PM Muhyiddin tiba di Jakarta untuk lawatan rasmi ke Indonesia

JAKARTA, 4 Feb — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tiba di sini hari ini untuk lawatan rasmi dua hari ke Indonesia.

Muhyiddin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Halim Perdanakusuma di sini pada pukul 4.30 petang (waktu tempatan).

Ketibaan mereka disambut oleh Menteri Dalam Negeri Indonesia Tito Karnavian, Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein dan Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Zainal Abidin Bakar.

Ini merupakan lawatan dua hala pertama Munyiddin ke negara-negara Asia Tenggara sejak menjawat jawatan Perdana Menteri pada Mac lepas.

Dalam lawatan ini, Perdana Menteri dijangka mengadakan perjumpaan dengan Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi), dan diikuti dengan Majlis Jamun Makan Tengah Hari yang dihoskan oleh Jokowi, Jumaat.

Delegasi itu akan mematuhi protokol kesihatan yang ketat termasuk menjalani ujian saringan sebelum pelepasan, sebaik ketibaan, di samping menjalani tempoh kuarantin sebaik kembali ke Malaysia, Jumaat.

Dalam menyedari kepentingan hubungan dua hala Malaysia-Indonesia dan cabaran pandemik COVID-19, Perdana Menteri sendiri telah meminta supaya lawatan itu disingkatkan, dan jumlah anggota delegasi yang kecil.

Esok, Perdana Menteri akan diberikan sambutan negara di Istana Merdeka di sini, dan kemudiannya kedua-dua pemimpin akan mengadakan perbincangan empat mata sebelum mengadakan persidangan media bersama.

Majlis yang pada mulanya dirancang untuk diadakan di Istana Bogor, telah dipindahkan lokasinya ke Istana Merdeka di Jakarta selepas Indonesia memahami keadaan dan kepentingan logistik semasa tempoh pandemik ketika ini.

Lawatan ini akan menyediakan platform bagi kedua-dua pemimpin mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama kedua-dua negara.

Ia juga akan membolehkan Malaysia mengetengahkan dasar-dasar terbaharu kerajaan dan pendiriannya, terutama berhubung isu-isu ysng memberi manfaat bersama.

Antara isu yang dijangka akan dibincangkan adalah berkaitan dengan diskriminasi minyak sawit, jerebu, potensi pelaburan, dan perdagangan usaha sama, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), dan kerjasama dalam menangani COVID-19.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri