PM Muhyiddin ziarah Tun Rahah di Prince Court

KUALA LUMPUR, 17 Dis — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menziarahi balu Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein iaitu Tun Rahah Mohamed Noah di Pusat Perubatan Prince Court di sini.

Muhyiddin turut mengajak semua untuk mendoakan agar ibu Perdana Menteri keenam Datuk Seri Najib Tun Razak itu diberi kesembuhan dan dipermudahkan urusan rawatan.

Perdana Menteri menyatakan perkara itu menerusi laman Facebooknya dan turut memuat naik dua keping gambar beliau bersama Najib dan seorang lagi anak Rahah iaitu bekas Pengerusi CIMB Bank Datuk Seri Mohamed Nazir.

Rahah, 87, berkahwin dengan Abduk Razak pada 4 Sept 1952 dan dikurniakan lima anak lelaki iaitu Najib, Mohamed Nazir, Datuk Ahmad Johari, Datuk Mohamed Nizam serta Datuk Mohamed Nazim.

Sementara itu, Najib memaklumkan bondanya itu kurang sihat dan ia tempoh yang amat sukar serta merunsingkan beliau dan keluarga.

“Bonda kurang sihat. Saya minta saudara-saudari doakan agar bonda diberi kekuatan dan sembuh,” katanya.

Beliau juga merafak sembah dan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang mencemar duli menziarahi bondanya yang berada di hospital untuk rawatan, dalam hantaran di akaun Twitternya malam ini.

Beliau turut berterima kasih kepada Perdana Menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim serta para pemimpin lain atas kesudian menziarahi bondanya.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Kajian Kepuasan Pelanggan