Pelajar perlu sampaikan permasalahan, isu ikut saluran betul – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 16 Mac — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata ruang dan  kebebasan  diberikan kerajaan untuk pelajar menyampaikan segala permasalahan atau isu  wajar  disantuni  sebaik  mungkin  mengikut saluran betul.

Beliau berkata ia perlulah disulami tanggungjawab untuk meletakkan nilai integriti sebaris dengan nilai rasional, selain bersandarkan kepada kesopanan dan kesusilaan.

“Setiap perkara yang diputuskan hendaklah jauh daripada desakan emosi, membuta tuli atau hasutan pihak lain agar darjat eksklusif mahasiswa tidak disalahgunakan.

“Kepimpinan berkesan adalah meletakkan perkara pertama dahulu. Pengurusan efektif adalah disiplin dalam melaksanakannya,” katanya dalam perutusan sempena Mesyuarat Perdana Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) 2021 secara dalam talian yang disiarkan di laman Facebook Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hari ini.

Muhyiddin berkata platform seperti MPPK adalah sangat signifikan bagi membentuk  legasi  kepimpinan  dalam kalangan pelajar yang seterusnya melahirkan pemimpin pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) berkualiti, berfikiran kritis dan idealis.

“Saya percaya dengan komunikasi secara dua hala antara pelajar dan juga kerajaan melalui  forum  MPPK, diperkukuhkan lagi dengan bakat kepimpinan dimiliki ahli MPPK, solusi terbaik bagi menyelesaikan isu-isu berbangkit terutamanya berkaitan kebajikan pelajar IPT akan dapat dicapai,” katanya.

Muhyiddin berkata sesi mesyuarat perdana MPPK berkenaan merupakan medium signifikan untuk menyangkal dakwaan bahawa pelajar IPT yang sinonim dengan istilah ‘darah muda’ sentiasa membuat keputusan terburu-buru.

“Medan ini ialah acuan yang akan membentuk pemimpin pelajar sekalian untuk membuat keputusan secara matang di samping membina keperibadian unggul,” katanya.

Justeru, beliau berharap mesyuarat  berkenaan  mampu  membentangkan  hasrat  yang  berupaya  meningkatkan

kesejahteraan pelajar IPT dan masyarakat secara keseluruhannya.

Beliau berkata pelajar khususnya di IPT merupakan aset dan modal insan negara paling berharga, bukan sahaja dari aspek tenaga kerja serta kemahiran selepas menamatkan pengajian tetapi juga dari aspek kognitif iaitu sumbangan idea yang bernas untuk membantu kerajaan memacu pembangunan negara.

Menurutnya, kerajaan sentiasa prihatin dengan segala hasrat yang diutarakan pelajar terutamanya berkaitan usaha memperkasakan mahasiswa.

Sebagai contoh, Muhyiddin berkata kerajaan melalui KPT telah mengambil inisiatif bekerjasama dengan IPT untuk membantu pelajar terutama daripada keluarga B40.

Katanya, ia termasuk memberi bantuan RM50 secara sekali bayar kepada 76,153 pelajar baharu Sesi Akademik 2020/2021 yang melibatkan peruntukan RM3.8 juta; Bantuan Pelan Data B40 dengan peruntukan RM24 juta yang memanfaatkan 320,396 pelajar; dan Bantuan Peranti B40 bersasar melibatkan peruntukan RM13 juta kepada 8,965 pelajar.

Sementara  itu,  Perdana  Menteri  berharap  ahli  MPPK  selaku  jurucakap  kepada  pelajar   IPT   dapat   menguar- uarkan manfaat program vaksinasi yang merupakan antara usaha kerajaan menurunkan kadar jangkitan COVID-19.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri