Kenyataan Media: Malaysia Dan Australia Tingkatkan Hubungan Dua Hala ke Peringkat Rakan Kerjasama Komprehensif-Strategik

PMO
KENYATAAN MEDIA

 

MALAYSIA DAN AUSTRALIA TINGKATKAN HUBUNGAN DUA HALA KE PERINGKAT RAKAN KERJASAMA KOMPREHENSIF-STRATEGIK

 

YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Scott John Morrison, Perdana Menteri Australia, telah merasmikan Rakan Kerjasama Komprehensif-Strategik (Comprehensive Strategik Partnership – CSP) semasa mesyuarat tahunan pertama antara kedua-duanya melalui persidangan video pada hari ini.

Peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan Australia ini amat signifikan dan bersejarah kerana telah mempamerkan satu lagi pencapaian dalam konteks hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara. Ia mencerminkan komitmen tinggi kedua- dua pihak untuk mengembangkan lagi hubungan sedia ada yang kukuh dalam pelbagai aspek kerjasama hubungan dua hala dan pelbagai hala.

Dalam hal ini, kedua-dua Perdana Menteri telah meluluskan Pelan Tindakan yang menggariskan inisiatif-inisiatif kukuh di bawah tiga elemen utama CSP iaitu, Kesejahteraan Ekonomi; Masyarakat dan Teknologi; serta Kerjasama Pertahanan dan Keselamatan Serantau. Kedua-dua pemimpin turut menerima pakai satu Kenyataan Bersama bagi mesyuarat tersebut.

Selain mengukuhkan kerjasama sedia ada, CSP ini turut memberi peluang kepada Malaysia dan Australia untuk menjalin kolaborasi dalam pelbagai bidang baharu,

antaranya, ekonomi digital; pertanian dan sekuriti makanan; pengurusan bencana dan kesihatan awam; kesihatan mental; sains, teknologi dan inovasi (STI); alam sekitar; dan pemerkasaan belia.

Khusus berkenaan isu pandemik COVID-19, kedua-dua pemimpin telah bersetuju agar Malaysia dan Australia mengambil beberapa langkah berkesan untuk menangani pandemik tersebut serta mengurangkan impak negatif COVID-19. Antara yang dicadangkan adalah menjalinkan kerjasama dalam program vaksinasi COVID-19, memastikan pasaran kekal terbuka dan rantaian bekalan global berfungsi dengan baik bagi menyokong usaha pemulihan ekonomi dan kehidupan masyarakat, serta kerjasama dalam pengurusan rentas sempadan.

Pengumuman CSP antara Malaysia dan Australia pada hari ini adalah tepat pada masanya, sejajar dengan usaha berterusan oleh kedua-dua negara dalam berhadapan dengan situasi serantau dan global yang semakin kompleks dan rumit, termasuk situasi pandemik COVID-19. CSP ini membolehkan kedua-dua negara meneroka landskap kerjasama baharu dan sekaligus bergerak maju ke hadapan.

Malaysia dan Australia merupakan rakan kerjasama yang akrab. Hubungan antara kedua-dua negara telah terjalin sebelum Kemerdekaan Malaysia. Australia telah menubuhkan Suruhanjaya di Kuala Lumpur pada tahun 1955, manakala Tanah Melayu pada ketika itu telah menubuhkan Suruhanjaya Persekutuan Tanah Melayu di Canberra pada tahun 1956. Seterusnya, pada tahun 2015, Putrajaya dan Canberra telah meningkatkan hubungan dua hala ke Peringkat Rakan Kerjasama Strategik.

Kedua-dua negara sentiasa bekerjasama di pelbagai platform serantau dan antarabangsa, termasuk melalui Kerjasama Dialog ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Asia Timur, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Forum Kepulauan Pasifik, Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.


PEJABAT PERDANA MENTERI
PUTRAJAYA
27 JANUARI 2021

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan