PKP: Calon peperiksaan utama dibenar hadir ke sekolah – PM

KUALA LUMPUR, 11 Jan — Calon peperiksaan utama termasuk Sijl Pelajaran Malaysia (SPM) bagi sesi 2020 dan 2021 di negeri yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibenarkan hadir ke sekolah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam perutusan khas yang disiarkan secara langsung menerusi televisyen dan platform dalam talian petang ini, perdana menteri berkata Kementerian Pendidikan akan memperincikan SOP berkenaan.

“Walaupun terdapat sekatan pergerakan yang ketat, khususnya di negeri dikenakan PKP, pengecualian diberikan kepada pelajar dan calon peperiksaan utama termasuk peperiksaan SPM bagi sesi 2020 dan 2021. Mereka dibenarkan hadir ke sekolah dengan SOP yang ketat,” katanya.

Sebelum ini Menteri Kanan Pendidikan Dr Radzi Jidin mengumumkan tarikh pembukaan penggal pertama persekolahan sesi 2021 di seluruh negara ditetapkan pada Rabu, 20 Jan 2021, sementara peperiksaan SPM, Sijil Vokasional Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia dianjak ke 22 Feb 2021 manakala tarikh baharu bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia ditetapkan pada 8 Mac 2021.

Bagi aktiviti keagamaan di negeri-negeri di bawah PKP, Muhyiddin berkata hanya ahli jawatankuasa masjid atau rumah ibadat dibenarkan hadir di premis berkenaan dengan jumlah maksimum lima orang.

Bagi negeri di bawah PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan, aktiviti keagamaan masih dibenarkan berdasarkan jumlah kehadiran minimum yang ditetapkan dalam SOP, katanya.

“Pihak berkuasa agama negeri disaran membuat penetapan yang bersesuaian dalam menetapkan jumlah kehadiran yang dibenarkan,” kata beliau.

Mengenai aktiviti riadah di luar rumah, Muhyiddin berkata orang ramai dibenarkan meninggalkan rumah untuk beriadah dengan anggota isi rumah sahaja.

“Pastikan jarak anda daripada orang lain ialah dua meter pada setiap masa. Kalau hendak berjoging, jangan lebih daripada dua orang dan kalau berbasikal, janganlah secara berkumpulan. Cukuplah seorang sahaja,” katanya.

Beliau berkata kebenaran itu diberikan kerana kerajaan sedar pengasingan diri untuk satu tempoh yang lama boleh memberi tekanan terhadap kesihatan mental.

Katanya tempoh dua minggu yang akan datang itu amat penting, bukan sahaja untuk diri setiap rakyat Malaysia tetapi juga seluruh negara.

“Semua kebebasan yang kita korbankan ini – terputus hubungan dengan rakan-rakan, berada di dalam isolasi di rumah dan kesukaran untuk melakukan aktiviti sosial di luar – akan mampu menyelamatkan nyawa kita semua,” katanya.

Perdana menteri turut mengulangi ingatan kepada rakyat agar sentiasa mematuhi SOP pencegahan seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, memakai pelitup muka dengan betul serta menjaga jarak fizikal.

Beliau turut mengajak pemimpin masyarakat agar menjaga dan melindungi komuniti masing-masing daripada menjadi tempat penularan jangkitan COVID-19.

“Anda semua adalah frontliners dalam komuniti anda dalam perjuangan melawan virus ini. Jalinkan kerjasama dengan pejabat kesihatan daerah, klinik-klinik kesihatan komuniti dan juga majlis daerah untuk mendidik warga komuniti anda supaya mereka tahu bagaimana cara terbaik untuk mencegah COVID-19 ini,” katanya.

Perdana menteri berkata sebagai bukti komitmen kerajaan untuk memperkasakan komuniti, satu jawatankuasa peringkat tinggi yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan Menteri Tugas-tugas Khas telah dibentuk bagi memastikan pelaksanaan langkah pemerkasaan komuniti yang lebih berkesan.

“Anggaplah bahawa virus tersebut berada di dalam diri kita agar kita sentiasa berwaspada dan tidak leka dalam mematuhi SOP yang ditetapkan. Kita bergelak ketawa di luar bersama rakan dan keluarga, tetapi kita sering lupa segala SOP dan petugas-petugas kesihatan kita yang bertungkus-lumus, mengorbankan masa bersama keluarga dan mengeluh bersendirian untuk mengawal penularan jangkitan COVID-19,” katanya.

Dalam perutusan itu juga perdana menteri mengumumkan Kajian Klinikal Fasa Tiga vaksin COVID-19 akan bermula pada 21 Jan ini di sembilan buah hospital Kementerian Kesihatan di bawah kelolaan Pusat Kajian Klinikal masing-masing.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri