Mesyuarat Kabinet berlangsung secara digital

PUTRAJAYA, 6 Jan — Mesyuarat Kabinet pertama tahun ini berlangsung sepenuhnya secara digital hari ini.

Perkara itu dikongsi Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin dalam catatan masing-masing di media sosial.

“Mesyuarat Jemaah Menteri yang pertama bagi tahun 2021 buat pertama kalinya diadakan secara digital sepenuhnya,” kata Mohd Zuki, yang turut menyertakan gambar suasana mesyuarat berlangsung bersama peranti elektronik.

Mohd Zuki berkata inisiatif itu secara langsung menyokong agenda pembangunan lestari sebagaimana yang digariskan menerusi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Khairy dalam ciapannya berkata Kabinet Malaysia akhirnya, dijalankan tanpa kertas sepenuhnya hari ini.

Khairy berkata: “Selepas peralihan selama enam bulan dengan kami masih menerima kotak kertas fizikal setiap minggu, hari ini sudah tidak ada. Segala-galanya di pelayan (server) selamat yang dapat diakses oleh peranti kami. Lebih baik lewat daripada tidak pernah!”

Menurut Mohd Zuki, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang mempengerusikan mesyuarat Kabinet hari ini, menekankan kerajaan perlu menitikberatkan peningkatan kualiti kesihatan awam, pengukuhan ekonomi negara melalui pelaksanaan Belanjawan 2021, kestabilan politik, keharmonian antara kaum dan kedaulatan negara sentiasa dipelihara.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan