Darurat: Sebarang bentuk pilihan raya tidak akan diadakan – PM Muhyiddin

KUALA LUMPUR, 12 Jan — Pilihan Raya Umum (PRU), Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) tidak akan diadakan sepanjang tempoh darurat yang dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata beliau tidak berniat untuk tidak mengadakan pilihan raya, namun perkara utama yang menghalang beliau daripada menasihati Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Parlimen untuk pilihan raya diadakan ialah pandemik COVID-19.

“Keputusan ini adalah selaras dengan satu daripada lima prinsip maqasid syariah iaitu menjaga nyawa. Dalam konteks ini adalah menjadi kewajiban saya sebagai ketua kerajaan untuk menjaga nyawa rakyat dengan melindungi saudara daripada jangkitan COVID-19.

“Ini adalah kemaslahan paling utama yang dituntut agama Islam,” katanya dalam perutusan khas darurat yang disiarkan secara langsung menerusi stesen televisyen tempatan hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin memberi komitmen tegas bahawa pilihan raya akan diadakan sebaik sahaja Jawatankuasa Khas Bebas memperakukan bahawa wabak COVID-19 telah reda atau pulih sepenuhnya dan pilihan raya selamat untuk diadakan.

“Dalam keadaan biasa, pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas kerusi disytiharkan kosong, pilihan raya negeri juga mesti diadakan dalam tempoh 60 hari selepas Dewan Undangan Negeri dibubarkan

“Sedangkan kita tahu rakyat pada masa ini tidak mahu pilihan raya diadakan untuk mengelakkan wabak COVID-19 merebak seperti PRN Sabah baru-baru ini ,” katanya.

Muhyiddin berkata selepas Jawatankuasa Khas Bebas yang akan ditubuhkan kelak memperakukan bahawa pilihan raya telah selamat diadakan, terpulanglah kepada rakyat untuk memilih kerajaan mana yang layak mentadbir negara dan menjaga kebajikan rakyat.

“Ini adalah komitmen dan aku janji yang akan saya tunaikan, insya-Allah,” katanya.

Menurutnya, dalam keadaan negara dan rakyat sedang menghadapi satu mudarat besar, adalah amat penting semua ahli politik mengenepikan perbezaan masing-masing dan bersolidariti bersama rakyat.

“Bila tiba masa untuk berpolitik, maka berpolitiklah dengan penuh bertanggungjawab.,” katanya.

Sementara itu, Muhyiddin juga berkata, sepanjang tempoh pelaksanaan darurat, Parlimen dan Dewan Undangan Negeri tidak akan bersidang sehingga suatu masa yang ditetapkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memberi perkenan Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sehingga 1 Ogos depan sebagai langkah proaktif membendung wabak COVID-19 di Malaysia.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri