Usaha bersepadu pihak berkepentingan diperlukan untuk kehidupan lestari – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 25 Feb — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata usaha bersepadu membabitkan semua pemegang taruh, kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan orang awam diperlukan bagi menambah baik dan mempermudah kehidupan lestari.

Beliau berkata perindustrian di Malaysia perlu dilaksanakan secara mesra alam sekitar menerusi pendekatan penggunaan dan pengeluaran yang mampan.

“Menerusi sokongan anda, saya yakin kita dapat mencapai kemajuan bermakna secara bersama sebagai sebuah negara,” katanya semasa berucap pada Majlis Anugerah Hibiscus Perdana Menteri 2019/2020 yang diadakan secara maya, di sini malam ini.

Mengenai cabaran bagi negara dalam mempertahankan kelestarian alam sekitar sejak penularan pandemik COVID-19, beliau berkata wujud sedikit kelegaan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan rakyat Malaysia menikmati persekitaran lebih sihat termasuk udara yang lebih bersih.

Namun katanya amalan norma baharu menyumbang kepada isu baharu alam sekitar dari segi pelupusan pelitup muka yang dibuat secara sewenang-wenangnya serta peningkatan ketara penggunaan bekas plastik bagi membungkus makanan dibawa balik.

“Inisiatif alam sekitar menjadi kurang penting disebabkan perkara-perkara itu. Justeru, cabaran bagi kita sekarang ialah memulihkan kembali kegiatan ekonomi tanpa mencetuskan semula kemerosotan persekitaran,” katanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri