Jawatankuasa teknikal ditubuh pastikan pengurusan darurat berjalan lancar – PM

KUALA LUMPUR, 16 Jan — Kerajaan hari ini bersetuju untuk menubuhkan sebuah Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Darurat, bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara berjalan lancar, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata jawatankuasa berkenaan akan dipengerusikan bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Muhyiddin berkata penubuhan jawatankuasa berkenaan diputuskan pada Sidang Darurat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dipengerusikannya hari ini, secara sidang video bersama Menteri-menteri Besar dan Ketua-ketua Menteri.

“Jawatankuasa teknikal ini antara lain akan bertanggungjawab untuk memantau isu-isu berkaitan pelaksanaan dan pengurusan darurat.

“Ia juga berfungsi untuk meneliti dan mengkaji isu-isu berbangkit berkaitan darurat dan mengesyorkan cadangan penyelesaian,” katanya dalam hantaran di laman Facebooknya hari ini.

Muhyiddin menegaskan jawatankuasa itu juga berperanan menyelaras pengurusan darurat bersama pihak yang berkaitan di peringkat persekutuan dan negeri, selain mengetuai pemantauan dan naziran penguatkuasaan undang-undang berkaitan darurat di semua peringkat.

Perdana menteri berkata jawatankuasa itu juga akan dianggotai lapan ahli tetap terdiri daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Peguam Negara, Panglima Angkatan Tentera, Ketua Polis Negara, Ketua Pengarah Kesihatan, Ketua Pengarah Keselamatan Negara dan Ketua Kluster.

“Insya-Allah, saya berharap agar jawatankuasa yang ditubuhkan ini akan mendapat kerjasama dan sokongan di semua peringkat, bagi memastikan pengurusan darurat di seluruh negara dapat dilakukan dengan berkesan,” katanya.

Sidang video tersebut berlangsung di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya dengan setiap ahli mesyuarat diasingkan di beberapa bilik di tingkat berlainan di bangunan berkenaan.

Sidang Darurat bersama Menteri Besar dan Ketua Menteri itu adalah yang pertama diadakan, selepas Pengisytiharan Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bagi membincangkan hala tuju pengurusan darurat di peringkat Persekutuan dan Negeri.

Pada 12 Jan, Al-Sultan Abdullah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri