Teks Ucapan Pengumuman Khas Darurat

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh dan salam sejahtera.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,
Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat wal áfiat.

1. Susulan kenyataan yang baru sahaja dikeluarkan oleh Istana Negara berhubung Proklamasi Darurat yang berkuatkuasa di negara ini, saya berdiri di hadapan saudara dan saudari sekalian pada pagi ini untuk membuat beberapa penjelasan.

2. Semalam saya telah diterima menghadap oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan nasihat Jemaah Menteri agar Seri Paduka Baginda mengeluarkan Proklamasi Darurat menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan untuk mengisytiharkan Darurat bagi seluruh Persekutuan berkuat kuasa mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021 untuk ampun perkenan Seri Paduka Baginda.

3. Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan:

“Jika Yang di-Pertuan Agong berpuas hati bahawa suatu darurat besar sedang berlaku yang menyebabkan keselamatan, atau kehidupan ekonomi, atau ketenteraman awam di dalam Persekutuan atau mana-mana bahagiannya terancam, maka Yang di-Pertuan Agong boleh mengeluarkan suatu Proklamasi Darurat dengan membuat dalamnya suatu perisytiharan yang bermaksud sedemikian”.

4. Menurut Perkara 150(1) Perlembagaan Persekutuan, ancaman terhadap kehidupan ekonomi merupakan salah satu asas untuk sesuatu proklamasi darurat dibuat. Dalam kes Stephen Kalong Ningkan lawan Kerajaan Malaysia, Majlis Privi menyatakan dalam penghakimannya bahawa –

“An emergency to be within that article (article 150(1) of the Federal Constitution) must be not only grave but such as to threaten the security or the economic life of the Federation or any part of it, the natural meaning of the word itself is capable of covering a very wide range of situations and occurrences, including such diverse events as was famines, earthquakes, floods, epidemics and the collapse of the civil government.”.

5. Dalam hal ini, memandangkan dunia pada masa ini sedang berhadapan dengan ancaman pandemik COVID-19 yang telah secara langsung menjadi ancaman besar terhadap kehidupan ekonomi rakyat di negara ini, suatu perisytiharan darurat boleh dibuat oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berhubung dengan perkara ini. Selain peningkatan mendadak kes positif COVID-19, terdapat beberapa negeri di Malaysia seperti Johor, Pahang dan Kelantan yang sedang mengalami bencana banjir yang besar yang telah secara langsungnya turut menjadi ancaman besar terhadap keselamatan dan kehidupan ekonomi rakyat.

6. Seperti yang telah saya jelaskan semasa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan semalam, kes jangkitan COVID-19 semakin meningkat dan tidak menunjukkan tanda-tanda penurunan dalam masa terdekat. Oleh itu, Kerajaan perlu mempunyai kuasa-kuasa tertentu bagi memastikan wabak ini dapat dibendung dengan lebih berkesan dan perkhidmatan kesihatan yang disampaikan kepada rakyat tidak lumpuh.

7. Setelah mempertimbangkan nasihat Jemaah Menteri, Seri Paduka Baginda telah berpuas hati bahawa adanya keperluan mengeluarkan Proklamasi Darurat bagi membolehkan Ordinan dimasyhurkan di bawah Fasal (2B) Perkara 150 bagi memperuntukkan kuasa-kuasa perlu untuk mengekang dan menghalang daripada berlakunya penularan wabak COVID-19 dengan lebih serius di negara ini.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

8. Izinkan saya memberikan penjelasan lebih lanjut mengenai bentuk darurat yang berkuatkuasa di negara ini. Ingin saya tegaskan bahawa darurat yang diisytiharkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bukanlah satu bentuk rampasan kuasa tentera. Perintah berkurung juga tidak akan dilaksanakan. Sebaliknya, sepanjang tempoh darurat ini, kerajaan awam akan terus berfungsi.

9. Let me assure you that the civilian government will continue to function. The emergency proclaimed by the Yang di-Pertuan Agong is not a military coup and curfew will not be enforced.

10. Dari segi pentadbiran kerajaan, Jemaah Menteri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri akan terus berfungsi menurut Perlembagaan Persekutuan dan apa-apa ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dari semasa ke semasa. Saya memberi jaminan bahawa jentera pentadbiran dan perkhidmatan awam Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri tidak akan terganggu dengan perisytiharan darurat ini.

11. Sepanjang tempoh darurat ini, jika Seri Paduka Baginda berpuas hati bahawa ada hal-hal keadaan tertentu yang menyebabkan perlu baginya mengambil tindakan serta-merta, maka Seri Paduka Baginda boleh memasyhurkan apa-apa ordinan yang perlu mengikut hal keadaan semasa.

12. Dalam konteks ini, beberapa Ordinan Darurat boleh dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di- Pertuan Agong bagi tujuan membendung wabak COVID-19 yang merangkumi hal-hal berkaitan penggunaan aset hospital swasta, pengambil milikan sementara tanah, bangunan atau harta alih hospital swasta atau membuat permintaan untuk penggunaan sumber hospital swasta bagi tujuan merawat pesakit COVID-19.

13. Sehubungan itu, Kerajaan juga boleh mendapatkan penglibatan yang lebih inklusif daripada pihak swasta termasuk kemudahan penjagaan kesihatan swasta bagi membantu meringankan beban yang ditanggung oleh agensi Kerajaan terutamanya hospital awam. Menerusi ordinan ini, bantuan yang boleh diperolehi daripada pihak swasta meliputi sumber manusia, kepakaran, fasiliti, aset, makmal ujian dan utiliti.

14. Di samping itu, kuasa-kuasa perlu di bawah Ordinan ini juga akan digunakan untuk memudahkan urusan dan mengatasi apa-apa peraturan yang menyukarkan penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara pantas, cekap dan berkesan dalam masa pandemik ini.

15. Suatu ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk memperuntukkan kuasa penguatkuasaan kepada Angkatan Tentera Malaysia selain kuasa yang sedia ada, mengikut kuasa-kuasa yang diperuntukkan kepada Polis Diraja Malaysia di bawah Kanun Tatacara Jenayah atau mana-mana undang-undang penguatkuasaan lain yang berkaitan.

16. Angkatan Tentera Malaysia juga akan diperuntukkan kuasa untuk membantu melaksanakan fungsi-fungsi berhubung dengan kesihatan awam dan fungsi-fungsi yang dijalankan oleh pegawai awam yang berkaitan semasa pandemik ini. Selaras dengan Proklamasi Darurat ini, aspek kawalan sempadan negara juga akan diperketatkan dengan memberi kuasa kepada anggota tentera selain polis dan imigresen untuk menangkap PATI dan sesiapa sahaja yang menceroboh sempadan negara.

17. Selain itu, suatu Ordinan juga boleh dimasyhurkan untuk meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta ini dalam membendung penularan COVID-19. Ini termasuk meningkatkan penalti atau hukuman ke atas sesiapa yang melanggar undang-undang dan peraturan berkaitan pengawalan wabak COVID-19.

18. Ordinan-ordinan yang bertujuan untuk memerangi sabotaj ekonomi, monopoli dan kenaikan harga barang secara keterlaluan dalam masa pandemik juga boleh dimasyhurkan oleh Seri Paduka Baginda. Tindakan penguatkuasaan yang lebih tegas dan hukuman yang lebih berat boleh dikenakan untuk tujuan ini.

19. Semua ordinan yang dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong akan diwartakan dan boleh diketahui oleh rakyat.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

20. Dalam tempoh darurat ini juga, kuasa eksekutif Persekutuan akan meliputi apa-apa perkara dalam kuasa perundangan negeri kecuali bagi apa-apa perkara hukum Syarak atau adat Melayu atau mengenai apa- apa perkara undang-undang atau adat anak negeri di Sabah atau Sarawak, agama, kewarganegaraan dan bahasa, selaras dengan Fasal 6A Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

21. Selain itu, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

22. Sepanjang tempoh darurat berkuatkuasa, Pilihan Raya Umum, Pilihan Raya Negeri dan Pilihan Raya Kecil tidak akan diadakan. Dalam keadaan biasa, Pilihan Raya Kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi diisytiharkan kosong. Pilihan Raya Negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan. Sedangkan kita tahu, rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan Raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti yang berlaku selepas Pilihan Raya Negeri Sabah baru-baru ini.

23. Untuk menjamin pelaksanaan tempoh darurat dibuat secara adil dan telus, sebuah Jawatankuasa Khas Bebas akan ditubuhkan di bawah suatu Ordinan untuk menasihati Seri Paduka Baginda sama ada darurat besar masih berlaku dalam Persekutuan bagi meneruskan tempoh kuat kuasa Proklamasi Darurat atau menamatkan Proklamasi lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

24. Mutakhir ini terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan. Saya tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya. Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk membolehkan Pilihan Raya Umum diadakan ialah pandemik COVID-19.

25. Keputusan untuk tidak mengadakan pilihanraya semasa pandemik COVID-19 masih menular ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip Maqasid Syariah iaitu menjaga nyawa atau hifz al-nafs. Dalam konteks ini, adalah menjadi kewajipan saya sebagai Ketua Kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara dan saudari sekalian daripada jangkitan COVID-19. Ini adalah kemaslahatan paling utama yang dituntut oleh agama Islam.

26. Justeru, saya memberikan komitmen yang tegas bahawa Pilihan Raya Umum akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya adalah selamat untuk diadakan. Pada masa itu, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak untuk mentadbir negara ini dan menjaga kebajikan saudara dan saudari sekalian. Inilah komitmen dan akujanji saya yang akan saya tunaikan, insya-Allah.

27. Bagi saya, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat. Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab.

28. Saya juga memberi jaminan bahawa sepanjang tempoh darurat ini, badan kehakiman akan terus berfungsi untuk menegakkan hukum dan keadilan. Kerajaan Perikatan Nasional akan terus mempertahankan kebebasan badan kehakiman dan tidak akan sekali-kali mencampuri urusan mahkamah. The judiciary will continue to be the beacon of justice in our country and I will never interfere in the business of the court.

29. Aktiviti-aktiviti ekonomi juga akan terus berfungsi tertakluk kepada SOP dan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa. Kerajaan akan memastikan aktiviti ekonomi tidak terhenti agar rakyat mampu untuk terus bekerja dan perniagaan, perdagangan dan industri dapat terus beroperasi seperti biasa.

30. Kerajaan juga komited untuk memastikan amalan-amalan governans terbaik terus diamalkan sepanjang tempoh pelaksanaan darurat. Organisasi kawal selia negara yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, iaitu Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti, serta Bursa Malaysia, akan terus memainkan peranan mereka sebagai pemangkin, pengawal selia dan pemudahcara syarikat dan pasaran.

31. To all the stakeholders keenly monitoring what is happening in Malaysia, I emphasise that Malaysia is open for business. In facing these challenging times, this Period of Emergency will give us much needed calm and stability, as well as enable us to focus on economic recovery and regeneration. We remain committed to good governance in these times and we have a robust and dynamic regulatory ecosystem. We must remember that the Government has a 6-stage strategy in place for economic recovery since March last year and were incorporated in the Budget 2021. Continued stability will enable us to sustain and build upon the economic recovery trajectory we have been working hard for since last year.

Saudara dan saudari yang saya kasihi sekalian,

32. Saya merayu saudara dan saudari sekalian supaya kekal tenang dan memberikan kepercayaan serta sokongan sepenuhnya kepada kerajaan untuk membendung penularan COVID-19 dengan lebih berkesan sepanjang tempoh darurat dilaksanakan. Saya juga menyeru kepada semua ahli politik, pemimpin masyarakat sivil, pertubuhan bukan kerajaan, badan-badan agama, belia, mahasiswa dan setiap lapisan masyarakat supaya bersatu dan berganding bahu dalam menghadapi situasi yang amat sukar ini. Yang penting, matlamat kita hanyalah satu iaitu kita mesti menang dalam memerangi COVID-19.

33. Marilah kita mengamalkan disiplin kendiri dengan lebih ketat sepanjang tempoh PKP dan darurat yang berkuatkuasa ini. Mudah- mudahan kita akan dapat melandaikan lekuk jangkitan COVID-19 dengan segera dan seterusnya mengurangkan tekanan ke atas sistem kesihatan negara kita yang sedang terbeban dengan peningkatan kes-kes positif COVID-19 saban hari.

34. Saya memberi amaran keras, sesiapa yang cuba mengganggu- gugat usaha Kerajaan untuk mengurus pandemik COVID-19 dan ekonomi negara akan diambil tindakan tegas demi kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara.

35. Saya juga berharap agar para alim-ulama’ dan pemimpin agama dapat mendoakan kesejahteraan negara kita dan mudah-mudahan kita semua dilindungi daripada sebarang bala bencana.

36. Saya bagi pihak Kerajaan sekali lagi menjunjung setinggi-tinggi kasih di atas keprihatinan dan kebijaksanaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan perisytiharan darurat di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan bagi menangani pandemik COVID-19 dengan lebih berkesan.

37. Saya berdoa semoga Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Raja Permaisuri Agong, Putera dan Puteri Tuanku, seluruh kerabat duli Tuanku dan sekalian rakyat jelata terus dilindungi oleh Allah SWT. Mudah-mudahan wabak COVID-19 yang sedang melanda negara kita segera berakhir. Amin, Amin Ya Rabbal Alamin.

Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
12 Januari 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri