Memori manis terpahat disapa PM Muhyiddin

KOTA TINGGI, 5 Jan — Keceriaan terpancar pada wajah mangsa-mangsa banjir ketika menerima lawatan pemimpin nombor satu negara Tan Sri Muhyiddin Yassin di dua pusat pemindahan di sini, terutama di kala mereka kesedihan akibat kediaman ditenggelami air.

Bagi mereka, bertemu Perdana Menteri secara peribadi, yang sebelum ini hanya dilihat di televisyen, merupakan satu memori manis yang tidak akan dilupa sampai bila-bila.

Seorang mangsa banjir dari Taman Aman, Mohd Azizie Kassim, 45, berterima kasih atas keprihatinan Muhyiddin melawat mereka dan menyifatkan ia sebagai satu pengalaman manis kerana pertama kali bertemu Perdana Menteri.

“Saya tidak sangka menerima sapaan daripada ‘Abah’ hari ini, biasanya hanya lihat beliau di televisyen,” katanya yang merupakan Pembantu Kesihatan Awam di Pejabat Kesihatan Kota Tinggi.

Mohd Azizie berkata dia mula berpindah ke pusat pemindahan Sekolah Kebangsaan (SK) Laksamana sejak Sabtu lepas bersama isteri Suhaila Abd Karim, 44, serta dua anak lelaki berusia 20-an.

Menurut Mohd Azizie seorang lagi anak lelakinya berusia 19 tahun yang dikategorikan sebagai orang kurang upaya (OKU) akibat cerebral palsy, bagaimanapun kini menumpang di rumah saudara di Taman Kota Kechil, di sini.

Sementara itu, K. Madhavi, 73, mengakui lawatan Perdana Menteri sedikit sebanyak mengubati kesedihannya mengharungi bencana alam ini kerana Muhyiddin turut meluangkan masa berbual dengannya.

“PM bertanyakan adakah saya sihat, jumlah ahli keluarga yang terjejas dan adakah sudah menerima bantuan segera daripada pihak berwajib seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat.

“Keprihatinan beliau ini sudah cukup bagus untuk saya yang sedih mengenangkan rumah dilanda banjir, tambah pula ini merupakan kali pertama saya berjumpa dengannya,” kata warga emas itu.

Menurut Madhavi yang kematian suami pada 2012, banjir kali ini mencabar kerana dia tinggal berseorangan di Taman Aman kerana empat anaknya tinggal berasingan di beberapa daerah di negeri ini.

Bagi Norazinal Mohd Nor, 39, keterujaannya bertemu Perdana Menteri membuatkan dia terlupa untuk merakamkan detik-detik berkenaan.

“Sangat berdebar, dari tadi menunggu ketibaan beliau (PM). Nak jumpa betul-betul berdepan, akhirnya dapat berjumpa. Alhamdulillah,” katanya.

Menurutnya, Muhyiddin bertanyakan khabar ahli keluarga dan sempat bertanya anak lelakinya, Iskandar, yang berusia enam tahun mengenai persiapan persekolahan dan sama ada makanan yang disediakan di situ sedap.

Terdahulu, Perdana Menteri sempat meluangkan masa kira-kira sejam melawat mangsa banjir di pusat pemindahan di Kolej Vokasional Kota Tinggi dan SK Laksamana, di sini.

Kota Tinggi kekal daerah yang mempunyai mangsa banjir tertinggi di Johor dengan 2,707 mangsa setakat 12 tengah hari tadi.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan