PM Muhyiddin syukur vaksin COVID-19 selamat tiba di Malaysia

KUALA LUMPUR, 21 Feb —  Perdana  Menteri  Tan  Sri  Muhyiddin  Yassin  menzahirkan  rasa  syukur  dengan ketibaan kumpulan pertama bekalan vaksin COVID-19 jenis Pfizer-BioNTech hari ini, yang amat penting untuk membentuk imuniti berkelompok (herd immunity) dalam membendung penularan COVID-19.

Beliau berkata Malaysia akan memulakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada 24 Feb ini melalui tiga fasa bermula dengan Fasa 1 dari Feb hingga April (Februari-April 2021) untuk kumpulan petugas barisan hadapan melibatkan 500,000 orang.

Fasa 2 pula iaitu dari April hingga Ogos membabitkan kumpulan warga emas berumur 65 tahun ke atas, golongan berisiko tinggi serta orang  kurang  upaya  melibatkan  9.4  juta  orang,  manakala  Fasa  3  dari  Mei  2021  hingga Feb 2022 untuk penduduk di Malaysia berumur 18 tahun ke atas – warganegara dan bukan warganegara – dengan sasaran lebih 13.7 juta orang.

“Bagi mereka yang diklasifikasikan dalam Fasa 2 dan 3, saya harap anda boleh bersabar dan terus menyokong usaha kerajaan untuk melaksanakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini sementara proses pemberian vaksin untuk kumpulan fasa 1 dilakukan,” katanya dalam catatan di laman Facebooknya.

Muhyiddin turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin dan semua pihak serta agensi terlibat khususnya Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Pengangkutan dan Malaysia Airlines Bhd dalam memastikan bekalan vaksin selamat tiba di Malaysia.

Kumpulan pertama bekalan vaksin Pfizer-BioNTech melibatkan 312,390 dos selamat tiba di Malaysia hari ini melalui penerbangan MH604 kendalian MABkargo Sdn Bhd (MASKargo) yang mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.07 pagi.

Muhyiddin berharap mereka yang layak diberikan suntikan vaksin mendaftar apabila pendaftaran dibuka dalam waktu terdekat dan mendapatkan suntikan vaksin masing-masing seperti yang dijadualkan.

“Vaksinasi ini amat penting untuk kita semua bagi membentuk imuniti berkelompok dengan memastikan sekurang- kurangnya 80 peratus penduduk dewasa di Malaysia menerima vaksin. Ini secara langsung dapat membendung penularan jangkitan COVID-19 daripada menjadi lebih teruk,” katanya.

Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin berkata Muhyiddin dan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah akan menjadi antara penerima pertama suntikan vaksin COVID- 19 pada Rabu ini, yang menandakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan digerakkan lebih awal daripada jadual asal pada 26 Feb.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri