Kesan pandemik COVID-19 antara Isu dalam mesyuarat pertama MKB – PM

KUALA LUMPUR, 26 Jan — Kesan besar pandemik COVID-19 terhadap ekonomi negara yang turut melibatkan perniagaan Bumiputera merupakan antara perkara yang dibangkitkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mesyuarat pertama Majlis Kemakmuran Bumiputera (MKB) hari ini.

Menerusi mesyuarat yang diadakan secara persidangan video dari pejabatnya di Bangunan Perdana Putra di Putrajaya itu, Muhyiddin turut menegaskan bahawa tindakan intervensi strategik amat diperlukan bagi membantu golongan Bumiputera meraih peluang ekonomi dalam sektor berdaya maju dan mempunyai nilai tambah yang tinggi.

“Insya-Allah, mereka yang diberikan amanah dalam MKB, Jawatankuasa Pemandu MKB (JPMKB) dan Jawatankuasa Kerja MKB (JPMKB) mampu mencetuskan idea bernas untuk membolehkan tindakan intervensi yang strategik dan tepat diambil demi memastikan ekonomi Bumiputera terus berdaya tahan dan berdaya saing,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya, hari ini.

MKB merupakan platform untuk kerajaan memperkasakan sosioekonomi Bumiputera dengan sasaran lonjakan pembangunan keusahawanan berganda di pelbagai peringkat dengan usaha itu akan diterajui Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) selaku agensi penyelaras utamanya.

Mesyuarat juga mengesahkan penubuhan MKB dari segi keahlian serta terma rujukan.

Terdahulu menerusi hantaran sama, Muhyiddin memaklumkan turut diperakukan dalam mesyuarat berkenaan ialah penubuhan JPMKB dan JKMKB yang masing-masing akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dan Ketua Eksekutif Teraju Md Silmi Abd Rahman.

Beliau berkata MKB dianggotai 17 menteri Kabinet di samping tokoh Bumiputera dalam pelbagai sektor perniagaan, ekonomi dan pendidikan antaranya Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Tan Sri Azman Mokhtar, Datuk Dr Mohd Karim Abdullah, Tan Sri Dr Rafiah Salim, Datuk Azrin Mohd Noor dan Kamarul Azman Muhamed.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan