PM Muhyiddin ucap takziah, sifatkan kematian Jamali satu kehilangan buat semua

KUALA LUMPUR, 3 Feb — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga pelawak komediri dan penghibur terkenal tanah air, Datuk Jamali Shadat yang meninggal dunia hari ini.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook rasmi beliau, Muhyiddin menyifatkan pemergian Jamali Shadat sebagai satu kehilangan kepada semua.

“Ramai antara kita tentunya membesar dengan mengikuti lakonan serta lawak jenaka Allahyarham yang sarat dengan nilai kekeluargaan dan keharmonian antara kaum.

“Salam takziah kepada keluarga Allahyarham atas kehilangan insan tersayang,” kata Muhyiddin sambil mendoakan agar Allah SWT merahmati roh Allahyarham dan menempatkannya dalam kalangan orang beriman serta beramal soleh.

Allahyarham Jamali Shadat yang dilahirkan di Bukit Kapar, Klang, Selangor mempunyai lapan anak dan 39 cucu cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan bersama atuknya serta rakan berbilang kaum pada zaman kegemilangannya, 1980-an.

Selain itu, pelawak lagenda yang terkenal sejak era 1970-an itu turut mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas.

Jamali Shadat meninggal dunia kira-kira 8.30 pagi tadi, pada usia 78 tahun di kediamannya di Kampung Sungai Pinang, Pulau Indah, Pelabuhan Klang.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri