Ucapan di Majlis Pelancaran Dasar Pelancongan Negara 2020 – 2030

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD. YASSIN PERDANA MENTERI MALAYSIA

MAJLIS PELANCARAN
DASAR PELANCONGAN NEGARA (DPN) 2020-2030


Bismillahirahmanirrahim.
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Yang Berhormat Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya,

Yang Berbahagia Dato’ Dr. Noor Zari bin Hamat, Ketua Setiausaha, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,

Para penggiat industri pelancongan negara yang saya hormati,

Serta seluruh tenaga kerja Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya yang saya kasihi.

Apa khabar semua? Saya doakan saudara dan saudari sihat walafiat sentiasa.

1. Alhamdulillah, marilah kita merafakkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT yang telah mengizinkan kita untuk bersama-sama menjayakan Majlis Pelancaran Dasar Pelancongan Negara, iaitu DPN 2020 – 2030 pada hari ini.

2. Kita semua sedia maklum bahawa industri pelancongan merupakan antara penyumbang penting kepada pertumbuhan ekonomi negara. Pada tahun 2019, industri pelancongan telah merekodkan sumbangan 15.9 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dengan nilai RM240.2 bilion. Manakala, guna tenaga dalam industri pelancongan mencatatkan 3.6 juta orang yang menyumbang 23.6 peratus kepada keseluruhan guna tenaga. Ini bermakna bagi setiap empat pekerjaan di Malaysia, satu daripadanya adalah berkaitan dengan industri pelancongan.

3. Di samping itu, bagi tahun 2019 juga, perbelanjaan pelancong asing telah meningkat sebanyak 2.4% kepada RM86.1 billion dengan ketibaan pelancong sebanyak 26.1 juta orang. Manakala, perbelanjaan pelancongan domestik pula telah menyumbang sebanyak RM103.2 billion, iaitu peningkatan sebanyak 11.5%.

4. Atas kejayaan ini dan rekod perkembangan positif dari setahun ke setahun yang memberangsangkan, Kerajaan seterusnya komited untuk melakar satu lagi sejarah dalam industri pelancongan negara apabila kita telah merancang untuk melancarkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 pada awal tahun ini.

5. Walau bagaimanapun, kita hanya mampu merancang, Allah Subhana Wa Taala jua lah penentu segala-galanya. Ternyata, kita amat terkesan dengan penularan wabak COVID-19 pada tahun ini dan aktiviti ekonomi yang berkaitan dengan industri pelancongan, seperti penginapan, pengangkutan, membeli-belah, makanan dan minuman, dan penganjuran acara-acara terpaksa berhadapan dengan saat-saat yang paling menyulitkan. Saya turut dimaklumkan bahawa jumlah anggaran kerugian industri pelancongan negara pada tahun ini adalah melebihi RM100 billion.

6. Dalam hal ini, Kerajaan sentiasa peka dan prihatin dengan cabaran besar yang dihadapi oleh sahabat-sahabat penggiat industri, majikan dan pekerja industri pelancongan. Kita faham, pelaksanaan beberapa peringkat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19 telah memberikan impak yang besar kepada industri pelancongan negara. Malah, United Nations World Tourism Organisation (UNWTO) meramalkan bahawa pemulihan sektor pelancongan global dijangka akan mengambil masa selama dua (2) hingga empat (4) tahun. Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) turut memaklumkan bahawa kita memerlukan sekurang-kurangnya empat (4) tahun untuk memulihkan semula industri ini. Ini adalah tempoh yang agak panjang dan pastinya memberikan cabaran yang besar kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam industri pelancongan negara.

7. Namun begitu, saya percaya bahawa di sebalik usaha menamatkan wabak COVID-19 ini, peluang masih terbuka untuk kita memperbaiki kelemahan yang ada melalui peningkatan kualiti perkhidmatan serta mutu penyampaian kita. Usaha mengoptimumkan penggunaan teknologi yang canggih dan fleksibel seperti penggunaan konferensi video dan transaksi tanpa sentuhan membolehkan kita membudayakan norma baharu tanpa menjejaskan potensi industri pelancongan.

8. Saya percaya, di peringkat awal ini kita boleh menjana semula industri pelancongan negara semula dengan merancakkan aktiviti pelancongan domestik, sementara sempadan masih ditutup dan mengembalikan keyakinan rakyat untuk melancong di dalam negara.

Saudara saudari yang dikasihi sekalian,

9. Kerajaan sedar bahawa negara memerlukan hala tuju yang dinamik dan strategik dalam memulihkan semula industri pelancongan ini. Maka, saya yakin melalui Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 – 2030 yang digagaskan Kerajaan Perikatan Nasional ini, kita mampu menjamin kelangsungan industri pelancongan negara serta menjadikan Malaysia kembali sebagai destinasi pelancongan terpilih di peringkat global. Ini akan dicapai melalui pendekatan utama yang merangkumi Pengukuhan Daya Saing, Pembangunan Sektor Pelancongan Secara Lestari dan Inklusif, serta Kesedian Mengharungi Bencara pada masa akan datang.

10. Dasar ini akan dilaksanakan menerusi enam (6) teras strategik utama iaitu transformasi tadbir urus, mewujudkan zon pelaburan pelancongan yang inklusif, mempergiatkan digitalisasi pelancongan, memperkayakan pengalaman dan kepuasan pelancong, memperkukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari dan meningkatkan kapasiti modal insan dalam semua sub-sektor pelancongan.

11. Sehubungan itu, pembangunan industri pelancongan yang berasaskan teknologi digital adalah penting bagi memastikan objektif dasar ini dapat dicapai. Tambahan pula, kemajuan teknologi juga dapat mengukuhkan jaringan antara industri serta membuka jalan bagi sub-sektor inovatif baharu dalam industri pelancongan yang akan mewujudkan peluang perniagaan dan pekerjaan. Dengan ini, pelaburan pelancongan yang berpusatkan teknologi adalah digalakkan. Melalui DPN ini, Malaysia akan mewujudkan zon pelaburan untuk projek pelancongan atau Special Tourism Investment Zones bagi meningkatkan kerjasama awam-swasta serta menarik lebih ramai pelabur tempatan dan antarabangsa.

12. Di samping itu, sebagai Kerajaan yang bertanggungjawab, adalah penting untuk kita mengimbangi pembangunan serta pemeliharaan dan pemuliharaan khazanah negara termasuk alam sekitar, budaya dan warisan. Matlamat kita adalah untuk menjenamakan Malaysia sebagai Top of The Mind Ecotourism Destination of the World. Saya juga yakin kelestarian sumber boleh memacu pertumbuhan ekonomi baharu di samping mewujudkan peluang pekerjaan.

13. Selain menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan pembangunan produk pelancongan sentiasa mampan, berdaya saing dan inklusif seperti yang dinyatakan dalam DPN, usaha ini juga adalah selaras dengan komitmen Malaysia terhadap Agenda 2030 dan 17 Matlamat Pembangunan Lestari atau Sustainable Development Goals di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations.

Saudara saudari yang dikasihi sekalian,

14. Saudari-saudari sekalian, ingin saya tekankan bahawa Dasar Pelancongan Negara 2020 – 2030 ini adalah dasar kita bersama. Saya berharap agar usaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam melaksanakan keenam-enam strategi yang terkandung dalam dasar ini akan mendapat sokongan padu dan kerjasama penuh daripada semua pihak terutamanya penggiat industri, Badan Bukan Kerajaan, pihak swasta dan pemegang taruh berkaitan.

15. Sebelum saya mengakhiri ucapan saya, izinkan saya menyampaikan serangkap pantun:

Sungai Muar permata Diraja
Kunang-kunang singgah menari
Cekalkan hati gandakan usaha
Industri pelancongan kekal lestari.

16. Akhir kata, dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya dengan ini merasmikan pelancaran Dasar Pelancongan Negara (DPN) 2020 – 2030.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullah hiwabarakatuh.

Sekian, terima kasih.

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan