Pengumuman Khas Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi & Rakyat Malaysia (PERMAI)

TEKS UCAPAN

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
PERDANA MENTERI MALAYSIA

18 JANUARI 2021 (ISNIN)

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Pendahuluan

1. Rakyat Malaysia yang saya kasihi sekalian. Apa khabar saudara-saudari semua? Hari ini merupakan hari ketujuh setelah Kerajaan mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP di tujuh buah negeri, PKP Bersyarat di lima negeri lain, dan PKP Pemulihan selebihnya.

2. Sejak pelaksanaan PKP tersebut, statistik harian kes positif COVID-19 masih tinggi. Walau bagaimanapun, jumlah kes sembuh juga turut tinggi, lebih daripada 75 peratus daripada keseluruhan kes, Alhamdulillah. Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua petugas barisan hadapan atas pengorbanan yang dicurahkan.

3. Memandangkan kedudukan wabak di negara kita masih membimbangkan, saya berharap kita dapat terus istiqamah dalam kawalan kendiri dan mematuhi SOP yang ditetapkan. Sememangnya, dengan pelaksanaan PKP, aktiviti ekonomi harian akan terjejas terutama sekali perniagaan dan perusahaan kecil tempatan.

4. Namun, berbeza dengan pelaksanaan PKP yang terdahulu, pada kali ini kita membenarkan lebih banyak aktiviti ekonomi untuk terus beroperasi, khususnya di lima sektor ekonomi perlu iaitu: pengilangan dan pembuatan, pembinaan, perkhidmatan, perdagangan dan pengedaran, serta perladangan dan komoditi. Langkah ini memastikan kelancaran pembekalan keperluan asas harian, perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan kepada industri, infrastruktur kritikal dan juga kerja-kerja kecemasan tidak terjejas.

Rakyat Malaysia yang dikasihi,

5. Semenjak bermulanya penularan wabak COVID-19 awal tahun lepas, Kerajaan telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai 305 bilion ringgit atau lebih 20 peratus daripada KDNK bagi membantu rakyat dan perniagaan dan juga melindungi ekonomi kita. Pakej-pakej rangsangan ekonomi ini telah melibatkan 55 bilion ringgit suntikan fiskal oleh Kerajaan.

6. Alhamdulillah, melalui pemantauan oleh Agensi LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan, saya telah dimaklumkan bahawa usaha pelaksanaan oleh 53 Kementerian dan agensi-agensi Kerajaan telah memastikan lebih 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan menerima manfaat langsung daripada pakej-pakej rangsangan ekonomi ini. Turut menyokong usaha pemulihan ekonomi adalah Belanjawan 2021 yang diumumkan pada 6 November yang lepas. Belanjawan ini menyediakan peruntukan terbesar dalam sejarah negara sebanyak 322.5 bilion ringgit.

7. Setiap minggu, saya menegaskan kepada rakan-rakan menteri Kabinet supaya segala inisiatif ini mestilah dilaksanakan dengan segera. Tiada masa untuk bertangguh. Manfaat perlu disalurkan kepada kumpulan sasar dengan kadar segera.

Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI)

8. Kerajaan telah berkali-kali membuktikan bahawa kita tidak akan berkompromi di dalam memastikan kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi. Maka, sukacita saya ingin umumkan pada hari ini, sebuah pakej bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia, atau secara ringkasnya, PERMAI yang bernilai sebanyak 15 bilion ringgit.

9. Secara amnya, pakej bantuan PERMAI menambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan dan juga mempercepatkan pelaksanaan inisiatif yang berkaitan. Sebanyak 22 inisiatif akan dilaksanakan di bawah PERMAI yang berteraskan kepada tiga matlamat utama iaitu:

Pertama: Memerangi Wabak COVID-19;
Kedua: Memelihara Kebajikan Rakyat; dan
Ketiga: Menyokong Kelangsungan Perniagaan.

MATLAMAT PERTAMA: MEMERANGI WABAK COVID-19

10. Di bawah matlamat pertama memerangi wabak COVID-19, Kerajaan telah menyediakan dana tambahan sebanyak 1 bilion ringgit, merangkumi hampir 800 juta ringgit kepada Kementerian Kesihatan, dan selebihnya kepada Majlis Keselamatan Negara dan juga agensi-agensi lain yang terlibat. Penyediaan peruntukan ini menumpukan kepada bekalan antaranya tambahan reagen dan kit saringan, serta peralatan PPE terutama kepada petugas kesihatan.

Inisiatif 1: Melaksanakan Program Vaksinasi COVID-19

11. Sukacita saya mengumumkan bahawa perancangan program vaksinasi kita adalah on-track. Kerajaan telah menandatangani tiga perjanjian dengan syarikat pengeluar vaksin, dan dijangka menerima bekalan vaksin yang pertama pada penghujung bulan Februari nanti. Melalui Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 yang telah ditubuhkan, Kerajaan akan memastikan ketelusan perolehan vaksin dan Program Imunisasi Kebangsaan akan diberi perhatian utama. Sebanyak 3 bilion ringgit telah diperuntukkan khusus bagi perolehan ini.

12. Bagi penetapan mereka yang akan menerima vaksin ini kelak, dalam sedikit masa lagi, garis panduan dan kaedah penentuan bagi individu yang perlu mengambil vaksin ini akan dihebahkan. Realistiknya, program vaksinasi ini dijangka berjalan secara berperingkat sehinggalah tempoh keseluruhannya selama 12 bulan. Ini bermakna, kumpulan pertama yang dijangka menerima vaksin adalah pada awal Mac, dan dapat meliputi lebih daripada 80 peratus atau hampir 27 juta penduduk Malaysia menjelang suku pertama tahun 2022.

13. Saya juga ingin berkongsi bahawa Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam telah memutuskan hukum penggunaan vaksin COVID-19 adalah harus, dan wajib diambil oleh golongan yang ditetapkan. Menentukan kemaslahatan komuniti bagi melindungi manusia daripada dijangkiti penyakit berbahaya bukanlah perkara asing dalam perspektif syarak.

Inisiatif 2: Mengukuhkan Sistem Kesihatan Negara

14. Dalam usaha untuk memerangi wabak COVID-19, seramai 8,000 petugas kesihatan tambahan untuk Kementerian Kesihatan telah diluluskan pada tahun lepas. Mengambil kira situasi semasa, Kerajaan akan menambah lebih daripada 3,500 anggota kesihatan yang mula bertugas pada hujung bulan ini, dengan peruntukan tambahan 150 juta ringgit. Ini terdiri daripada penolong pegawai perubatan, paramedik, juruteknologi makmal dan jururawat. Saya memberi jaminan, sekiranya terdapat keperluan akan datang dan bagi menggerakkan program imunisasi kelak, Kerajaan bersedia menambah pengambilan baharu.

15. Seperti yang telah diumumkan dalam Belanjawan 2021, pemberian one-off sebanyak 500 ringgit kepada semua petugas barisan hadapan kesihatan, dan 300 ringgit kepada petugas barisan hadapan yang lain akan mula dibayar dalam suku tahun pertama tahun ini. Manakala bayaran bulanan sedia ada yang diterima sebanyak 600 ringgit oleh petugas barisan hadapan kesihatan dan 200 ringgit oleh petugas barisan hadapan yang lain akan tetap diteruskan sehingga wabak COVID-19 ini berakhir.

Inisiatif 3: Meningkatkan Kerjasama dengan Hospital Swasta

16. Untuk meneruskan semangat kerjasama antara sektor awam dan swasta dalam memerangi wabak COVID-19, hospital swasta telah bersetuju untuk menerima dan merawat kedua-dua pesakit COVID-19 dan juga bukan COVID-19 bagi meringankan tekanan kepada sistem kesihatan awam. Kerajaan akan memperuntukkan 100 juta ringgit bagi tujuan ini.

Inisiatif 4: Memperkukuh Saringan Kesihatan Pekerja

17. Saya juga memahami kerisauan rakyat mengenai jangkitan COVID-19 dalam kalangan pekerja asing, terutamanya mereka yang bekerja di tapak pembinaan dan kilang. Dengan itu, SOP bagi pembinaan bangunan semasa PKP mensyaratkan syarikat menyediakan penginapan lengkap dan menghadkan pekerjanya ke tapak pembinaan. Selaras itu, majikan disarankan untuk memperketatkan amalan SOP, menambah baik penginapan dan kawalan pergerakan pekerja asing serta meningkatkan saringan bagi menyokong usaha membendung penularan COVID-19.

18. Selain itu, PERKESO turut terlibat dalam pelaksanaan Program Ujian Saringan COVID-19 ke atas pekerja asing yang berdaftar. Kos saringan akan ditanggung sepenuhnya oleh PERKESO di zon-zon merah bagi mengenal pasti kluster COVID-19 di tempat kerja. Dari 1 Disember 2020 hingga 17 Januari 2021, bilangan pekerja asing yang telah menjalani ujian saringan adalah seramai 160,982 orang.

19. Seterusnya, untuk menyokong lebih banyak individu membuat ujian saringan dan pengesanan COVID-19 secara persendirian, skop pelepasan cukai bagi perbelanjaan pemeriksaan kesihatan penuh yang telah dinaikkan daripada 500 kepada 1,000 ringgit seperti diumumkan pada Belanjawan 2021, kini diperluaskan untuk meliputi bayaran ujian pengesanan COVID-19.

MATLAMAT KEDUA: MEMELIHARA KEBAJIKAN RAKYAT

20. Matlamat kedua pakej bantuan PERMAI ialah meneruskan usaha bagi memastikan kelangsungan hidup rakyat berikutan pelaksanaan PKP, terutamanya golongan mudah terjejas dan pekerja yang bergantung kepada upah harian.

Inisiatif 5: Mempercepatkan Bayaran Bantuan Prihatin Rakyat

21. Di bawah pakej KITA PRIHATIN yang diperkenalkan tahun lepas, bayaran fasa terakhir Bantuan Prihatin Nasional, atau BPN 2.0 akan dipercepatkan, iaitu mulai 21 Januari. Sejumlah 11.1 juta penerima akan mendapat bayaran sebanyak 2.38 bilion ringgit.

22. Bagi Bantuan Prihatin Rakyat atau BPR pula, bayaran fasa pertama akan melibatkan lebih daripada 8 juta penerima. Golongan isi rumah berpendapatan sehingga 5 ribu ringgit sebulan akan menerima 300 ratus ringgit, dan bagi kategori bujang berpendapatan sehingga 2 ribu ringgit sebulan pula, mereka akan menerima 150 ringgit.

Inisiatif 6: Memperkukuh Program Kebajikan

23. Di bawah Belanjawan 2021, Kerajaan telah meningkatkan kadar bantuan kebajikan bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berkuat kuasa mulai bulan Januari 2021. Bantuan kebajikan ini melibatkan peruntukan sebanyak 2.2 bilion ringgit dan akan memanfaatkan lebih daripada 400 ribu penerima.

24. JKM juga akan segera melaksanakan Program Bakul Makanan yang merangkumi barang makanan keperluan bernilai 100 ringgit bagi setiap isi rumah yang layak, dengan jumlah peruntukan sebanyak 50 juta ringgit.

25. Selain itu, bagi memastikan kebajikan kumpulan rentan terus terpelihara, Kerajaan akan memperuntukkan 25 juta ringgit di bawah program GLIC/GLC Disaster Relief Network sebagai geran padanan bersama syarikat berkaitan Kerajaan bagi inisiatif sosial. Ini termasuklah pemberian bantuan komuniti termasuk masyarakat warga emas, gelandangan, OKU dan mangsa banjir.

26. Sebagai tanda penghargaan kepada usaha murni rakyat yang ingin bersama-sama menyalurkan sumbangan bagi mengekang penularan wabak COVID-19, Kerajaan telah mengumumkan beberapa insentif dalam bentuk potongan cukai kepada penderma yang menyumbang wang tunai ataupun barangan serta membantu rakyat yang terkesan dengan wabak tersebut. Penyumbang tersebut layak menuntut potongan cukai daripada pendapatan kasar perniagaan atau pendapatan agregat mereka.

Inisiatif 7: Meneruskan Tempoh Moratorium dan Pengurangan Ansuran Pinjaman

Saudara saudari yang saya kasihi sekalian,

27. Semasa tempoh pelaksanaan PKP ini, saya ingin menekankan bahawa bantuan moratorium dan pengurangan bayaran balik pinjaman akan terus disediakan. Moratorium, termasuk lanjutan moratorium, dan pengurangan ansuran pinjaman akan ditawarkan oleh bank-bank, seperti yang diumumkan sebelum ini. Bagi negeri-negeri yang dilanda banjir, 15 buah bank juga telah pun menawarkan moratorium bayaran balik pinjaman.

28. Setakat ini, lebih 1.3 juta peminjam telah memohon dan menerima bantuan pembayaran, dengan kadar kelulusan sebanyak 95 peratus bagi peminjam individu dan 99 peratus bagi peminjam PKS. Ini membuktikan bahawa rakyat tidak perlu bimbang untuk menghubungi bank jika mereka memerlukan fleksibiliti pembayaran.

29. Bagi peminjam yang menghadapi kesukaran berurusan dengan bank mereka, Bank Negara Malaysia serta Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit, atau AKPK, bersedia untuk membantu dan memberi khidmat nasihat kepada anda melalui telefon atau secara dalam talian.

Inisiatif 8: Menambah baik Program i-Sinar KWSP

30. Untuk makluman semua, kemudahan i-Sinar telah dibuka kepada semua ahli KWSP yang terjejas pendapatan akibat COVID-19 bermula 21 Disember yang lepas. Setakat 13 Januari, lebih 3 juta permohonan telah diluluskan dengan jumlah 24 bilion ringgit akan disalurkan pada tahun ini. Bagi menambah baik kemudahan i-Sinar, terutamanya bagi mereka yang menghadapi pelbagai cabaran akibat PKP serta bencana banjir, Kerajaan telah dimaklumkan bahawa KWSP akan membuat pembayaran pendahuluan sehingga 1,000 ringgit bagi permohonan kemudahan i-Sinar Kategori 2.

31. Proses pembayaran pendahuluan i-Sinar Kategori 2 juga dipermudahkan kerana ahli hanya perlu mengisytiharkan secara kendiri bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan dan menghantar dokumen sokongan secara dalam talian. Kerajaan juga telah meminta KWSP memudahkan proses pembayaran pendahuluan ini, yang akan dibuat mulai 26 Januari. Maklumat lanjut akan diumumkan oleh KWSP dalam masa terdekat.

Inisiatif 9: Melanjutkan Tempoh Pelepasan Cukai Khas Ke Atas Pembelian Telefon Bimbit, Komputer dan Tablet

32. Kerajaan juga telah melihat bahawa pelbagai insentif dan pelepasan cukai telah berjaya merangsang ekonomi di dalam beberapa sektor. Selaras dengan keperluan norma baharu yang banyak bergantung kepada penggunaan alat digital, suka saya berkongsi bahawa pelepasan cukai khas sehingga 2,500 ringgit ke atas pembelian telefon bimbit, komputer dan tablet yang telah berakhir pada 31 Disember 2020 akan dilanjutkan setahun lagi sehingga 31 Disember 2021.

Inisiatif 10: Melanjutkan Tempoh Capaian Internet Percuma

33. Industri telekomunikasi bersedia memberi bantuan dalam tempoh PKP ini. Pemberian data 1 Gigabit secara percuma telah diberi kepada orang ramai untuk melayari laman web, termasuklah untuk tujuan pendidikan. Kemudahan yang bernilai 500 juta ringgit ini telah bermula pada 1 Januari 2021 dan akan dilanjutkan sehingga hujung April 2021.

34. Selain itu, pakej langganan khas untuk pelajar yang menduduki peperiksaan SPM dan STPM akan diperluaskan kepada pelajar institusi pengajian tinggi. Pakej ini juga akan disediakan sehingga hujung April 2021. Kerajaan berharap kedua-dua usaha industri telekomunikasi tersebut akan dapat meringankan beban pengguna.

Inisiatif 11: Melanjutkan Tempoh Pengecualian Cukai Jualan ke atas Kenderaan Penumpang

35. Bagi merancakkan semula jualan kenderaan penumpang yang terjejas akibat daripada wabak COVID-19, sebagai sebahagian daripada inisiatif pakej PENJANA, Kerajaan telah mengumumkan pengecualian cukai jualan ke atas kenderaan penumpang jenis pemasangan tempatan dan import siap sehingga 31 Disember 2020. Kerajaan telah mengumumkan pelanjutan pengecualian ini sehingga 30 Jun 2021. Saya berharap langkah ini akan terus memacu momentum perkembangan sektor automotif.

Inisiatif 12: Melanjutkan Tempoh Moratorium bagi Peminjam PTPTN

36. Bagi peminjam PTPTN yang terjejas akibat wabak COVID-19 dan bencana banjir, mereka boleh memohon moratorium bayaran balik pinjaman PTPTN selama tiga bulan. Permohonan penangguhan boleh dibuat sehingga 31 Mac 2021.

MATLAMAT KETIGA: MENYOKONG KELANGSUNGAN PERNIAGAAN

Saudara-saudari rakyat Malaysia yang dikasihi,

37. Bagi Matlamat Ketiga iaitu Menyokong Kelangsungan Perniagaan, Kerajaan memahami sepanjang tempoh PKP, semua jenis perniagaan menghadapi pelbagai cabaran termasuk kesukaran dalam menguruskan aliran tunai, perbelanjaan utiliti dan sewa premis. Sehubungan itu, Kerajaan akan berusaha mengurangkan beban yang ditanggung oleh sektor perniagaan menerusi beberapa langkah.

Inisiatif 13: Menambah baik Program Subsidi Upah

38. Kerajaan mendapat maklumbalas antara inisiatif yang telah disambut baik oleh pekerja dan majikan adalah Program Subsidi Upah. Sukacita Kerajaan mengumumkan Program Subsidi Upah 3.0 di bawah PERKESO akan ditambah baik, di mana semua majikan yang beroperasi dalam PKP layak untuk memohon, tanpa mengambil kira sektor. Untuk tempoh satu bulan, majikan yang layak akan menerima subsidi upah berjumlah 600 ringgit bagi setiap pekerja mereka yang bergaji kurang dari 4,000 ringgit. Selain itu, had 200 pekerja bagi setiap permohonan akan ditingkatkan kepada 500 pekerja. Inisiatif ini melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 1 bilion ringgit yang dianggar akan memanfaatkan 250 ribu majikan yang menggaji lebih daripada 2.6 juta pekerja.

39. Bagi mereka yang kehilangan pekerjaan dalam tempoh pelaksanaan PKP, Kerajaan bersetuju untuk melonggarkan syarat permohonan bagi program Sistem Insurans Pekerjaan atau SIP PRIHATIN. Pekerja yang tidak memenuhi caruman minimum, ataupun tidak dilanjutkan kontrak perkhidmatan setelah pembaharuan dibuat sekurang-kurangnya 3 kali, sekarang dibenarkan untuk memohon bantuan kewangan SIP PRIHATIN sebanyak 30 peratus daripada gaji mereka selama 3 bulan.

40. Kerajaan menghargai sumbangan delivery riders yang menjadi barisan sokongan dalam penghantaran barangan dan makanan semasa tempoh kawalan pergerakan. Sehubungan itu, sejumlah 24 juta ringgit telah diperuntukkan oleh Kerajaan bagi membiayai caruman penuh mereka di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri PERKESO. Setakat ini, hampir 32 ribu permohonan daripada delivery riders telah diterima untuk perlindungan skim berkenaan.

Inisiatif 14: Meneruskan Geran Khas Prihatin

41. Semasa Belanjawan 2021, Kerajaan telahpun mengumumkan bantuan kewangan sebanyak 1,000 ringgit melalui Geran Khas Prihatin Tambahan, atau GKP Tambahan yang diberikan kepada peniaga dan penjaja di Sabah.

42. Sehubungan itu, sukacita ingin saya maklumkan bahawa Kerajaan akan memperluaskan bantuan GKP Tambahan ini kepada 500 ribu PKS di tujuh negeri PKP dengan bayaran 1,000 ringgit, manakala 300 ribu PKS di negeri yang lain akan menerima 500 ringgit. Perluasan inisiatif GKP Tambahan ini, atau GKP PERMAI, melibatkan peruntukan tambahan sebanyak 650 juta ringgit. Namun demikian, sekiranya terdapat negeri yang berubah menjadi zon merah dan diisytiharkan PKP, Kerajaan sedia membantu dengan menyalurkan bantuan tambahan kepada PKS di negeri tersebut dengan serta merta.

Inisiatif 15: Menyediakan Bantuan Kewangan One-Off kepada Pemandu Teksi dan Bas

43. Bagi meringankan beban khususnya pemandu teksi dan bas, Kerajaan bersetuju menyediakan bantuan kewangan one-off sebanyak 500 ringgit kepada 14 ribu pemandu pelancong serta 118 ribu pemandu teksi, bas sekolah, bas persiaran, kereta sewa dan e-hailing dengan peruntukan tambahan sebanyak 66 juta ringgit.

44. Selain itu, Kerajaan kini memberi layanan pengecualian duti eksais dan cukai jualan bagi tujuan pindah milik, pelupusan dan kegunaan persendirian teksi dengan syarat kenderaan dimiliki selama tujuh tahun. Sukacita dimaklumkan, bahawa syarat ini dilonggarkan kepada lima tahun, mulai 1 Januari hingga 31 Disember 2021.

Inisiatif 16: Mempercepatkan Pelaksanaan Skim Mikrokredit

45. Bagi membantu aliran tunai perusahaan mikro dan PKS, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan skim-skim mikrokredit, sepertimana yang pernah diumumkan sebelum ini. Sejumlah 1 bilion ringgit kemudahan mikrokredit disediakan yang merangkumi pinjaman mudah berjumlah 390 juta ringgit oleh Bank Simpanan Nasional, 350 juta ringgit oleh Agrobank dan 295 juta ringgit oleh TEKUN.

Inisiatif 17: Menyokong dan Merancakkan Perniagaan Dalam Talian

46. Bagi terus menyokong golongan usahawan dan perniagaan untuk menjana pendapatan melalui jualan dalam talian atau platform e-dagang, Kerajaan akan mempercepatkan pelaksanaan Kempen e-Dagang PKS dan PKS Mikro dan kempen Shop Malaysia Online dengan jumlah peruntukan 300 juta ringgit. Melalui kempen tersebut, usahawan mikro akan mendapat bimbingan perniagaan dan pembeli akan menikmati penjimatan melalui jual-beli secara dalam talian.

Inisiatif 18: Menambah Baik Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin

47. Di bawah PENJANA, Kerajaan telah mengumumkan Skim Jaminan PRIHATIN Danajamin, atau SJPD yang berjumlah 50 bilion ringgit, bagi menyokong sektor swasta untuk terus berkembang dan merancakkan ekonomi negara. Sebagai langkah penambahbaikan, Kerajaan akan:

Pertama: Meningkatkan pembiayaan maksimum dari 500 juta kepada 1 bilion ringgit;

Kedua: Memperluaskan skop pembiayaan kepada perbelanjaan modal dengan tempoh jaminan sehingga 10 tahun; dan

Ketiga: Membenarkan syarikat milik asing yang beroperasi di Malaysia untuk mendapat jaminan SJPD dengan syarat jumlah pekerja tempatan mereka adalah sekurang-kurangnya 75 peratus. Kerajaan berharap agar penambahbaikan SJPD ini akan dapat menjana pertumbuhan sektor swasta dan juga mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan pelaburan.

Inisiatif 19: Menjadual Semula dan Melanjutkan Tempoh Moratorium bagi Pinjaman MARA dan Sewaan Premis MARA

48. Bagi peminjam MARA, MARA akan meneruskan program MARA PRIHATIN Peace of Mind 2.0, di mana peminjam boleh memohon untuk membuat penjadualan semula bayaran balik kemudahan pinjaman pelajaran MARA atau moratorium pinjaman sehingga 31 Mac 2021. Sebagai tambahan, usahawan MARA yang terkesan akibat COVID-19, PKP dan bencana banjir boleh membuat Program Penjadualan Semula Pembiayaan Perniagaan MARA. Selain itu, bagi penyewaan premis perniagaan, MARA telah bersetuju untuk memberi diskaun 30 peratus bagi tempoh enam bulan mulai November 2020 hingga April 2021. Saya juga menyarankan lebih banyak agensi dan syarikat untuk turut menawarkan penjadualan semula pinjaman dan diskaun sewa premis perniagaan.

49. Bagi mengurangkan bebanan PKS, Kerajaan telah memberi potongan cukai khas kepada syarikat yang memberi pengurangan sewa premis perniagaan sekurang-kurangnya 30 peratus mulai 1 April 2020 hingga 31 Mac 2021. Berdasarkan kepada keadaan ekonomi semasa, potongan khas ini akan diperluaskan untuk meliputi pengurangan sewaan yang diberi kepada syarikat bukan PKS. Tempoh potongan khas ini juga akan dilanjutkan sehingga 30 Jun 2021. Selain itu, Pembangunan Sumber Manusia Berhad akan mengecualikan levi majikan bagi syarikat yang tidak dapat beroperasi semasa tempoh PKP dan PKPB.

Inisiatif 20: Meneruskan Pemberian Diskaun Bil Elektrik

50. Selanjutnya, Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan diskaun khas bil elektrik sebanyak 10 peratus bagi tempoh Januari hingga Mac 2021 kepada enam sektor perniagaan di seluruh negara. Ini meliputi pengendali hotel, taman tema, pusat konvensyen, pusat beli-belah, pejabat syarikat penerbangan tempatan serta agensi pengembaraan dan pelancongan.

51. Di samping itu, rebat elektrik diberikan kepada semua pengguna TNB, domestik dan bukan domestik, pada kadar 2 sen setiap kilowatt per jam, iaitu bersamaan penurunan bil elektrik sehingga 9 peratus bagi tempoh 6 bulan mulai 1 Januari hingga 30 Jun 2021.

Inisiatif 21: Memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi

52. Syarikat Jaminan Pinjaman Perniagaan akan memperkenalkan Skim Rehabilitasi Sewa Beli Bas dan Teksi. Di bawah skim ini, 50 peratus jaminan ke atas pinjaman akan disediakan bagi bas terpilih seperti bas persiaran dan teksi daripada syarikat sewa beli dan pajakan. Dengan itu, pengusaha bas dan teksi dapat menstruktur semula pinjaman mereka serta menikmati moratorium selama 12 bulan dan pembayaran balik bulanan yang lebih rendah. Jaminan sebanyak 1 bilion ringgit akan disediakan untuk tujuan ini.

Inisiatif 22: Menambahbaik Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 2020

53. Pada tahun lepas, Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit COVID-19 2020, atau Akta 829, telah digubal untuk membantu individu dan perniagaan yang terkesan dari aspek ekonomi akibat wabak ini. Akta tersebut telah berkuat kuasa mulai 23 Oktober 2020.

54. Tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual telah tamat pada 31 Disember 2020. Justeru, melihat kepada situasi semasa dan selaras dengan pengumuman PKP, Kerajaan bersetuju melanjutkan tempoh kuat kuasa ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontraktual kepada 31 Mac 2021. Ini meliputi perjanjian sewa beli atau kontrak pajakan dan kontrak jualan kredit untuk memanfaatkan golongan yang terjejas seperti golongan B40, M40 dan perusahaan mikro kerana gagal memenuhi obligasi kontrak mereka.

55. Untuk memudahkan rakyat mendapat akses kepada maklumat mengenai semua inisiatif dan bantuan yang telah tersedia, saudara-saudari bolehlah melayari Portal Manfaat Belanjawan 2021 mulai hari ini, di alamat http://belanjawan2021.treasury.gov.my/manfaat

IMPAK PELAKSANAAN PKP KE ATAS EKONOMI DAN KEDUDUKAN FISKAL KERAJAAN PERSEKUTUAN

56. Sebelum ini, kita telah menyaksikan kesan pelaksanaan PKP ke atas pertumbuhan ekonomi, di mana KDNK suku tahun kedua 2020 mencatat kemerosotan yang sangat ketara dan kadar pengangguran juga telah meningkat. Alhamdulillah, dengan pelaksanaan pakej-pakej rangsangan ekonomi, kita berjaya mencapai kadar penguncupan KDNK yang lebih kecil, iaitu daripada 17.1 kepada 2.7 peratus, dan penurunan kadar pengangguran daripada 5.1 kepada 4.7 peratus, daripada suku kedua kepada suku ketiga 2020.

57. Kerajaan tidak menjangkakan impak yang sama seperti suku kedua 2020 akan dialami dengan pelaksanaan PKP pada kali ini memandangkan lebih banyak aktiviti ekonomi dibenarkan untuk beroperasi. Oleh itu, impak PKP semasa ke atas ekonomi masih terkawal. Pertumbuhan akan terus disokong oleh sektor eksport yang memberangsangkan dengan pemulihan perdagangan dunia. Pakej rangsangan ekonomi, Belanjawan 2021 dan pakej bantuan PERMAI juga akan terus merancakkan penggunaan. Seterusnya, projek dan program yang berimpak tinggi dan mempunyai kesan pengganda yang besar akan terus memacu momentum pemulihan ekonomi.

58. Kerajaan juga sedar pelaksanaan PKP yang disusuli dengan Proklamasi Darurat yang berkuat kuasa di negara ini mulai 11 Januari hingga 1 Ogos 2021 mungkin menimbulkan sedikit kegusaran dalam kalangan masyarakat serta komuniti perniagaan. Ingin saya tegaskan sekali lagi, bahawa pengisytiharan darurat ini semata-mata bertujuan mengekang penularan wabak COVID-19 yang kini menjadi ancaman terbesar terhadap pembangunan sosioekonomi negara. Kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan impak daripada langkah tersebut ke atas persekitaran ekonomi negara adalah terkawal. Malah kita telah melihat bahawa sejak 11 Januari 2021, pasaran modal seperti Bursa Malaysia dan pasaran bon kekal stabil dan teratur.

59. Bagi membiayai pakej bantuan PERMAI, Kerajaan akan membuat penjajaran semula peruntukan sedia ada berdasarkan keutamaan semasa dan melalui perbelanjaan yang lebih berhemat. Kerajaan juga akan memastikan segala program yang diumumkan akan dilaksanakan dengan cepat dan lancar.

PENUTUP

Saudara-saudari yang dikasihi,

60. Dalam masa kita menghadapi wabak COVID-19, negara kita juga diuji dengan bencana banjir. Di kesempatan ini, patik amat menjunjung kasih atas keprihatinan dan perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kerana turut mencemar duli dalam meredah banjir, serta terlibat dalam misi bantuan kepada mangsa-mangsa banjir di pusat penempatan sementara, dan juga kampung-kampung sekitar Pahang baru-baru ini.

61. Saya telah mengarahkan agensi Kerajaan yang berkaitan, untuk menyegerakan segala bentuk bantuan bagi membaik pulih kerosakan infrastruktur kecil, rumah mangsa banjir serta membantu meringankan beban rakyat akibat bencana alam itu baru-baru ini. Kerajaan juga bersetuju menyediakan peruntukan awal sebanyak 200 juta ringgit. Di samping itu, sebanyak 50 juta ringgit telah disalurkan kepada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara di bawah NADMA bagi perbelanjaan operasi bencana semasa tempoh Monsun Timur Laut.

62. Saya berharap saudara-saudari dapat terus kekal tenang di rumah masing-masing, dan jika ada yang perlu hadir bertugas di pejabat, patuhilah SOP agar kekal selamat.

63. Buat seluruh rakyat Malaysia, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kerana memahami dan terus menyokong usaha Kerajaan. Juga tidak ketinggalan penghargaan saya kepada semua pihak yang telah turut membantu menangani wabak COVID-19 dan bencana banjir. Ini termasuklah sektor korporat, pihak NGO dan sukarelawan yang tidak mengenal penat lelah berganding bahu dalam mendepani cabaran ini.

64. Saya menaruh penuh kepercayaan, walaupun kita menghadapi 1,001 masalah, namun kita juga mampu mengilhamkan 1,001 penyelesaian. Sebagai insan, kita boleh terus merancang dan melakukan yang terbaik, dan selebihnya kita perlu berdoa dan bertawakkal kepada Tuhan yang Maha Esa. Berkat ilham dan kudrat yang dikurniakan, kita semua mampu membentuk kehidupan yang lebih baik. I believe the resourcefulness, tenacity and resilience inherent in our true Malaysian spirit will serve us well in facing this great adversity. We will prevail, insha-Allah.

Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh

YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
12 Januari 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan