PM Muhyiddin luang masa lawat SG Academy

KUALA LUMPUR, 7 Jan — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini melawat kolej pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET), SG Academy, di sini, yang turut menjadi pusat peningkatan kemahiran dan latihan semula mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19.

Beliau meluangkan masa lebih sejam melihat program yang ditawarkan pusat itu serta beramah mesra dengan pelatih.

Turut hadir Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dan Pengasas SG Education Group (SGEG) Datuk P. Sri Ganes.

SG Academy menawarkan program antaranya dalam bidang teknologi mekatronik, dron dan seni kulinari selain menjadi penyedia latihan di bawah program Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) bagi memperkasa rakyat khususnya yang terkesan dengan COVID-19.

Setakat 31 Dis tahun lalu, sebanyak 134,736 individu diluluskan untuk mengambil bahagian dalam program peningkatan kemahiran dan latihan di bawah Penjana.

Dalam pada itu, bekas jurulatih penerbangan pesawat ringan, S. Raveendran, 69, menyifatkan program ditawarkan di bawah Penjana membantu memberi peluang kedua kepada rakyat khususnya yang terkesan dengan pandemik COVID-19.

Beliau yang diberhentikan kerja selepas berkhidmat kira-kira 20 tahun sebagai jurulatih penerbangan pada September tahun lalu, mengikuti program teknologi dron di SG Academy.

“Saya menyertai program ini kerana ada sedikit persamaan khususnya dalam ciri kawalan pesawat dan saya tidak menyangka pada umur sebegini, saya ditawarkan pekerjaan,” katanya.

Katanya, beliau kini berkhidmat sebagai peneraju akademik teknologi dron dan pesawat tanpa pemandu (UAS) di SG Academy.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri