PM Muhyiddin lawat mangsa banjir Kelantan

PASIR MAS, 22 Dis — Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengadakan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di Kelantan yang dilanda bencana itu sejak minggu lepas.

Helikopter yang membawa perdana menteri dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia Gong Kedak, Pasir Putih mendarat di padang Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi di sini kira-kira 10 pagi tadi.

Ketibaan beliau disambut Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan Timbalannya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah serta Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat.

Sejurus tiba, Muhyiddin dibawa ke bilik mesyuarat bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh Ketua Jajahan Pasir Mas Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Beliau kemudian melawat mangsa banjir yang ditempatkan di sekolah itu serta menyampaikan bantuan berbentuk pek makanan kepada mereka.

Muhyiddin turut meluangkan masa beramah mesra dengan beberapa mangsa banjir serta petugas yang ditempatkan di PPS itu.

Pada masa ini SK Gual Tinggi menempatkan 154 mangsa banjir daripada 59 keluarga.

Selepas kira-kira sejam berada di PPS itu, Muhyiddin berlepas ke Terengganu untuk melawat mangsa banjir di PPS Sk Bukit Mentok, Kemaman.

— BERNAMA

Similar Posts:

Share:
Tatal ke atas
Telegram Pejabat Perdana Menteri