Perutusan YAB Perdana Menteri sempena Tahun Baharu Cina

TEKS PERUTUSAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI
SEMPENA PERAYAAN TAHUN BAHARU CINA 2021

Salam sejahtera kepada rakyat Malaysia yang dikasihi sekalian. Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari berada dalam keadaan sihat walafiat.

1. Saya, isteri dan seisi keluarga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina 2021 khususnya kepada masyarakat Cina di negara kita. Perayaan ini yang akan disambut esok, menjadi bukti sikap saling menghormati dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negara ini. Kita perlu mengekalkan kekuatan ini yang merupakan salah satu teras utama perpaduan negara yang kita cintai ini.

2. Perayaan Tahun Baharu Cina pada tahun ini disambut dalam suasana norma baharu memandangkan negara kita masih berdepan dengan penularan wabak COVID-19. Kita faham dalam suasana pandemik ini, rakyat Malaysia daripada pelbagai kaum dan agama menyambut perayaan masing-masing dalam suasana yang agak lebih berhati-hati.

3. Kerajaan telah menetapkan SOP tertentu untuk memastikan saudara dan saudari dapat menyambut perayaan dalam keadaan yang selamat. Ini termasuklah sekatan rentas negeri dan daerah yang menyebabkan ramai yang tidak dapat pulang ke kampung halaman atau berjumpa keluarga masing-masing. Sekatan ini dilaksanakan bukan untuk menyekat kebebasan saudara dan saudari, tetapi demi untuk kebaikan bersama bagi melindungi nyawa, terutamanya ahli keluarga kita yang kita sayangi.

4. Ini penting kerana keutamaan kita semua pada masa ini ialah untuk memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dan melindungi nyawa rakyat.

5. Di sebalik kekangan ini, saya percaya sambutan Tahun Baharu Cina masih dapat disambut dengan penuh kegembiraan dan kemeriahan. Tradisi makan besar atau reunion dinner yang menjadi amalan masyarakat Cina pada malam sebelum hari pertama perayaan masih dapat diraikan dengan penuh bermakna bersama ahli keluarga.

6. Mengambil kira kepentingan tradisi ini, Kerajaan telah pun memberi sedikit kelonggaran iaitu dengan membenarkan reunion dinner dengan ahli keluarga yang tinggal berdekatan, tidak melebihi 15 orang pada malam sebelum Tahun Baharu Cina. Aktiviti keagamaan di tempat-tempat ibadat masyarakat Cina juga dibenarkan mengikut SOP yang telah ditetapkan.

7. Yang penting ialah saudara dan saudari terus mengamalkan kawalan kendiri pada setiap masa. Amalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan sentiasa membasuh tangan. Jika ada dalam kalangan ahli keluarga yang terdiri daripada golongan yang berisiko tinggi, lindungi mereka.

8. Bagi ahli keluarga yang tinggal berjauhan atau pelajar yang terpaksa berada di kampus universiti atau kolej, saudara dan saudari bolehlah memanfaatkan teknologi yang ada pada hari ini, dengan membuat panggilan video untuk melepaskan kerinduan terhadap ahli keluarga dan sahabat handai yang jauh di mata.

9. Saya berharap sambutan Tahun Baharu Cina pada tahun ini akan membawa kebahagiaan dan kesejahteraan buat seluruh rakyat Malaysia. Jadikanlah perayaan ini sebagai sumber kekayaan budaya dan adat resam rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama, serta titik pengukuhan sikap hormat-menghormati sesama kita.

10. Saya berharap sambutan ‘Year of the Ox’ ini akan meningkatkan semangat dan memberi kekuatan baharu kepada kita dalam meneruskan usaha untuk bersama-sama memutuskan rantaian wabak COVID-19, dan seterusnya memulihkan ekonomi negara. Semoga kita dapat kembali mengecapi kemakmuran bersama!

‘Xin Nian Kuai Le, Gong Xi Fa Cai’. Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri