertubuhan-pertubuhan sukarela atau menerusi program tanggungjawab sosial korporat sektor swasta yang menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan tanpa mengira batas kaum dan agama. Ini adalah satu sikap terpuji yang mesti kita teruskan sebagai rakyat Malaysia.

48. Selaras dengan usaha untuk memperkukuhkan perpaduan rakyat, Kerajaan telah melancarkan Dasar Perpaduan Negara pada 15 Februari yang lalu, bersekali dengan Rangka Tindakan Perpaduan Negara 2021- 2030. Dasar dan rangka tindakan ini yang pertama kali digubal menggariskan 41 anjakan strategik untuk dijadikan tumpuan di peringkat pelaksanaan bagi mencapai Hasrat ‘Perpaduan dalam Kepelbagaian’.

49. Layanan yang adil dan saksama untuk semua rakyat akan diteruskan menerusi pelbagai inisiatif penyatupaduan. Dalam aspek ekonomi, ia berpaksikan agihan kemakmuran negara yang dikongsi bersama secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat merentasi batas kaum, agama dan wilayah. Manakala dalam aspek sosial pula ia dipacu oleh semangat muhibah yang berkekalan.

50. Dalam konteks ini, saya lihat golongan belia di negara kita boleh memainkan peranan penting dalam memupuk semangat perpaduan demi membina sebuah negara bangsa yang bersatu-padu. Sebagai pewaris kepimpinan negara pada masa hadapan, pimpinan pertubuhan- pertubuhan belia wajar mengambil inisiatif yang terkehadapan dalam menyemarakkan semangat perpaduan dalam kalangan rakyat.

Peranan di Peringkat Antarabangsa

51. Hubungan luar negara juga adalah amat penting dalam usaha melawan COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Selain kejayaan menjadi tuan rumah Persidangan APEC 2020 yang diadakan secara maya, Malaysia akan terus memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa. Ini termasuk menerusi Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN yang dipersetujui semasa Sidang Kemuncak Asean ke-37, menjamin Malaysia sentiasa mempunyai akses kepada vaksin, termasuk vaksin generasi baharu, di samping berusaha untuk memperluaskan pengiktirafan global sijil kesihatan digital atau passport vaksin Malaysia dan memberi bantuan serta memudahcara kepulangan rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara.

52. Bagi memudahkan usaha pemulihan ekonomi Malaysia, Kerajaan akan meneruskan usaha secara menyeluruh bagi mewujudkan gelembung perjalanan dengan negara-negara yang berpotensi. Inisiatif gelembung perjalanan ini penting untuk mengaktifkan kembali kerjasama perdagangan dan pelaburan dua hala dan seterusnya mempercepat pertumbunan ekonomi.

53. Dalam konteks ini, Malaysia telah merumuskan perjanjian Laluan Hijau Timbal Balik atau Reciprocal Green Lane (RGL) bersama Singapura pada tahun 2020. Malaysia akan terus berusaha untuk mewujudkan RGL dengan negara-negara berkepentingan seperti China (termasuk Hong Kong, Macao dan Taiwan), Australia, Brunei, India, Indonesia, Jepun, Republik Korea, New Zealand dan Vietnam.

54. Di peringkat serantau pula, Deklarasi ASEAN mengenai pembentukan ASEAN Travel Corridor Arrangement (TCA) telah diterima pakai oleh pemimpin-pemimpin ASEAN semasa Sidang Kemuncak ASEAN yang ke-37 pada bulan November 2020. Inisiatif ini akan membantu memudahkan perjalanan semula intra-ASEAN, dan seterusnya mampu mengaktifkan semula industri perdagangan, pelancongan dan perkhidmatan-perkhidmatan berkaitan intra-ASEAN yang telah terjejas disebabkan pandemik COVID-19.

55. Selain itu, Kerajaan akan memastikan peranan Malaysia di Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) kekal utuh, khususnya dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin. Malaysia akan terus menyokong segala usaha demi mencapai penyelesaian adil dan berkekalan, khususnya menerusi rundingan membabitkan pihak berkaitan berdasarkan undang-undang antarabangsa serta resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan.

WAWASAN KEMAKMURAN BERSAMA 2030 (WKB 2030 DAN RANCANGAN MALAYSIA KE-12 (RMKE-12)

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

56. Sementara Kerajaan pada masa ini memberi fokus kepada usaha- usaha untuk mengatasi masalah COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara, kita juga perlu merancang pembangunan dan kemajuan ekonomi negara untuk jangka masa panjang. Dalam konteks ini, pelan pembangunan sosioekonomi negara lima tahun adalah penting bagi menetapkan hala tuju strategik yang jelas dan meletakkan ekonomi negara di atas asas yang lebih kukuh.

57. Sehubungan ini, Kerajaan telah memperkenalkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) sebagai kesinambungan kepada Wawasan 2020. Matlamat utama WKB 2030 adalah supaya rakyat Malaysia secara keseluruhannya dapat mengecapi taraf hidup wajar atau decent standard of living menjelang tahun 2030. Tiga objektif utama WKB 2030 adalah memastikan pembangunan untuk semua, menangani jurang kekayaan dan pendapatan, dan mencapai hasrat negara yang bersatu, makmur dan bermaruah. WKB 2030 akan dilaksanakan melalui Rancangan Malaysia Kedua Belas, 2021-2025 (RMKe-12) dan Rancangan Malaysia Ketiga Belas, 2026-2030.

58. RMKe-12 bertujuan untuk mencapai “Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan”. Dasar dan strategi yang sedang dirangka di bawah RMKe-12 menunjukkan komitmen Kerajaan yang prihatin terhadap permasalahan rakyat dan meletakkan ekonomi Malaysia di atas landasan yang lebih kukuh dan berdaya saing. Matlamat RMKe-12 bukan sahaja untuk merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi, malah turut memastikan kemakmuran negara dapat diagihkan secara lebih adil dan saksama serta tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar.

59. Bagi memastikan Malaysia berada pada landasan yang tepat untuk mencapai matlamat WKB 2030, strategi dan inisiatif yang dirangka bagi menangani isu dan cabaran sosioekonomi yang wujud memberi tumpuan kepada usaha-usaha menjana semula ekonomi, memperkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusiviti serta mempertingkat kemampanan.

60. Beberapa pemangkin telah dikenal pasti dalam memacu pembangunan Malaysia dalam tempoh lima tahun akan datang. Pemangkin-pemangkin ini termasuklah membangunkan bakat tersedia masa hadapan, mempercepat penerimagunaan teknologi termaju dan inovasi, memperkukuh ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan serta mengukuhkan sektor awam supaya lebih cekap.

61. Di antara keutamaan-keutamaan Kerajaan dalam RMKe-12 termasuklah:

i. menangani kemiskinan, khususnya penghapusan kemiskinan tegar dan mengurangkan ketidaksamarataan sosioekonomi dengan melaksanakan program yang lebih menyeluruh dan bersasar;

ii. memberi penekanan kepada Agenda Pemerkasaan Bumiputera bagi mengurangkan jurang di antara Bumiputera dengan kaum- kaum yang lain;

iii. mempercepatkan pembangunan di Sabah dan Sarawak dan negeri-negeri lain yang kurang membangun dengan memantapkan penyediaan infrastruktur dan kemudahan asas;

iv. menyediakan ekosistem yang kondusif untuk membangunkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS);

v. mempercepat penerimagunaan teknologi termaju dan pendigitalan;

vi. menggalakkan pelaburan yang berkualiti dengan memberi tumpuan kepada aktiviti berteknologi tinggi; dan

vii. mempercepatkan peralihan kepada ekonomi hijau untuk menyokong agenda pembangunan mampan dan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara rendah karbon.

62. Dalam hubungan ini, beberapa industri berpotensi tinggi telah dikenal pasti sebagai peneraju dan sumber pertumbuhan baharu seperti industri aeroangkasa, elektrikal dan elektronik yang lebih canggih, kreatif, biojisim dan pertanian pintar. Kerajaan juga akan melaksanakan strategi untuk mempertingkat produktiviti bagi mempercepatkan peralihan kepada industri yang mempunyai nilai ditambah yang tinggi serta berteknologi tinggi.

Perkhidmatan Awam yang Cekap, Berintegriti dan Prihatin

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

63. Segala perancangan Kerajaan seperti yang telah saya huraikan memerlukan komitmen dan kerjasama daripada perkhidmatan awam yang cekap, berintegriti dan prihatin.

64. Dalam waktu yang sukar ini, harapan saya adalah supaya semua penjawat awam memberi tumpuan kepada usaha membantu rakyat. Ini keutamaan nombor satu. Percepatkan proses penyampaian bantuan kepada rakyat. Mereka tidak boleh tunggu lama-lama. Sehari lewat mungkin dapur mereka tidak berasap. Begitu juga permohonan- permohonan daripada peniaga, pengusaha dan pelabur. Permudahkan proses untuk mereka melabur, memula dan memulihkan perniagaan masing-masing.

65. Untuk meningkatkan aspek governans, integriti dan anti-rasuah, Kerajaan juga akan meneruskan pelaksanaan Pelan Anti Rasuah Nasional bagi mencapai hasrat negara yang berintegriti dan bebas rasuah.

66. Seperti aur dengan tebing, Kerajaan dan penjawat awam tidak mungkin dapat dipisahkan. Kejayaan demi kejayaan telah kita capai bersama meskipun tidak sedikit rintangan yang terpaksa diatasi. Hubungan dan muafakat yang utuh di antara Kerajaan dan penjawat awam ibarat seikat bak sirih, serumpun bak serai.

67. Bak kata pepatah, kepimpinan berkesan ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan. Pemimpin Kerajaan sama ada ahli politik mahu pun penjawat awam, wajiblah melindungi semua rakyat. Semuanya mesti dilayan dengan saksama dan dibela secara adil.

68. Begitu juga pihak GLC dan badan-badan berkanun. Laksanakan program tanggungjawab sosial korporat atau CSR untuk membantu masyarakat yang susah. This is the time for all of us to give back to the society. Saya terima banyak permohonan daripada peniaga-peniaga yang memohon dikecualikan bayaran sewaan premis GLC yang mereka duduki untuk berniaga. Pertimbangkanlah permohonan-permohonan ini sebaik-baiknya. Banyak peniaga yang mengalami kerugian. Bantulah mereka untuk menyelamatkan perniagaan dan bangkit kembali.

DARURAT

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

69. Di kesempatan ini, saya ingin menyentuh sedikit berkenaan perihal darurat yang sedang dilaksanakan di negara kita pada masa ini. Proklamasi Darurat yang diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong adalah semata-mata untuk mengatasi masalah COVID-19.

70. Sejak darurat berkuatkuasa, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memasyhurkan tiga ordinan iaitu, Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021, Ordinan Darurat (Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja) (Pindaan) 2021 dan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021.

71. Kesemua ordinan ini adalah bertujuan untuk membolehkan kerajaan menangani pandemik COVID-19 dengan lebih cekap dan berkesan, termasuk menambahbaik pengurusan penginapan pekerja asing yang menjadi antara punca utama penularan COVID-19 di negara kita. Dengan adanya proklamasi darurat, kesemua ordinan ini dapat dimasyhurkan dalam tempoh yang singkat tanpa perlu melalui proses di Parlimen yang kebiasannya mengambil masa yang lama.

72. Saya sedar dan saya faham maksud demokrasi. Justeru, tidak ada satu pun daripada ordinan ini yang bertujuan untuk membolehkan Perdana Menteri kekal berkuasa selama-lamanya. Malah, darurat yang sedang dilaksanakan ini juga mempunyai tempoh tamat pada 1 Ogos 2021. Inilah kali pertama dalam sejarah negara kita, darurat mempunyai tempoh tamat.

73. Selain itu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong juga telah melantik sebuah Jawatankuasa Khas Bebas yang turut dianggotai oleh Ahli-Ahli Parlimen pembangkang untuk meneliti keadaan darurat di negara ini dan membuat perakuan sama ada darurat boleh ditamatkan lebih awal atau sebaliknya. Saya percaya Jawatankuasa Khas Bebas ini akan meneliti keadaan pandemik COVID-19 di negara kita dengan sebaik-baiknya. Jika jawatankuasa ini berpuashati bahawa masalah COVID-19 telah dapat dikawal sepenuhnya, maka perakuan boleh dibuat supaya darurat ditamatkan.

74. Sepertimana yang saya telah tegaskan berulang kali, saya menjunjung Perlembagaan dan prinsip demokrasi. Apabila masalah COVID-19 telah dapat diatasi, saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen supaya pilihanraya boleh diadakan dan rakyat bebas memilih kerajaan mana yang layak untuk memerintah. Buat masa ini, berilah ruang kepada kerajaan untuk tumpukan sepenuh perhatian kepada usaha mengawal penularan wabak ini.

75. The main focus of this government at this moment is to steer this country clear of the double whammy of health and economic crises. Once the pandemic is over, which I hope will be very soon, I will advise the Yang di-Pertuan Agong to dissolve the Parliament. Until such time, my colleagues in the Cabinet and I will continue to carry out our duties and responsibilities to the best of our ability.

76. When the election is held, of course, we will leave it to the people to decide whether the Perikatan Nasional government should be re-elected or otherwise. You are free to choose and that is what democracy is all about.

COMPLIMENTS TO FOREIGN DIPLOMATIC MISSIONS

Excellencies, distinguished guests, ladies and gentlemen,

77. I would like to take this opportunity to express my deep appreciation to all Foreign Heads of Mission based in Malaysia for your invaluable contributions throughout this challenging time. The health, humanitarian and economic crises brought about by the pandemic required not just local, but also international collaborations, in providing aid to the people.

78. Malaysia highly appreciates the bilateral and multilateral support rendered, including in delivering protective and medical equipment such as face masks and ventilators, as well as the exchange of expertise in managing the COVID-19 crisis. Foreign Diplomatic Missions have been playing a critical role in channelling accurate information and updates to the international communities in this country, including on policies concerning health screening, business operation and border control. For all that you have done to help us, I thank you very much.

PENUTUP

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

79. Akhir kata, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakan-rakan saya di dalam kabinet, pimpinan parti-parti politik, Ahli-Ahli Parlimen, Menteri-Menteri Besar dan Ketua-Ketua Menteri, penjawat awam, pasukan keselamatan, pimpinan GLC, pimpinan badan-badan bukan kerajaan, sektor swasta dan seluruh rakyat Malaysia yang telah menyokong segala usaha kerajaan dalam mengurus pandemik COVID-19 dan memulihkan ekonomi negara. Apa sahaja pencapaian negara kita sepanjang tahun lalu dan yang akan datang adalah pencapaian anda semua.

80. Saya memberi jaminan dan komitmen seratus peratus bahawa Kerajaan Perikatan Nasional akan terus Prihatin Rakyat.

81. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada para frontliners kita yang telah bertungkus-tungkus lumus melindungi dan menyelamatkan kita semua daripada wabak COVID-19 sejak setahun yang lalu. Sebagai tanda sokongan kepada mereka, saya ingin mengajak anda semua supaya medaftarkan diri di aplikasi MySejahtera untuk mengambil vaksin COVID-19 sebagai usaha kita bersama dalam memerangi wabak ini.

82. Saya telah mengambil vaksin dos pertama dan Alhamdulillah saya sihat dan boleh bekerja seperti biasa. Vaksin ini selamat untuk saya dan insyaAllah ia juga selamat untuk anda semua.

83. Marilah kita sama-sama berdoa agar kita semua dilindungi daripada sebarang mudarat dan diberikan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan yang berkekalan.

بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

اَلْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. حَمْدًا يُوَافِيْ نِعَمَهُ وَيُكَافِئُ مَزِيْدَهُ.يَا رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ كَمَا يَنْبَغِيْ لِجَلاَلِ وَجْهِكَ الْكَرِيْمِ وَعَظِيْمِ سُلْطَانِكَ

بِسْمِ اللَّهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِي الْأَرْضِ وَلَا فِي السَّمَاءِ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ

Kami bersyukur dengan segala nikmat dan rahmat yang Engkau limpahkan kepada kami ya Allah

Kami redha dengan segala ujian yang Engkau turunkan kepada kami ya Allah

Peliharakanlah kami dan negara kami daripada segala kemudaratan. Hindarkanlah negara kami dari segala kejahatan dan kemungkaran. Jauhkanlah kami sekalian daripada segala ancaman.
Pimpinlah kami ke jalan yang benar dan lurus – jalan yang diredhai oleh- Mu ya Allah.

Kekalkanlah ya Allah perpaduan, keamanan, keselamatan dan kemakmuran negara kami Ya Allah.

رَبِّ اجْعَلْ هَٰذَا بَلَدًا آمِنًا وَارْزُقْ أَهْلَهُ مِنَ الثَّمَرَاتِ مَنْ آمَنَ مِنْهُمْ بِاللَّهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ

رَبَّنَا آتِنَا فِى الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِى الآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارَكَ وَسَلَّمَ

سُبْحاَنَ رَبِّكَ رَبِّ الْعِزَّةِ عَمَّا يَصِفُوْنَ وَسَلاَمٌ عَلَى الْمُرْسَلِيْنَ وَالْحَمْدُ لِلّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri